~KONSEP SUHBAH DALAM TAREKAT TASAWUF~
Oleh: YBhg. Prof. Dato' Dr. Zakaria Stapa
Oleh: YBhg. Prof. Dato' Dr. Zakaria Stapa
Istilah suhbah merujuk kepada perdampingan atau persahabatn antara seseorang dengan seseorang yang lain. Ia lebih merupakan perdampingan atau persahabatn spiritual. Ia bukan merujuk kepada teman biasa, dalam pengertian teman diskusi dan seumpamanya, malah ia merupakan persahabatn atau perdampingan sejati yang boleh mengasah ketajaman batin seseorang dalam memahami perihal yang berkait dengan ma’rifah dan mukashafah (Nasaruddin Umar 2015).
Imam Abu al-Qasim al-Qushayri seperti yang tercatat dalam kitab beliau al-Risalah al-Qushayriyyah(1972), menjelaskan bahawa suhbah terbahagi kepada tiga jenis. Pertama, suhbah dengan orang yang lebih tinggi kedudukannya. Maka ia sebenarnya lebih meruapakan suatu khidmat. Kedua, suhbah dengan orang yang lebih rendah. Maka ia memerlukan orang yang lebih tinggi bersifat kasih dan rahmat, sedang yang mengikuti (orang yang lebih rendah) pula bersifat setia dan menghormati. Ketiga, suhbah dengan yang sama taraf. Maka ia dibina atas asas ithar, yakni mengutamakan orang lain, dan kebijaksanaan. Pembahagian yang dibuat oleh al-Qushayri ini memberi isyarat bahawa konsep suhbah dalam konteks ilmu Tasawuf dan Tarekat mempunyai tujuan yang lebih khusus, bukan sekadar persahabatan atau perdampingan yang bersifat umum atau pada tahap adat kebiasaan sahaja.
Jenis suhbah yang pertama di atas ialah suhbah seorang murid yang ingin mendapat bimbingan, taribiyah dan tarqiyah bersama dengan shaykhnya. Jenis kedua pula ialah gambaran hubungan antara seorang shaykh yang memberi ta`lim dan tarbiyah kepada anak muridnya. Bentuk yang ketiga pula ialah suhbah atau persahabatan yang terjalin antara murid-murid yang berada di bawah bimbingan ta`lim dan tarbiyah seorang shaykh tertentu dalam sesebuah tarekat tertentu.
Catatan di atas menunjukkan bahawa suhbah itu, daripada perspektif ilmu Tasawuf dan Tarekat, tidak semestinya berlaku di antara seorang murid dengan shaykh, walaupun yang kerap berlaku adalah di antara murid dengan shaykh. Tradisi suhbah ini telah dimulai oleh Nabi SAW dengan para Sahabat Baginda. Malahan istilah Sahabat itu sendiri mempunyai makna yang terkait secara langsung dengan amalan suhbah. Kalangan para Sahabat, dalam tempoh Jahiliah mereka, tidak mencapai kedudukan yang terpuji dan darjat yang tinggi, sehinggalah mereka bersuhbah dengan Nabi SAW serta duduk bersama dengan Baginda. Hal tersebut telah memberi kesan yang amat mendalam dan merubah personaliti, akhlak serta perjalanan hidup mereka hasil daripada pengajaran, pendidikan dan pergaulan serta perdampingan mereka dengan Rasulullah SAW. Ini ialah kerana sesungguhnya Rasulullah SAW dalam proses suhbah tersebut telah mengubati hati mereka dan membersihkan jiwa mereka menerusi contoh teladan yang diberikan serta juga menerusi kata-kata Baginda SAW (‘Abd al-Qadir ‘Isa 2008).
Oleh kerana risalah yang dibawa oleh Rasulullah SAW adalah risalah yang kekal dan abadi, maka sudah tentu penerusan risalah tersebut perlu dilaksanakan oleh para pewaris yang mewarisi ilmu, akhlak, iman serta taqwa daripada Rasulullah SAW. Para pewaris ini adalah pengganti Baginda dalam memberi hidayah, petunjuk dan juga berdakwah ke jalan Allah. Mereka mengambil cahaya daripada cahaya Baginda untuk menerangi jalan kebenaran serta jalan petunjuk kepada umat manusia.
Para pewaris tersebut, daripada perspektif ilmu Taswuf dan Tarekat ialah para shaykh murshid yang membawa al-barakah menerusi persambungan silsilah yang diambil turun temurun, dari satu generasi ke satu generasi sampai kepada Rasulullah SAW. Dan sebagaimana golongan Sahabat Rasaulullah SAW telah mengambil faedah bersuhbah dengan Baginda, maka demikian juga para murid mengambil teladan dan sandaran kepada amalan para Sahabat, lalu melaksanakan praktis suhbah dengan para shaykh murshid yang merupakan kalangan para pewaris kepada Rasulullah SAW. Syeikh ‘Abd al-Qadir ‘Isa (2008) mencatatkan perihal ini dalam tulisan beliau Haqa’iq ‘an al-Tasawwuf seperti berikut:
"Bersuhbah dengan pewaris-pewaris yang murshid ini merupakan penawar yang mujarab. Menjauhkan diri daripada mereka adalah racun yang membunuh. Mereka adalah satu kaum yang tidak akan mendukacitakan bagi sesiapa yang duduk bersama mereka. Berkawan dengan mereka merupakan rawatan praktikal yang berkesan bagi memperbetulkan diri, mendidik akhlak, menanam akidah serta mengukuhkan iman. Ini adalah kerana perkara tersebut tidak mampu dicapai hanya dengan membaca buku, mengulangkaji nota-nota, akan tetapi ia merupakan perilaku perasaan. Ia diperoleh dan dicapai melalui peneladanan dan penerimaan hati serta kesan rohani".
Adalah cukup jelas bahawa praktis suhbah yang diamalkan oleh golongan sufi untuk mendidik dan mengangkat kerohanian para murid mereka merupakan satu amalan yang disandarkan kepada amalan yang telah diasaskan oleh para Sahabat bersama Rasulullah SAW.
Wallahu a'lam.
Petikan dari
0 comments:
Catat Ulasan