TvTarekat | Ketahui Tarekat Chisty dan Naqsyabandi dan Perkembangan Tarekat di India


                                                                       Chisty dan Naqsyabandi.


Secara umumnya di benua Hindi mengamalkan 4 tariqah muktabar sebagai amalan dalam kerohanian/kesufian untuk meniti menuju kepada Allah iaitu Qadiriyah (قادرية), Chistiyah/Jistiyah (جشتية), Naqsyabandiyah (نقشبنديه) dan Suhrawardiyah (سهرورديه).

- Chistiyah/Jistiyah.

Tariqah ini adalah tariqah yang disusun oleh Khawajah Mu’inuddin Hasan al Chisty. Chisty adalah nama sebuah kampung tempat tinggal guru-guru dan masyaikh beliau (semoga Allah redha kepada mereka semua). Adalah diceritakan bahawa ketika Shaykh Muinuddin ini meninggal dunia tertulis di dahinya kata-kata :
حبيب الله مات في حب الله
Yang bermaksud : Kekasih Allah, mati kerana rindu kepada Allah.
Pada asalnya para ulama di benua Hindi ramai mengambil tariqah silsilah naqsyabandiyah kerana para syuyukh yang kabir seperti Shaykh Ahmad Farooqi as Sirhindi atau lebih dikenali sebagai Imam Mujaddid Alf Tsani mempunyai pengaruh yang besar tidak hanya dalam bidang keilmuan tetapi juga dalam bidang politik benua Hindi. Termasuklah juga ulama besar seperti Hazrat Maulana Syah Waliyullah al Dehlawi.
Tetapi apabila Haji Imdadullah Muhajir Makki rhm mengambil tarbiyah melalui jalur chisty, maka ramai ulama lain mula beralih ke arah chisty dan antara murid beliau ialah Maulana Rashid Ahmad Gangohi. Maulana Ilyas al Khandalawi & Maulana Yahya (ayah kepada Maulana Zakariyya) merupakan murid kepada Maulana Rashid Ahmad Gangohi. Nama-nama ini adalah nama besar dalam dakwah tabligh, dan dari situlah tersebar luas tariqah chistiyah ini.

- Naqsyabandiyah

Apabila disebut tariqah Naqsyabandiyah di benua Hindi, ia merujuk kepada furu’ silsilah Mujaddidi kerana dinisbahkan kepada gelaran Shaykh Ahmad Faruqi as Sirhindi iaitu Imam Mujaddid Alf Tsani (yang bermaksud Imam Pembaharu Bagi Milenium Kedua).
Naqshbandi (نقشبندی) berasal dari Bahasa Arab iaitu murakab bina dari dua kalimah iaitu “naqsh” dan “band” yang membawa maksud suatu ukiran yang terpahat kerana dikatakan bahawa amalan zikir sirr (senyap) yang menjadi amalan dasar utama dalam jalan ini akan memahatkan Ismu Dzat di dalam hati si pengamalnya
Namun ada juga yang mengatakan ia berasal dari bahasa Parsi yang dinisbahkan kepada mujtahid yang menyusunnya secara teratur iaitu Hazrat Shah Bahauddin rahimahullah (1318–1389, lahir dan wafat di Uzbekistan). Sanad zikir ini bersambung sehingga kepada Sayidina Abu Bakr radiyallahu anhu, sahabat nabi yang paling afdhal.
Telah berkata Hazrat Shah Bahauddin rahimahullah :
“Jalan tariqat kami adalah sangat luarbiasa dan merupakan ‘Urwatil Wutsqa (Pegangan Kukuh), dengan berpegang teguh secara sempurna dan menuruti Sunnah Baginda salallahu alaihi wasallam dan para sahabat radhiyallahu anhum ajma’in. Mereka telah membawa daku ke jalan ini dengan kekurniaan. Dari awal hingga ke akhir daku hanya menyaksikan Kekurniaan Allah bukan kerana amalan. Menerusi jalan tariqat kami, dengan amal yang sedikit, pintu-pintu rahmat akan terbuka dengan menuruti jejak langkah Sunnah Baginda Rasulullah salallahu alaihi wasallam.”
Umumnya para ulama benua Hindi ini berbaiat kepada keempat-empat tariqah di atas, tetapi yang ghalib hanyalah satu manakala 3 yang lain sebagai tabarruk.
- Perbezaan antara dua silsilah ini :
Jalan chistiyah adalah jalan mujahadah untuk sampai kepada Allah manakala jalan naqsyabandiyah pula melalui jalan mahabbah dan suhbah untuk sampai kepada Allah.
Bidayah/ibtida’i (permulaan) bagi chisty ialah takhalli (membersihkan diri) manakala bidayah bagi naqsyabandi ialah tahalli (menghiasi).
Kerana itulah bagi sesiapa yang ingin mengambil zikir dasar chisty iaitu “bara tasbih” (secara jahar/kuat), syeikh mursyid akan minta laporan amal terlebih dahulu iaitu adakah dia menjaga solat 5 waktu, adakah menjaga solat solat sunat dan paling penting adakah diri dia menjaga zikir pagi dan petang iaitu zikir 300 pagi dan 300 petang atau salawat 500 kali (bergantung kepada mursyid yang bertanya). Tujuan dibentangkan laporan ini agar tahu orang yang minta baiat adalah orang yang sudah melazimi ibadat wajib dan sunnah secara istiqamah iaitu sudah melalui proses takhalli. Jika dia masih tak istiqamah, maka dia akan disuruh amal zikir biasa dahulu dalam tempoh tertentu sebelum dapat “bara tasbih”. Mursyid yang sebenar dalam chisty tidak akan bermudah-mudah memberi ijazah zikir bara tasbih.
Manakala naqsyabandi pula akan diberi baiat umum zikir lathifah qalbi (secara sirr/senyap) sebagai zikir dasar dalam tariqah ini. Melalui jalan tahalli, maka semua boleh mengambil baiat taubat (syarat untuk mengambil zikir tersebut) tidak kira samada dia fasiq atau tidak. Kerana melalui jalan tahalli dia akan melalui proses takhalli. Setelah melalui proses takhalli dan tahalli ini, barulah para salikin mendapat tajalli Allah.
Tujuan sebenar bertariqah ialah mempelajari ilmu tasawwuf secara praktikal. Ada pun mempelajari ilmu tasawwuf melalui kitab dan talaqqi, ini baru teori sahaja tetapi dengan menempuh jalan suluk (tariqah) barulah para salik akan mempraktikkannya dalam kehidupan untuk mencapai maqam ihsan.
Walaubagaimanapun, untuk meniti jalan suluk ini, hendaklah diperhatikan dengan bersungguh-sungguh siapa yang akan membimbing dan pastikan semua ajaran yang ada dalam tariqah tersebut tidak bercanggah dengan aqidah, syariat mahupun sunnah nabi salallahu alaihi wasallam.
Seperti kata Habib Ali al Jufri (tokoh dalam tariqah Baalawi) menyebut : “Tariqah yang sesat itu memang wujud tetapi bukanlah bermaksud kita tinggalkan semua terus. Seperti juga dengan ilmu aqidah, ada juga ilmu aqidah yang sesat (muktazilah, khawarij, etc) tetapi mempelajari ilmu aqidah masih wajib. Begitulah jua dengan ilmu tariqah tasawwuf ini.”
Wallahualam.
Uthman Daud.
Sumber :
- Qawl al Jamil ; Hazrat Maulana Syah Waliyullah al Dehlawi rhm
- Tasawwuf wa Suluk ; Hazrat Maulana Shaykh Zulfiqar Ahmad DB
Sumber dari 
Hizbun AnNabi wa AaliBaitihi wa Ashabihi

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan