TvTarekat | IMAM AL-SYAFIE


Imam al-Syafie atau nama asalnya Muhammad bin Idris merupakan keturunan Nabi Muhammad ﷺ menerusi salasilah datuk baginda yang ketiga, iaitu Abdul Manaf.

Walaupun ibu dan bapanya merupakan warganegara Mekah, Arab Saudi, namun Imam al-Syafie dilahirkan di Ghizah, Palestin, pada tahun 767 ketika kedua-dua ibu bapanya berhijrah ke Palestin. Namun, bapanya telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan semasa beliau masih dalam kandungan.

Imam al-Syafie mendapat didikan agama sejak dari kecil dan kecergasannya dalam memahami ilmu diakui masyarakat termasuk guru yang mengajar beliau. Antara negara tempat beliau belajar adalah Madinah, Iraq, Parsi dan Yemen.

Ketaatan beliau dalam beribadah antaranya diceritakan bahawa setiap waktu malam beliau membahagi kepada tiga iaitu sepertiga malam menunaikan kewajipan sebagai individu berkeluarga biasa, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

MENJADI MANGSA FITNAH

Ketika Imam al-Syafie di Yemen, beliau diangkat menjadi setiausaha dan penulis istimewa gabenor di negara itu, sekali gus menjadi guru besar di sana. Oleh kerana bukan anak kelahiran negara itu dan mampu memangku jawatan tinggi secara tiba-tiba, maka ramai orang memfitnah beliau.

Sehinggakan beliau pernah ditangkap dan dirantai kerana dikatakan sebagai antara pemimpin Syiah yang cuba untuk meruntuhkan kekuasaan Abbasiyah serta berhasrat mendirikan kerajaan Alawiyah iaitu keturunan Sayidina Ali bin Abi Talib k.w. sewaktu pemerintahan sultan Harun Ar-Rasyid.

Ketika peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadan, Imam al-Syafie dibawa ke Baghdad dengan dirantai pada kedua-dua belah tangan. Dalam keadaan itu tahanan diarah berjalan kaki mulai dari Arab Selatan (Yemen) sampai ke Arab Utara (Baghdad), yang menempuh perjalanan selama dua bulan.

Ketika hari pengadilan, seorang demi seorang tahanan dipanggil masuk ke bilik pemeriksaan. Setelah mereka ditanya dengan beberapa kalimat, mereka dibunuh dengan dipenggal leher.


TENANG HADAPI MUSIBAH

Imam Syafie dalam keadaan tenang menunggu giliran, dengan memohon keadilan kepada Allah SWT beliau menghadap sultan dalam keadaan melutut.

“Assalamualaika, ya Amirul Mukminin wabarakatuh.” Demikian ucapan salam beliau kepada baginda dengan tidak disempurnakan iaitu ‘Warahmatullah’;.

“Wa alaikassalam warahmatullah wabarakatuh,” jawab sultan. Kemudian sultan bertanya: “Mengapa engkau mengucap salam dengan ucapan yang tidak diperintahkan oleh sunah, dan mengapa engkau berani berkata-kata dalam majlis ini sebelum mendapat izin daripada saya?”

Imam al-Syafie menjawab: “Tidak saya ucapkan kata ‘Warahmatullah’ kerana rahmat Allah itu terletak dalam hati tuan sendiri.” Mendengar kata-kata itu hati baginda jadi lembut. Kemudian Imam Syafie membaca surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Dan Allah telah berjanji kepada orang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sesungguhnya. Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa.”

Setelah membaca ayat itu Imam al-Syafie berkata: “Demikianlah Allah telah menepati janji-Nya, kerana sekarang tuan telah menjadi khalifah, jawapan salam tuan tadi membuat hati saya menjadi aman.”

Hati baginda menjadi bertambah lembut. Baginda Harun Ar-Rashid bertanya kembali: “Kenapa engkau menyebarkan faham Syiah, dan apa alasanmu untuk menolak tuduhan atas dirimu.”

Lalu Imam al-Syafie berkata: “Saya tidak dapat menjawab pertanyaan baik dengan baik apabila saya masih dirantai begini, jika belenggu ini dibuka Insya-Allah saya akan menjawab dengan sempurna.” Lalu baginda memerintahkan kepada pengawal untuk membukakan belenggu yang mengikat Imam Syafie itu.


KEPENTINGAN TABAYYUN

Maka Imam Syafie duduk dengan baik kemudian membaca surah al-Hujarat ayat 6 bermaksud: “Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

“Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya berita yang sampai kepada tuan itu adalah dusta belaka. Sesungguhnya saya ini menjaga kehormatan Islam. Dan tuanlah yang berhak memegang adab kitab Allah kerana tuan adalah putera bapa saudara Rasulullah ﷺ, iaitu Abbas.

“Kita sama-sama menghormati keluarga Rasulullah ﷺ. Maka kalau saya dituduh Syiah kerana saya sayang dan cinta kepada Rasulullah ﷺ serta keluarganya, maka demi Allah, biarlah umat Islam sedunia ini menyaksikan bahawa saya adalah Syiah. Dan tuan sendiri tentunya sayang dan cinta kepada keluarga Rasulullah ﷺ.” demikian jawab Imam al-Syafie.

Baginda Harun Ar-Rasyid pun menunduk, kemudian ia berkata kepada Imam al-Syafie: “Mulai hari ini bergembiralah engkau agar lenyaplah perselisihan antara kami dengan kamu, kerana kami harus memelihara dan menghormati ilmu pengetahuanmu.”

Ketekunan Imam al-Syafie dalam menuntut ilmu membuatkan beliau kurang rehat dan terkena penyakit yang amat berat.


KISAH KEWAFATAN

Imam al-Syafie Rahimahullah meninggal dunia di Mesir pada hari Khamis malam Jumaat, awal bulan Sya’ban tahun 204 H dalam usia sekitar 54 tahun selepas melaksanakan solat maghrib.

Beliau menghidap penyakit buasir, bukan biasa-biasa penyakit itu, tetapi agak kritikal sehingga dikatakan apabila dia bangun dari tempat duduk ceramahnya, maka kelihatan darah yang keluar seolah-olah seperti darah haid.

Semakin hari penyakit Al-Imam semakin parah, maka anak murid beliau datang melawat beliau.


Anak muridnya bertanya khabar:

يا إمام، يا أبا عبد الله ، كيف أصبحت؟

Wahai Imam Aba Abdallah, bagaimana keadaaan Imam pagi ini?

Imam Syafie menjawab:

أصبحت من الدنيا راحلا

Aku pada pagi ini akan berkelana daripada dunia.

ومن الإخوان مفارقا

Akan berpisah daripada kawan-kawan.

وإلى كأس المنية شاربا

Kepada segelas kematian aku akan hirup.

ولا أدري أمصيري إلى الجنة أم إلى النار

Dan aku tidak tahu nasibku akan ke syurga atau ke neraka.

Kemudian, Imam al-Syafi’e menangis dan mengalunkan sya’ir seperti berikut:

وَلَمّا قَسا قَلبي وَضاقَت مَذاهِبي جَعَلتُ الرَجا مِنّي لِعَفوِكَ سُلَّما

تَعاظَمَني ذَنبي فَلَمّا قَرَنتُهُ بِعَفوِكَ رَبّي كانَ عَفوُكَ أَعظَما

فَما زِلتَ ذا عَفوٍ عَنِ الذَنبِ لَم تَزَل تَجودُ وَتَعفو مِنَّةً وَتَكَرُّما


Tatkala kerasnya hatiku dan sempitnya jalan-jalanku

Aku jadikan harapanku untuk ampun-Mu sebagai tangga

Maka besarlah dosaku tapi tatkala aku bandingkannya

Dengan ampun-Mu Tuhanku, adalah ampun-Mu itu lebih besar

Maka sentiasalah Kamu ampunkan dosa

Dan sentiasalah-Mu Pemurah, Pengampun, kurniaan dan kemuliaan

Begitu tawadu’nya Imam al-Syafie walaupun sumbangan beliau tidak terhingga kepada agama, tetapi masih merendah diri sehingga ke tahap itu. Kita boleh ka sampai ke tahap itu? Sama-sama kita fikirkan.

Setelah beliau di kafankan, beliau dibawa kekubur. Tiba-tiba, ketika dalam perjalanan kekubur, seorang perempuan telah menahan jenazah beliau, dan meminta supaya dimasukkan ke dalam rumahnya terlebih dahulu.

Maka dibawa masuk ke dalam rumahnya itu, setelah selesai perempuan itu solat ke atas jenazah Al-Imam, maka perjalanan diteruskan ke kubur.

Tahukah anda siapakah perempuan itu?

Perempuan itu adalah guru kepada Imam Asyafie, beliau adalah Sayyidah Nafisah keturunan Nabi Muhammad s.a.w.

Bila ditanya kepada Sayyidah Nafisah bagaimanakah perwatakan Imam al-Syafie?

Maka Sayyidah Nafisah menjawab: “Beliau tidak akan batal wuduk melainkan beliau akan berwuduk”.

Maksudnya Imam syafie memang sentiasa dalam keadaan berwuduk.

Dua pengajaran daripada kisah kewafatannya ini yang kita patut ambil manfaat dan beramal:

1. Sentiasa merendah diri walau sehebat mana pun kita, kita tak hebat pun nak dibandingkan dengan Imam al-Syafie, kita perasan sahaja hebat.

2. Kita kena sentiasa berwuduk seperti amalan imam al-Syafie, barulah kita boleh menjadi hebat sepertinya. InsyaAllah.


SELEPAS KEWAFATANNYA

Ibn Farhun menceritakan di dalam kitab al-Dibaj al-Mazhab bahawa sekumpulan manusia duduk di dalam majlis ilmu Imam al-Syafie selepas beliau meninggal dunia. Tiba-tiba, datanglah seorang Arab mengucapkan salam dan bertanya: “Di manakah Imam al-Syafie? Di manakah bulan dan matahari bagi majlis ini? Mereka menjawab kepadanya: “Beliau telah meninggal dunia!”

Lalu orang itu pun menangis dengan kuat dan berkata: “Semoga Allah mengasihaninya dan mengampunkan dosa-dosanya.” Katanya lagi: “Beliau adalah pembuka kepada pintu-pintu hujah yang tertutup, juga penutup lawannya dengan hujah yang terang. Beliau juga menyucikan air muka yang hitam. Beliau pembuka pintu fikiran-fikiran yang tertutup rapat. Semoga Allah meredhainya!”

Semoga Allah SWT merahmati Imam al-Syafi’e dan meletakkannya bersama para anbiya’, siddiqin, syuhada’ dan para solehin. Amin.

Wallahu A'lam


HANYA KONGSI
Semoga Ianya Bermanfaat

Sumber: -

1.0 Kisah Sahabat Nabi A'alaq Radi Allahu'anha Oleh Ust Ebit Liew

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=464483697696252&id=463573397787282&sfnsn=mo&s=100001827028067&w=y

2.0 Apa Yang Boleh Dipelajari Daripada Ka'ab Bin Malik

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=489140445230577&id=463573397787282&sfnsn=mo

3.0 Saidina Bilal Bin Rabah

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=498461827631772&id=463573397787282&sfnsn=mo

4.0 Imam Al-Bukhari

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=507139710097317&id=463573397787282&sfnsn=mo

5.0 Abu Hurairah RA

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=508329289978359&id=463573397787282&sfnsn=mo

6.0 Imam Al-Hasan Al-Basri

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=510755673069054&id=463573397787282&sfnsn=mo

7.0 Imam Malik RA

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=512547119556576&id=463573397787282&sfnsn=mo

8.0 Abdullah Bin Jahasy

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=513932129418075&id=463573397787282&sfnsn=mo

9.0 Abu Dzar Al-Gifari

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=499538974190724&id=463573397787282&sfnsn=mo&s=100001827028067&vh=e

10.0 Seorang Perompak Menjadi Ulama

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=517199265758028&id=463573397787282&sfnsn=mo

11.0 Ibnu Hajar Al-Asqalani

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=521171708694117&id=463573397787282&sfnsn=mo

12.0 Ahli Syurga Yang Disayangi Rasulullah ﷺ

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=522547548556533&id=463573397787282&sfnsn=mo

# Hanya Kongsi
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan