tauhid al Hakimiyyah



- 8 - (sambungan tauhid al Hakimiyyah)
Di antara perkara penting yang perlu diperhalusi & difahami oleh kita juga mengenai tauhid al Hakimiyyah ini, adalah berkait dengan 3 perkara utama, yang mana ianya menjadi natijah-natijah kepada fikrah takfir di sisi Syed Qutub & di sisi semua golongan atau jemaah yang sewaktu dengannya.
Pertamanya adalah isu takfir ke atas pemerintah. Saya telah huraikan secara jelas sebelum ini bagaimana terjadinya pengkafiran ke atas mana-mana pemerintah yang tidak berhukum dengan hukum Allah disisi pemahaman tauhid al Hakimiyyah yang menjadi pegangan mereka. Ringkasnya pada pandangan mereka, mana-mana pemimpin yang dilihat telah berhukum dengan hukum manusia & tidak berhukum dengan hukum Allah, maka pemimpin itu telah jatuh kafir bahkan menjadi musyrik kerana perkara tersebut.
Keduanya adalah isu takfir ke atas ‘mujtama’ (masyarakat). Sebagaimana pengkafiran telah berlaku ke atas pemimpin, masyarakat juga tidak terelak untuk diheret bersama menjadi kafir. Ini kerana pada pandangan mereka, rakyat telah redha & mengikuti serta mentaati pemimpin yang telah jelas tidak menegakkan hukum Allah. Dari ini telah timbul satu perkara baru di dalam pemahaman mereka seperti apa yang telah disebut sebagai satu istilah yang dipanggil ‘mujtama jahili’ (yakni masyarakat jahiliyah).
Isu ini tak ubah sama juga seperti kelompok Wahabi yang telah menganggap bahawa ada sebahagian besar dari masyarakat Islam telah menjadi kafir seperti Abu jahal, Abu Lahab & masyarakat musyrikin Mekah terdahulu, kerana telah memohon kepada sesuatu selain dari Allah, walaupun pada masa yang sama mereka masih mempercayai bahawa Allah itu adalah Tuhan yang Maha Pencipta. Dari itu mereka telah dikafirkan kerana tidak beriman dengan tauhid Uluhiyyah, iaitu disebabkan oleh perlakuan mereka yang telah mensyirikkan Allah SWT di dalam beribadat. Apa yang dilakukan itu adalah sama sahaja tak ubah sepertimana apa yang telah dilakukan oleh masyarakat kafir Quraish satu ketika dahulu, yang mana mereka itu telah menyembah & beribadat kepada pelbagai tuhan, namun pada masa yang sama tetap mengakui juga bahawa Allah itu adalah Tuhan yang paling tinggi yang maha Pencipta.
Begitulah juga pemahaman Syed Qutub & al Maududi yang akhirnya telah membawa mereka untuk mencipta istilah ‘mujtama jahili’ ini. Masyarakat Islam yang ada di sekeliling mereka telah dianggap sudah terkeluar dari agama Islam pada pandangan mereka, kerana dilihat masyarakat itu telah tidak beriman dengan tauhid al Hakimiyyah. Yakni tidak menjadi di antara orang-orang yang menegakkan hukum Allah & syariat Islam. Natijah dari itu, telah lahir pelbagai perlakuan & interaksi yang jelas menyalahi ajaran Islam yang sebenar.
Contoh-contoh melalui realiti yang telah berlaku adalah seperti tidak bersolat bersama muslimin lain, tidak memakan sembelihan mereka, tidak berkahwin dengan mereka, dan berbagai lagi bentuk mualamat yang semuanya itu tak ubah seperti bentuk muamalat di antara seorang Muslim dengan seorang kafir. Semua itu masih kekal berlaku hingga ke saat ini, sebagaimana apa juga yang telah berlaku ke atas Syed Qutub sendiri seperti yang telah saya ceritakan tentang kisahkisah beliau sebelum ini.
Ketiganya adalah satu perkara yang lebih penting untuk disentuh, iaitu isu takfir ke atas ‘qanun’ (yakni undangundang). Isu ini adalah satu isu yang paling utama yang sering disentuh oleh jemaah Ikhwan Muslimin atau mana-mana jemaah Islam lain yang sedang bertentangan dengan pemerintah negara yang tidak dipersetujui oleh mereka. Namun mereka tidak sedar bahawa punca masalah takfir ke atas undang-undang ini sebenarnya adalah datang dari kelemahan mereka sendiri yang tidak betul-betul memahami & tidak betul-betul teliti ke atas kaedah pembentukan undang undang yang sedang diamalkan di dalam sesebuah negara. Mereka sememangnya keliru tentang erti sebenar perlaksanaan hukum-hukum syariah.
Dari itu mereka terus mendakwa bahawa undang-undang yang wujud sekarang ini adalah berlawanan dengan undang-undang Islam. Ini secara tak langsung telah menyatakan juga bahawa pemerintah yang sedang berkuasa itu telah tidak melaksanakan undang-undang atau hukum Allah SWT menurut fahaman mereka.
Ketahuilah bahawa ‘qanun’ (undang-undang) yang wujud di kebanyakkan negara-negara Islam sekarang ini adalah merupakan satu bentuk undang-undang yang asalnya adalah dari undang-undang Islam juga. Namun undang-undang yang wujud sekarang telah dibentuk menjadi satu rupa yang dimaklumi ramai sekarang ini, yang digelar juga dengan nama ‘qanun madani’ (undang-undang sivil).
Ketahuilah bahawa proses pembentukan undang-undang sivil ini telah bermula sejak zaman Khalifah Turki Uthmaniyyah lagi. Kerajaan Khalifah pada ketika itu telah terpengaruh dengan satu bentuk sistem undang-undang yang sedang dijalankan oleh pemerintah eropah, lalu pihak kerajaan telah mengambil keputusan untuk cuba melaksanakannya di dalam negara.
Bentuk undang-undang yang dimaksudkan bukanlah jenis undang-undang yang ditegakkan di eropah, akan tetapi ia adalah merupakan satu kaedah atau rangka undang-undang yang telah disusun secara rasmi dari himpunan undang-undang yang sedia ada menjadi satu ‘qanun’ yang terhimpun & selaras untuk digunakan oleh semua pemerintah di tempat masing-masing.
Perlu diketahui bahawa sebelum terbentuknya undang-undang sivil seperti yang wujud sekarang ini, para pemerintah atau ‘qadhi’ akan melaksanakan undang-undang berdasarkan kemampuan yang ia miliki dari penguasaannya ke atas keseluruhan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan undang-undang yang tersimpan kemas di dadanya. Walaupun undang-undang Islam itu adalah tetap sama & tidak berubah, namun perlaksaannya ada kalanya berbeza-beza mengikut ‘qadhi’ yang memerintah di satu-satu tempat.
Ketahuilah bahawa tanah jajahan Islam pada satu masa dahulu adalah sangat luas. Dari itu terdapat ramai ‘qadhi’ yang dilantik mewakili Khalifah yang akan melaksanakan undang-undang Islam di tempat masing-masing.
Kerajaan Turki Uthmaniyyah melihat satu sisi kebaikan yang ada pada negara-negara eropah, lalu merasa ada kebaikkannya undang-undang Islam juga di’qanun’kan menjadi satu undang-undang yang tersusun, yang akan diselaraskan perlaksanaannya di seluruh tanah jajahan Islam, agar tidak wujud lagi perlaksanaan undang-undang yang berbeza-beza seperti sebelum ini. Dengan erti kata lain, bentuk undangundang yang akan dibuat itu akan menjadi rujukan yang satu & yang rasmi untuk semua ‘qadhi’ di semua tempat jajahan
Islam.
Ia juga berperanan untuk mengelak daripada berlakunya sebarang kesilapan dalam menjatuhkan hukuman. Ini kerana sebelum itu terdapat kes-kes kesilapan yang telah berlaku ketika proses penghakiman. Bentuk ‘qanun’ baru ini serta penyelarasannya ke atas semua tempat dilihat mampu menangani sebarang bentuk kesilapan khususnya ketika proses penghakiman.
Namun Syed Qutub & al Maududi tidak memahami semua ini. Mereka tidak mengetahui bahawa undang-undang yang wujud di kebanyakkan negara-negara Islam termasuk negara mereka berdua sendiri iaitu Mesir & Pakistan juga masih melaksanakan bentuk undang-undang yang sama yang telah mula diasaskan dahulu di zaman Khalifah Uthmaniyyah.
Walaupun khilafah telah tumbang, namun kebanyakkan negara-negara Islam yang ada sekarang ini masih tetap mengekalkan apa yang mereka warisi dari zaman khilafah. Cuma namanya sahaja disebut sebagai undang-undang sivil, namun isinya tetap memiliki undang-undang Islam walau bukan pada keseluruhannya. Kerana ada negara yang mengezetkan keseluruhan hukum Islam, dan ada sebahagian yang tidak mengezetkannya kerana atas sebab-sebab tertentu.
Salah satu lagi perkara penting yang harus diketahui, bahawa satu-satunya point yang sering dibangkitkan oleh mereka & juga sekalian jemaah yang mempunyai fikrah yang sama dengan mereka, tak lain tak bukan adalah berkenaan dengan hukum hudud. Itu sahaja yang sentiasa menjadi hujah yang sering digembar-gemburkan oleh mereka bahawa pemimpin & umat Islam sekarang telah didapati tidak melaksanakan undang-undang Allah SWT kerana tidak melaksanakan hukum hudud. Lalu secara secara mentah-mentah mereka terus menilai apabila sesebuah negara tidak melaksanakan hudud maka secara automatik negara itu sudah tidak berhukum dengan hukum Allah.
Ketahuilah sejelasnya bahawa undang-undang hudud itu hanyalah merupakan satu juzuk kecil yang terdapat di dalam hukum Allah SWT. Ketahuilah bahawa hukum Islam itu adalah lebih luas mencakupi keseluruhan kehidupan muslim. Ketahuilah bahawa undang-undang lain seperti mualamat, perwarisan, nikah kahwin, cerai talak, nafkah, pemilikan harta dan pelbagai lagi yang termaktub di dada-dada kitab fiqh itu semuanya adalah hukum Islam yang tak ada beza samanya dengan hukum hudud yang merupakan satu pecahan kecil yang wujud di dalam bab ‘jenayah’.
Ketahuilah bahawa semua hukum-hukum yang lain itu kebanyakkannya telah ditegakkan di dalam undang-undang yang sedia ada sekarang ini. Melalui tertegaknya hukum hukum tersebut, ini secara langsung telah menggambarkan bahawa undang-undang Islam telahpun ditegakkan di dalam sesebuah negara. Ya benar, kita juga mengakui bahawa tidak semua undang-undang Islam itu berjaya ditegakkan di dalam undang-undang sekarang ini. Lebih-lebih lagi hukum hudud yang seakan-akan langsung tidak ditegakkan di kebanyakkan negara-negara Islam melainkan di beberapa buah negara sahaja seperti di negara Arab Saudi.
‘Syuhbah’ (kekaburan) yang telah ditimbulkan mengenai hukum hudud ini perlu kepada perincian yang mendalam mengapa ia tidak dilaksanakan disebahagian besar negaranegara Islam sekarang ini.
Misalnya negara Islam terdahulu seperti Mesir, telah direkodkan bahawa hukum hudud adalah telah lama tidak dilaksanakan di sana selama lebih 1000 tahun atas sebab-sebab yang tertentu. Maka adakah kerana Mesir sudah meninggalkan hukum hudud selama 1000 tahun maka semua pemimpin termasuk umat Islam yang hidup disepanjang tempoh yang lama itu adalah semuanya telah kafir kerana tidak tegakkan hukum Allah? Adakah masuk akal untuk mengatakan bahawa sepanjang lebih 1000 tahun pemerintahan Islam yang silih berganti bertukar pemimpin & kerajaan selama tempoh yang cukup lama itu semuanya adalah kerajaan bukan Islam atau ianya sudah menjadi negara kafir kerana telah meninggalkan hukum hudud?
Sudah tentu kita semua tidak boleh menerima dakwaandakwaan yang demikian. Namun disisi pemahaman tauhid al Hakimiyyah maka begitulah semestinya pemahamannya. Syed Qutub & orang-orang yang sependapat dengannya sememangnya tidak betul-betul mendalami apa yang terkandung di dalam hukum hudud sepenuhnya. Mereka tidak pernah fikir bahawa perlaksaan hudud itu terdapat syaratsyaratnya. Mereka tidak kisah samada wujud ‘syubuhat’ ataupun tidak di sesebuah negara, atau keadaan umat disatusatu zaman yang harus diteliti & didalami. Mereka tidak pernah menilai bahawa ada fatwa ulama yang menyebut tentang penangguhan ke atas hukum-hukum hudud atas hujah-hujah tertentu.
Bahkan sidna Umar radiaAllahu anhu sendiri pernah menangguhkan hukum hudud di zamannya yang mungkin tentang itu pun mereka tidak tahu. Dan banyak lagi kaitankaitan lain yang bukan perbahasannya di sini untuk kita kupas satu persatu tentang hudud ini yang sudah pasti perbahasannya akan menjadi berjela-jela.
Yang pastinya yang mereka tahu hanyalah untuk tegakkan hudud sahaja semata-mata. Dan yang mereka tahu juga, mana-mana negara atau rakyat yang tidak dilihat menegakkan hudud pada sisi pemahaman mereka, maka takfirlah jawapannya. Inilah bahayanya fikrah yang lahir dari pemahaman ‘al Hakimiyyah’ yang jelas menyeleweng dari landasan fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah.
Kita juga meyakini bahawa penangguhan perlaksaan hukum hudud itu mempunyai sebab-sebab tertentu. Kita juga meyakini bahawa segala penangguhan yang telah dibuat itu bukanlah datang dari ingkarnya pada hukum Allah SWT. Sudah tentu siapa yang mengingkari hukum hudud yang telah jelas termaktub di dalam al Quran, bahkan walau mengingkari satu huruf yang terdapat di dalam al Quran sekalipun maka telah kafirlah ia.
Namun ketahuilah bahawa segala kekurangan yang wujud di dalam perlaksanaan hukum-hukum Islam itu, tak kira samada berkaitan dengan hukum hudud ataupun dengan hukumhukum Islam yang lainnya, semuanya itu adalah datang dari sebab-sebab tertentu yang tidak pernah menafikan akan kewajiban & kefardhuannya sebagai hukum yang wajib ditegakkan & dituntut perlaksanaannya oleh Allah SWT di muka bumi ini.
Tak kira samada ianya datang dari ketidak cukupan syarat untuk melaksanakannya, atau datang dari kemalasan pemimpin yang mengabaikannya, atau terdapat kesilapan di dalam melaksanakannya, atau sengaja ditinggalkan oleh pemimpin sekalipun, namun apabila pemimpin atau seseorang itu masih mengimani akan kefarduannya, maka tidaklah kerana semua itu akan mengeluarkannya atau masyarakat atau negara dari lingkungan Islam.
Sebagai akhir kalam kepada siri ini, ingin saya kepilkan satu risalah dari risalah-risalah yang menunjukkan mauqif para kibar ulama al-Azhar ke atas Jemaah Ikhwan Muslimin, dan risalah dibawah ini dikeluarkan pada tahun 1954 lagi yang mana telah membongkarkan kerosakan yang ada wujud pada sisi mereka. Maka ambilah iktibar darinya :-
"Muslimin sekalian,
Islam merupakan agama tauhid, keamanan, kesatuan & kesejahteraan. Ia adalah ikatan yang teguh antara manusia dan Penciptanya, antara manusia sesama mereka dan antara manusia di dalam sebuah negara serta yang membantu mereka daripada kalangan ahli kitab.
Tidak terbit sama sekali daripada Islam penipuan, kesesatan, perpecahan dan kerosakan. Ia juga tidak pernah menolong akan kejahatan dan permusuhan. Atas dasar inilah Islam telah tertegak di bumi ini. Justeru itu, bergaul lah di dalamnya (Islam) anasir-anasir yang berbeza, jadi mesralah kaum-kaum yang berlainan jenis dan terdirilah kehidupan masyarakat Islam di atas asas yang mulia lagi kukuh.
Akan tetapi sepanjang sejarah umat Islam, mereka telah dibalakan dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang telah mensabotaj dasar-dasar yang mulia ini. Kefahaman mereka terhadap dasar-dasar mulia ini amat tersasar daripada wajahnya yang sebnenar. Nafsu jahat telah mengawal akal mereka. Mereka memperdaya manusia dengan menggunakan dasar-dasar Islam untuk mendapatkan kepercayaan.
Dalam pada masa yang sama, mereka menyembunyikan hasrat mereka yang sebenar! Sejarah kita telah dipenuhi oleh golongan ini. Mereka membesar di dalamnya kemudian menyangka merekalah pejuang-pejuangnya. Akan tetapi di akhirnya, merekalah yang memerangi agama Islam terlebih kuat daripada musuh-musuh Islam.
Kumpulan Ikhwan al-Muslimin pada awal kelahirannya tidak pernah diragui oleh manusia bahkan menjadi suatu kepuasan kepada ramai orang melalui cara dakwahnya. Mereka menyedarkan ramai manusia mengenai kepentingan beragama.
Tetapi malangnya, telah tumbuh sekumpulan kecil daripada jemaah ini yang menyeleweng daripada jalanan asalnya. Mereka mengasaskan suatu model baru yang tiada diresamkan oleh al-Quran. Mereka merencanakan pembunuhan terhadap orang yang tidak bersalah, mengancam keamanan. Mereka juga merancang membunuh para mujahidin yang ikhlas, melatih kumpulan-kumpulan untuk menimbulkan kacau bilau. Allah ta'ala sajalah yang mengetahui sasaran mereka!
Kami, jemaah ulama senior, amat mengingkari kesesatan ini yang menyimpang daripada manhaj al-Quran di dalam arena dakwah. Dan kami bersyukur kepada Allah yang maha kuasa, di atas pemimpin-pemimpin umat ini yang berjaya menyekat fitnah ini daripada berleluasa.
Dan kami menegaskan bahawa penyimpangan dalam berdakwah yang telahpun digariskan oleh al-Quran, serta mencontohi perbuatan pengganas dan perbalahan, kesesatan dan dendam, sangat-sangat menyakiti Allah dan Rasul serta mendustakan Islam. Mereka yang melakukannya dibilang sebagai orang-orang yang melampaui batas Allah ta'ala seperti firmanNya :
“Barangsiapa yang melanggar hukum-hukum Allah mereka itulah orang-orang yang zalim”. – Surah al Baqoroh ayat 229.
Kami ingin mengambil kesempatan untuk menasihati kaum Muslimin di timur dan barat supaya kembalilah kepada agama. Fahamilah dasar-dasarnya dan pelajarannya yang sahih dan benar. Hendaklah mereka melazimi perkara ini secara khusus supaya selamatlah keluarga mereka. Dan secara umum supaya sejahteralah umat. Hendaklah mereka bersatu dalam memelihara masyarakat Islam dan membela kemuliaannya.
Dan berpeganglah dengan tali Allah!"
Bersambung ....
Ibn Shihab al Dimashqy
21/4 26syaaban
21;40 k.l
*kalimah suci di dalam gambar dibawah inilah yg sering menjadi slogan puak2 khawarij dari zaman sidna Ali lagi dan anehnya kalimah yg sama jg yg diguna oleh pendokong2 tauhid al Hakimiyyah zaman skrg. Ketika disebut kalimah ini dahulu oleh puak khawarij dihadapan sidna Ali, lalu beliau segera menempelak mereka dgn kalimah yg cukup keras :- "كلمة حق أريد بها باطل " yakni : "Kalimah yg haq namun digunakannya utk kebatilan!" -- riwayat ibn Hibban
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan