ZIKIR (اللّه اللّه) TAKDE FAEDAH?


· 

ZIKIR (اللّه اللّه) TAKDE FAEDAH?

S: Adakah zikir (اللّه اللّه) tidak mendatangkan faedah kerana zikir itu dilafazkan secara bersendirian (المفرد) dan ianya tidak mendatangkan apa-apa makna?
J: Ada pun lafaz (اللّه) kadang-kadang kita menyebutnya tanpa disedari. Seperti, ada orang mengetuk pintu dan dalam keadaan terperanjat kita menyebut: Allah!, ketika kita disapa orang, kita menyebut: Allah!, dan ketika hendak duduk atau berdiri, kita menyebut: Allah!.
Dari Segi Tatabahasa
Dari segi satu sudut, kita akan mengatakan lafaz ism mufrad (اللّه) ini tidak boleh dijadikan zikir kerana ia bukanlah satu ayat yang lengkap sebagaimana yang ditetapkan oleh ahli tatabahasa. Ia perlu dikaitkan dengan perkataan lain untuk menjadi satu ayat lengkap.
Adapun apa yang disyaratkan oleh ahli tatabahasa ini, ianya betul. Mesti ada gandingan perkataan lain sehingga ia menjadi ayat yang sempurna dan difahami oleh orang lain yang mendengarnya. Adapun orang yang berzikir dengan lafaz ism mufrad (اللّه), dia tidak berhajat kepada orang lain untuk memahaminya. Cukup sekadar ia memberi kesan pada dirinya sendiri sehingga tetap makna kalimah Allah di dalam hatinya.
Sebagaimana juga yang kita tahu, para ahli tatabahasa tidak meletakkan syarat menyebut satu perkataan yang lengkap pada mereka yang mengerang kesakitan (aduh) atau kepada seseorang yang mengeluh (aah). Ini kerana tujuan mereka mengerang atau mengaduh tidak perlu kepada tatabahasa dan orang boleh memahami keadaan orang tersebut berdasarkan kalimat yang keluar daripada mulutnya. Jadi, kita boleh memahami perkataan orang sakit itu tanpa mendatangkan predikat atau seumpamanya.
Selain tujuan orang mengerang kesakitan atau mengeluh itu untuk mendapatkan perhatian orang lain, ianya juga adalah untuk melegakan dirinya sendiri sekiranya tiada orang di sekelilingnya. Maka begitu jualah orang yang berzikir dengan lafaz ism mufrad (اللّه) ini, supaya kalimah dan maknanya bertapak kukuh di dalam hatinya


Ayat Lengkap
Adapun sekiranya berhajat juga kepada ayat yang lengkap, maka ia bolehlah diletakkan kata seru ‘Wahai Allah’ (يَا اَللّه). Di dalam kaedah bahasa Arab, harus disembunyikan (محذوف) perkataan kata seru tersebut. Maka kalimah (اللّه) menjadi yang diseru dan kata serunya disembunyikan (محذوف). Ini kerana orang yang berzikir itu menjaga tuntutan adab dengan adab-adab al-Quraniyah dan adab dengan ilmu-ilmu Islamiyah. Sebagaimana yang dilakukan oleh mereka yang berzikir lafaz ism mufrad (اللّه) dengan mengugurkan kata seru berdasarkan firman Allah,
قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَٰنَ ۖ أَيًّا مَّا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ ۚ
(Al-Israa 110)
Yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Serulah nama "Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia.
Selain itu, dengan menghilangkan kata seru, mereka menginginkan perasaan hampir dengan Allah. Hal ini kerana, kata seru menunjukkan sesuatu yang jauh dan bukannya sesuatu yang hampir dengan kita. Kita akan dapati di dalam al-Quran, ayat seruan ini terbahagi kepada dua iaitu:
1. Seruan daripada hamba kepada Tuhannya
2. Seruan daripada Tuhan kepada hambaNya.
Adapun yang pertama itu digugurkan kata seru, manakala yang kedua itu ditetapkan kata seruannya. Sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Ustaz Abi Ishak al-Syatibi, seorang ulamak di Maghribi di dalam kitabnya (الموافقات ) jilid 2, halaman 163, menyatakan:
Sesungguhnya, seruan di dalam al-Quran sama ada daripada Allah kepada hambaNya atau daripada hamba kepada Tuhannya, ia datang dalam bentuk penceritaan atau pengajaran. Tatkala seruan datang daripada Allah kepada hambaNya maka kata serunya menjelaskan ada pebezaan kedudukan, ianya disabitkan dan tidak dihilangkan seperti firman Allah,
يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ أَرْضِي وَاسِعَةٌ
(Al-Ankabut 56)
Yang bermaksud, Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Sesungguhnya bumi-Ku adalah luas (untuk kamu bebas beribadat)
۞ قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ
(Al-Zumar 53)
Yang bermaksud, Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah,
قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا
(Al-A’raf 158)
Yang bermaksud,Katakanlah (wahai Muahammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semua.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
Yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman,
Manakala seruan daripada hamba kepada Allah tanpa kata seru. Ini kerana kata seru pada asalnya sebagai peringatan, dan Maha Suci Allah daripada diperingatkan. Begitu juga kebanyakan kata seru menunjukan sesuatu yang jauh seperti perkataan ’Wahai’ (يَا), sedangkan Allah taala menyatakan bahawa Dia hampir, khususnya, dengan orang yang berdoa. Firman Allah,
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ
(Al-Baqarah 186)
Yang bermaksud, Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka ( beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka)…
Dan secara umumnya, Dia hampir dalam kalangan makhluk-Nya,
مَا يَكُونُ مِن نَّجْوَىٰ ثَلَاثَةٍ إِلَّا هُوَ رَابِعُهُمْ وَلَا خَمْسَةٍ إِلَّا هُوَ سَادِسُهُمْ
(Al-Mujadalah 7)
Yang bermaksud, …tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya, dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya…
وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ (16)
(Qaaf 16)
Yang bermaksud, …sedang pengetahuan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya.
Maka natijah daripada peringatan ini, dua adab iaitu:
1. Digugurkan kata seru.
2. Merasakan diri hampir dengan Allah swt.
Sedangkan bahagian yang satu lagi, ditetapkan kata seru sebagai peringatan yang membawa dua makna iaitu:
1. Diisbatkan kata seru sebagai peringatan bagi mereka yang sering lalai dan hilang punca iaitu hamba.
2. Membuktikan ketinggian kedudukan yang menyeru (Allah)
( Sumber dari Bahagian Tarekat Tasauwuf - Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan )
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan