RABIATUL ADAWIYAH

RABIATUL ADAWIYAH (Part 2)
(Wanita Sufi Pencinta Allah)
Jalan mahabbatullah(cinta Allah) dalam dunia tasawuf dipopularkan oleh seorang wanita suci yang menjadi kekasih Allah (Waliyyullah), Rabiatul Adawiyah.Konsep tariqatnya ialah tariqat cinta. Tampilnya Rabiah dalam sejarah tasawuf Islam, memberikan cerita tersendiri dalam menempuh perjalanan menuju kehampiran dan kedekatan kepada Allah dengan menaiki kenderaan 'CINTA'.
Bahkan dengan kemampuannya dalam menempuh perjuangan 'melawan diri sendiri' dan seterusnya tenggelam dalam 'telaga cinta Ilahi', dinilai oleh kalangan sufi telah melangkaui 100 darjat orang soleh daripada kalangan lelaki.
Rabiatul-Adawiyyah termasyhur kerana pengalaman kerohaniannya, iaitu mahabbah atau penyerahan diri total kepada Allah SWT. Pengalaman ini diperoleh bukan melalui guru tetapi daripada dirinya sendiri.
Jika sebelumnya ahli hadis dan fikh, Hasan al-Basri telah merintis kehidupan zuhud berdasarkan rasa takut dan harapan,konsep tariqatnya ialah zuhud maka Rabiah melengkapinya dengan cinta kepada Tuhan.Cinta merupakan konsep utama tariqatnya Cintanya kepada Allah SWT telah memenuhi seluruh jiwa raganya. Tidak menyisakan tempat di hatinya untuk mencintai sesuatu selain Allah.
Bagi Rabiatul Adawiyah, dorongan mahabbah berasal daripada dirinya sendiri dan juga kerana hak Allah SWT untuk dipuja dan dicintai. Puncak pertemuan mahabbah antara hamba dan cinta kasih Allah SWT yang menjadi akhir keinginan Rabiah.
Rabiah yang berparas cantik, memiliki suara merdu dan pandai menari ini ditugaskan oleh tuannya sebagai penghibur. Setelah belasan tahun menjadi penghibur, suatu hari ketika menyanyi, Rabiah merasakan kedekatannya dengan Allah SWT yang seolah-olah memanggilnya.
Sejak itu, dia menolak semua perintah tuannya untuk menyanyi dan menari sehingga tuannya marah. Bahkan menyeksanya. Namun, Rabiah tetap berdoa kepada Allah.
Maka Rabiah telah dijual kepada seorang sufi yang kemudian mengajaknya bernikah. Rabiah menolaknya kerana cintanya hanya kepada Allah SWT. Setelah dibebaskan, Rabiah memutuskan untuk hidup menyendiri.
Cinta Rabiah kepada Allah SWT merupakan cinta suci, murni, dan sempurna seperti disenandungkan dalam syair ini: Aku mencintaimu dengan dua cinta; cinta kerana diriku, dan cinta kerana diri-Mu. Cinta kerana diriku adalah keadaanku yang sentiasa mengingat-Mu yang mengungkapkan tabir, sehingga Engkau kulihat. Baik untuk ini, mahupun untuk itu, pujianku bukanlah bagiku; bagi-Mulah pujian untuk semuanya. Buah hatiku, hanya Engkaulah yang kukasihi, berilah keampunan pembuat dosa yang datang ke hadrat-Mu. Engkaulah harapanku, kebahagiaanku, dan kesenanganku, hatiku enggan mencintai selain Engkau.
Rabiah mencurahkan seluruh hidupnya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kerana itu, dia memilih hidup zuhud agar bebas daripada segala rintangan dalam perjalanan menuju Tuhan. Dalam pandangannya, kenikmatan duniawi adalah hambatan menuju Tuhan.
Dia pernah memanjatkan doa: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada segala perkara yang menyibukkanku sehingga aku tidak sempat menyembah-Mu dan daripada segala rintangan yang merenggangkan hubunganku dengan-Mu."
Perkahwinan baginya adalah rintangan. Dia menerima banyak lamaran untuk bernikah tetapi menolak kesemuanya. Mengenai cinta kepada Nabi Muhammad SAW, dia berkata: "Aku cinta kepada Nabi SAW tetapi cintaku kepada Khalik (Maha Pencipta) memalingkan perhatianku daripada cinta kepada makhluk (segala ciptaan)."
Rabiah sang pencinta agung itu, mencintai Tuhan bukan kerana naluri kewanitaannya. Dia mencintai Tuhan dengan sepenuh jiwa kehambaanya. Dia mencintai zat-Nya, sifat-sifat-Nya. Ia bertafakur, berzikir, juga suntuk memaknai segala sesuatu tentang Kekuasaan dan Kebesaran-Nya sehingga tidak ada ruang sedikit pun dalam dirinya untuk berfikir selain Dia.
Rabiah merelakan dirinya menjadi 'gadis abadi'. Dia tidak ingin bernikah bukan lantaran tidak ada yang meminangnya, dia memilih 'kegadisan abadi' kerana tidak tertarik dengan kenikmatan hidup duniawi.
Ketika Rabiah ditanya: "Kenapa engkau tidak bernikah, wahai Rabi'ah?" Dia menjawab: "Tidak ada tempat di hatiku kecuali untuk Kekasih Sejati."
Rabiah menyembah Tuhan dengan penuh cinta dan kerinduan, yang sulit untuk dijabarkan melalui pena, diungkapkan melalui pemahaman.
Dalam pandangan Rabiah, cinta pada galibnya adalah kehidupan spiritual, cinta berasal daripada Allah dan untuk Allah.
Terilham rasa kasih yang dalam akan nasib kaumnya, Rabiah cuba meluruskan pandangan 'ubudiyyah mereka dengan bait syair:
"Mereka menyembah-Mu hanya kerana takut akan neraka-Mu
Kemenangan dan keselamatan bagi mereka
Adalah apabila terbebas daripada (niat seperti) itu.
Bagiku, masalahnya bukanlah pada syurga atau neraka-Mu
Aku tidak rela (Kau) Tuhanku diganti sembahan yang lain."
Apa yang ingin ditegaskan Rabiah di sini adalah (bahawa) perilaku cintanya kepada Allah adalah tulus, jujur dan murni, demi dan untuk-Nya semata-mata tanpa kepentingan apa pun kecuali mengharap reda-Nya.
Rabiah tidak ingin seperti yang lain, yang meniatkan sembahannya untuk tujuan dan keinginan tertentu, terlebih menghindarkan diri daripada sesuatu.
Cinta Rabiah adalah cinta kepada zat-Nya, dan kerinduannya adalah rindu pada sifat-sifat-Nya.
Allah berfirman yang bermaksud: …Barang siapa mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang solih, dan janganlah mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya. (al-Kahfi: 110)
Makna sufistik ayat di atas bagi Rabiah adalah, (bahawa) hendaknya seseorang jangan menyekutukan Allah dalam ibadahnya dengan berharap syurga-Nya atau agar terselamat dari neraka-Nya.
Seorang penulis riwayat hidup Rabiah yang berasal dari Parsi mengisahkan kematiannya sebagai berikut: "Pada masa menjelang akhir hayatnya, banyak sekali orang alim duduk mengelilinginya. Rabiah meminta kepada mereka, "Bangkit dan keluarlah, berikan jalan kepada pesuruh-pesuruh Allah Yang Maha Agung!"
Maka semua orang bangkit dan keluar dan pada saat mereka menutup pintu, mereka mendengar suara Rabiah mengucapkan kalimat syahadat dan mereka mendengar sebuah suara, "… Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu, berpuas-puaslah dengan-Nya. Maka masuklah bersama golongan hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam Syurga-Ku." (al-Fajr: 27-30)
Sesudah itu, tidak terdengar lagi suara apa pun. Pada ketika orang itu masuk kembali ke bilik itu, Rabiah sudah meninggalkan dunia fana. Sesudah Rabiah menghembuskan nafas terakhir, segera para doktor yang berdiri di hadapannya meminta agar jasad wanita sufi ini segera dimandikan. Setelah jenazah wanita sufi itu dimandi dan dikafankan, mereka bersama-sama melaksanakan solat jenazah dan mengkebumikan jasad itu di tempat yang dia akan berada di sana selama-lamanya..
( MUZAKARAH TAUHID )

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan