TvTarekat | RuhKU


AKU YANG SATU!

Kebanyakan yang mengaji ilmu makrifat memutuskan bahwa Ruh atau RuhKU itu adalah Diri Kita Yang Haqiqi. Sebenarnya Ruh atau RuhKU itu bukanlah Diri Kita Yang Haqiqi, tetapi adalah sifat bagi Diri Kita Yang Haqiqi. Ianya ibarat wajah yang terlihat di dalam cermin. Ianya adalah bayangan dari Wajah Allah. Adanya Ruh itu pada Diri Kita Yang Haqiqi berfakulti seperti hayat, qudrat, iradat. ilmu, sama', bashar dan kalam. Peringkat Ruh atau RuhKU belum lagi menghabiskan perjalanannya untuk mengenal diri yang sebenar diri. Kata Mansur Al-Hallaj bahwa Diri Kita Yang Haqiqi itulah yang sebagaimana diungkapkannya "DIRI ANA AL-HAQQ". Justeru itu di dalam Diri Kita Yang Haqiqi itu tidak semestinya ada dua AKU. Tidak ada aku-KU atau aku-MU kecuali AKU YANG SATU sahaja. Barangsiapa yang masih menilik adanya dua AKU dalam dua kalimah syahadat, belumlah lagi sempurna tauhidnya atau makrifatnya.

AKU ADALAH ROH?

Ada kalangan ahli makrifat menegaskan bahwa AKU itu adalah Roh. Dengan ertikata lain maka yang sebenar-benar Diri itu adalah Roh yang tiada kaitannya dengan Rabbul Izzati walaupun Roh itu adalah urusanNya dan tajalliNya. Ibarat Roh itu setitik air dan lautan itu adalah Rabbul Izzati. Setitik air itu berasal dari lautan dan kembali jua kepada lautan. Seorang yang mengenal dirinya bererti mengenal Roh lantas Roh itulah pula yang kembali kepada Allah serta mengenal Allah, bukan badan wadaknya yang akan kiamat dan musnah. Pendapat ini memang ada benarnya dari sudut yang mereka faham dan lihat. Namun bagi para ahli sufi yang berfahaman Wahdatul Wujud dan Wujudiah, mereka berpandangan lebih dalam lagi dan lebih jauh dari apa yang dikatakan pada awal tadi.

Sebagaimana kefahaman sufi besar Syekh Abdul Karim al-Jili, penulis kitab termasyhur Insan Al-Kamil, beliau lebih cenderung memandang kepada ‘Wujud Mutlak’ sebagai Yang Qadim daripada memandang ‘yang lain’ sebagai yang hudus. Justeru itu beliau berpendapat, rumusan seperti tentang Haqiqat Muhamadiyah atau Roh Muhammad itu yang menjadi titik-tolak sumber segala kejadian adalah sebenarnya tidak Qadim dan merupakan yang baru. Ini berbeda dengan pendapat Syekh Ibnu Arabi yang mengatakan Haqiqat Muhammadiyah atau Roh Muhammad itu antara yang Qadim dan yang bukan Qadim, maka dengan itu dikatakan sebagai Mumkinul Wujud. Dikatakan Qadim ketika Haqiqat Muhammadiyah atau Roh Muhammad itu berada di dalam aspek Ketuhanan, tidak dikatakan Qadim pula apabila ianya di dalam aspek kemakhlukan. Namun Mansur Al-Hallaj, orang pertama yang mengasaskan gagasan Haqiqat Muhammadiyah atau Roh Muhammad itu mengatakan adalah semata-mata Qadim dan tidak lain dari Kunhi Zat itu sendiri. Lantaran itulah mengapa Al-Hallaj dihukum bunuh atas pengisytiharan dirinya adalah Ana Al-Haq.

Syekh Abdul Karim al-Jili mengatakan bahwa Haqiqat Muhammadiyah atau Roh Muhammad itu tidak Qadim kerana beliau berpandangan ‘Wujud’ yang sebenarnya ada ialah hanya satu sahaja iaitu ‘Wujud Allah’. Dengan itu ahli sufi lebih memfokuskan pandangan mereka tentang Wujud sahaja dan siapakah sebenarnya yang Wujud, tidak lagi memperdulikan aspek-aspek yang lain seperti Qalbu, Roh, Nur, Rahsia Insan dan seluruh Alam Semesta. Apabila mereka ‘tenggelam’ di dalam Wujud Murni, di sana tidak ada ‘hamba’ dan ‘Tuhan’, malah yang dikatakan ‘Tuhan’ sendiri dan disembah oleh setiap makhluk pun tidak ada, maka yang sebenarnya ada hanya Wujud Allah yakni DIA Yang Maha Ghaib yang memuji dan mengagungkan DiriNya sendiri.

Lantaran itu sesetengah ahli sufi yang arifbillah berpegang teguh kepada sabda Nabi saw, “Barangsiapa yang mengenal dirinya, kenallah ia akan Allah”. Justeru itu pada hakikatnya mengenal diri itu sebenarnya adalah mengenal Allah, bukan sebagaimana mengenal diri itu adalah semata-mata mengenal diri. Diri yang sebenar-benarnya Diri itu tidak lain adalah Allah semata-mata, bukan qalbu, bukan Roh, bukan Nur dan juga bukan Sirr. Maka di sini timbul pertanyaan, siapakah pula AKU dalam diri manusia itu? Adakah ianya Roh, Qalbu, Sirr atau yang sewaktu dengannya?

AKU itulah yang hidup dan wujud di dalam diri manusia. AKU itu Esa dan sebenarnya bukan bertempat yakni tidak di dalam manusia atau di luar manusia dan tidak pula berpisahan dengan manusia, tetapi AKU meliputi diri manusia itu. Maksud meliputi di sini ialah kebersamaan AKU pada diri manusia. Jika AKU tidak bersama manusia, maka bagaimanakah AKU dapat dikenal? Siapakah AKU?

Yang mengaku ‘aku si orang kaya’, ‘aku si orang alim’, ‘aku si cantik molek’, ‘aku yang punya keturunan dan ‘aku..., aku..... aku seterusnya....” itu semua bukanlah Diri Yang Haqiqi dan AKU Yang Mutlak, melainkan itu semua adalah gambaran-gambaran yang muncul di Alam Mitsal sahaja, ibarat buih-buih ombak di atas permukaan lautan, apabila hilangnya buih-buih ombak itu maka jelaslah rata-rata akan lautan yang sebenarnya. Adanya ‘aku dan keakuan’ itu disebabkan kesan dari perlimpahan sifatKu yang banyak dan berbeda-beda supaya mengenali AKU.

AKU adalah zahirnya DIA dan DIA adalah batinnya AKU. AKU adalah Diri yang sebenar-benar Diri. RohKu itu bukan AKU tetapi adalah Cermin HayatKu. Dengan RohKu itulah maka dapat menghidupkan dan menggerakkan semua makhlukKu. Dalam RohKu itulah AKU melihat DiriKu di luar Diri. AKU hanya dapat melihat KesempurnaanKu hanya dalam RohKu yang Kuhembuskan dalam jasad manusia. Manusia itulah BayanganKu di dunia ini dan dialah KhalifahKu. Justeru itu hanya manusia yang boleh mengenal AKU dengan sempurna sebagaimana AKU patut dikenali, manakala makhluk-makhluk lain hatta para malaikat sekalipun hanya boleh mengenali AKU setakat mana mereka mampu mengenal diri mereka sendiri. Tetapi RohKu itu terlalu hampir dengan AKU. Hampirnya RohKu dengan AKU adalah sewujud, maka tiada yang wujud kecuali AKU. Ibarat orang yang memandang cermin, dalam cermin terbayang Wajah, itulah WajahKu. Saat WajahKu memandangku kembali dan berkata-kata kepadaKu, sesungguhnya pandangannya itu dan kata-katanya itu adalah pandanganKu dan kata-kataKu jua. Pada zahirnya tampak dua tetapi hakikatnya satu. Yang Satu itulah Jauhar yang menzahirkan yang banyak tetapi tidak merubah hakikat Yang Satu itu.

AKU bukan Roh, bukan yang ada di dalam cermin, cermin itu kosong semata-mata! AKU adalah Ana Al-Haq! KesempurnaanKu terwujud pada manusia menurut citraKu. Jika hendak melihat bagaimanakah AKU, lihatlah pada wajah manusia yang sedang tersenyum, di situlah AKU sebegitu terang dalam makrifatmu!

Ada sesetengah pendapat ahli makrifat mengatakan bahwa contoh untuk memahamkan Allah Yang Maha Meliputi itu sebagaimana juga apa yang difahami oleh kalangan penganut ilmu tenaga dalam iaitu terdapat lingkaran cahaya atau aura yang meliputi sekitar jasad manusia itu. Cahaya itu berlapis-lapis dan beraneka warna dan boleh dirakamkan oleh kamera digital. Ada pula yang mencontohkan seperti kita menegakkan jari telunjuk lalu dililitkan dengan seutas tali, begitulah sekadar memberikan contoh untuk memberikan kefahaman tentang bagaimanakah Allah itu Yang Maha Meliputi.

ALLAH MAHA MELIPUTI

Secara peribadi, pada hemat saya contoh-contoh seperti itu tidaklah tepat atau benar untuk memaksudkan bagaimanakah Allah itu Yang Maha Meliputi. Masakan Allah itu dikatakan seperti cahaya yang berlapis-lapis. Walaupun cahaya itu adalah penzahiran dari Allah, tidak semestinya hakikat Allah itu adalah cahaya. Tidak ada yang mengetahui Allah kecuali Allah. Seumpama matahari, apakah hakikat matahari itu adalah cahaya? Padahal matahari itu sekadar berfungsi untuk memberikan cahaya. Allah menamakan DiriNya AN-NUR sebagai menunjukkan sifatNYA adalah Yang Maha Pemberi Cahaya.

Imam Muhammad Fadlullah al-Burhanpuri (pengasas Martabat Tujuh) memberikan suatu definisi yang paling tepat dalam memahami Allah itu Yang Maha Meliputi. Menurut beliau, bagaimana keadaan Yang Maha Meliputi bahwa alam atau mahkluk ini sebenarnya berada di dalam KEBERADAAN WUJUD ALLAH. Sebagaimana di dalam Surah al-Ikhlas: 02, menerangkan “Allahussomad – Allah itu tempat bergantung segala makhluk”. Makhluk tidak mempunyai wujudnya yang sendiri, sebaliknya adanya makhluk itu kerana bergantung pada Wujud Allah.

Berada di dalam Wujud Allah atau Zatullah itulah yang dikatakan Yang Maha Meliputi. Dengan demikian tak terbayang oleh kita betapa luasnya Wujud Allah atau Zatullah itu tanpa sempadan, timur dan barat adalah milikNYA jua.

Awal Ad-din mengenal Allah
Akhir Ad-din mengenal AKU

#
SyekhAbdulKarimAl-Jili
#kitabInsanAl-Kamil
#MansurAl-Hallaj
#ImamMuhammadFadlullahAlBurhanpuri-martabat7

( Sumber dari Shahibul Karib / Awalludin Makrifatullah )
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan