SAYYID AHMAD AL KAMIL IBN AL HASAN AL IDRISI, MENJADI SYEIKH TAREKAT AHMADIAH IDRISIAH SEHINGGA KE AKHIR HAYAT


SAYYID AHMAD AL KAMIL IBN AL HASAN AL IDRISI


Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia

SAYYID AHMAD AL KAMIL IBN AL HASAN AL IDRISI, MENJADI SYEIKH TAREKAT AHMADIAH IDRISIAH SEHINGGA KE AKHIR HAYAT - SUATU PENJELASAN

Pihak Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah mendapati bahawa telah tersebar dan berlaku salah faham dalam kalangan ikhwan mahupun pengkaji tarekat yang mulia ini berkenaan dakwaan bahawa Sayyid Ahmad al Kamil telah meletakkan jawatannya sebagai Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia dan menyerahkan jawatannya kepada adindanya, Sayyid Muhammad al Hasan.
Hakikatnya, dakwaan yang telah tersebar ini tidak benar sama sekali dan apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Sayyid Ahmad al Kamil tidak pernah sama sekali meletakkan jawatannya sebagai Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia dari mula dibai’ah pada tahun 1967 sehingga akhir hayatnya pada tahun 2009.
Hal ini dapat diketahui dan dibuktikan melalui senarai daftar nama Masyayikh Turuq Sufiyyah (Syeikh-syeikh Tarekat-tarekat Sufi) yang dikeluarkan oleh Masyyakhah Umum Turuq Sufiyyah Mesir. Antara nama Syeikh Tarekat yang terdapat dalam senarai tersebut ialah Sayyid Ahmad al Kamil al Idrisi selaku Syeikh Tarekat Idrisiah Syazuliah. Ini kerana nama Tarekat Ahmadiah Idrisiah didaftarkan dengan nama Tarekat Idrisiah Syazuliah di Masyyakhah Turuq Sufiyyah Mesir. Tidak terdapat di Masyyakhah Turuq Sufiyyah Mesir nama adindanya, Sayyid Muhammad al Hasan atau pun Sayyid Ibnu Idris didaftarkan sebagai Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia.
Kedua, ia juga dibuktikan dengan penafian seluruh putera Sayyid Ahmad al Kamil bahawa ayahanda mereka meletakkan jawatan sebagai Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah ketika hayatnya.
Ketiga, ketika nama Sayyid Abdul Wahab al Tazi hendak didaftarkan sebagai Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia di Masyyakhah Turuq Sufiyyah Mesir, putera sulung Sayyid Ahmad al Kamil iaitu Sayyid Saiful Islam telah menulis surat menggugurkan haknya menjadi Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah kepada bapa saudaranya, Sayyid Abdul Wahab al Tazi.
Berkaitan kekeliruan ini juga, pihak Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah turut menemui kesilapan fakta yang terdapat dalam tesis master yang ditulis oleh sarjana dan pengkaji Tarekat Ahmadiah Idrisiah, Dr. Ali Salih al Karrar pada tahun 1979 yang telah dibukukan menerusi tajuk al Tariqah al Idrisiah fi Sudan.
Beliau menyatakan pada halaman 74 kitab tersebut bahawa setelah beralih jawatan Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah kepada Sayyid Ahmad al Kamil selepas kewafatan ayahandanya Sayyid al Hasan pada tahun 1968, Sayyid Ahmad al Kamil telah meletakkan jawatannya. Beliau kemudiannya menyerahkan jawatannya kepada adindanya, Sayyid Muhammad yang tinggal di Omdurman.
Namun, beliau telah pun membetulkan kesilapannya tersebut menerusi kertas kerja beliau yang telah dibentangkan dalam Muktamar Antarabangsa Imam Ahmad ibn Idris kali ke-2 pada 29 April 2018 di Hotel InterContinental Kuala Lumpur, Malaysia. Beliau menyatakan bahawa selepas kewafatan Sayyid Ahmad al Kamil urusan pentadbiran Tarekat Ahmadiah Idrisiah diserahkan kepada adindanya Prof. Dr. Abdul Wahhab al Tazi ibn Sayyid al Hasan ibn Sayyid Muhammad al Syarif.
Ini juga menjadi bukti yang jelas bahawa dakwaan yang mengatakan bahawa Sayyid Ahmad al Kamil melepaskan jawatannya kepada adindanya Sayyid Muhammad adalah tidak benar dan ternafi sama sekali.
Perkara yang mungkin menyebabkan berlakunya kekeliruan ini ialah ketika Sayyid Ahmad al Kamil menggantikan ayahandanya Sayyid al Hasan menjadi Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia, beliau tidak tinggal di Omdurman sepertimana ayahandanya yang menjadikan Omdurman sebagai pusat Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia. Beliau mahu kekal tinggal di kampung halamannya dan menguruskan tarekat ini di masjid yang juga diasaskan oleh ayahandanya, Sayyid al Hasan di Kampung Buyudh Utara Sudan. Oleh itu, beliau telah melantik seorang khalifah bagi menguruskan Sahah Tarekat Ahmadiah Idrisiah di Omdurman iaitu adindanya Sayyid Muhammad al Hasan sehinggalah kewafatan adindanya tersebut pada tahun 1995. Kemudian, beliau melantik pula adindanya, Sayyid Ibnu Idris sebagai khalifah beliau di Omdurman sehinggalah Sayyid Ibnu Idris ditimpa sakit pada penghujung hayatnya.
Kesimpulannya, Sayyid Ahmad al Kamil tidak pernah meletakkan jawatannya seumpama yang didakwa oleh sebahagian pihak. Beliau memegang jawatan Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia sehingga akhir hayatnya. Selepas kewafatannya, adindanya Sayyid Abdul Wahab al Tazi telah dibai’ah sebagai Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia dan masih kekal sehingga ke hari ini.
Pelantikan yang berlaku kepada dua orang adindanya Sayyid Muhammad dan Sayyid Ibnu Idris hanyalah sebagai Khalifah Tarekat bukannya sebagai Syeikh Tarekat. Khalifah Tarekat bukanlah Syeikh Tarekat. Kedua-dua jawatan ini berbeza sama sekali sama ada pada nama dan juga fungsinya. Begitu juga, tiada seorang pun yang dilantik menjadi Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah selepas kewafatan Sayyid Ahmad al Kamil melainkan Sayyid Abdul Wahhab al Tazi.
Sesungguhnya, perkara berkenaan pelantikan atau penentuan Syeikh Tarekat adalah amat penting di sisi Tarekat Ahmadiah Idrisiah sehingga termaktub dalam perlembagaan Tarekat Ahmadiah Idrisiah bahawa pelantikan khalifah-khalifah adalah kuasa mutlak Syeikh Tarekat. Khalifah-khalifah yang telah dilantik oleh Syeikh Tarekat itu pula tidak boleh melantik sesiapa pun menjadi Khalifah Tarekat dan hanya dibolehkan mengijazahkan tarekat. Sekiranya berlaku pelantikan khalifah oleh seseorang khalifah maka ia terbatal dan tidak boleh diterima pakai sama sekali.
Perkara ini perlu difahami dengan sebaik-baiknya oleh seluruh ikhwan. Ini kerana apabila ikhwan tidak mengenali siapa Syeikh Tarekat dan wujud individu yang bertindak menjalankan fungsi Syeikh Tarekat dengan melantik Khalifah-khalifah, akan mewujudkan ketidaksatuan dalam tarekat ini. Sedangkan, dalam perlembagaan Tarekat Ahmadiah Idrisiah hanya terdapat seorang Syeikh Tarekat dalam satu-satu masa. Tidak pernah sama sekali dalam tarekat ini wujud berbilang-bilang Syeikh Tarekat dalam satu-satu masa. Ini dilakukan bertujuan untuk menyatukan ikhwan Tarekat Ahmadiah Idrisiah dan memastikan perjalanan tarekat ini dapat berjalan dengan baik dan sentiasa terkawal.
Bahkan, apabila ikhwan telah bersatu di bawah naungan seorang Syeikh Tarekat, maka ia dapat diaplikasikan pula ke atas seluruh umat Muhammad. Inilah gagasan yang dibawa dan dicanangkan oleh Pengasas Tarekat Imam Ahmad ibn Idris yang perlu dipikul oleh ikhwan Tarekat Ahmadiah Idrisiah pada hari ini bagi menyatukan kalimah umat Islam dan menjadikan umat Islam umat yang bersatu padu.

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan