TvTarekat | Mengenali Sheikh Abdul Mubin Al-Jarimi Al-Fathani berasal dari Pattani

SYEIKH 'ABDUL MUBIN AL-JARIMI AL-FATHANI; Guru Sultan Pahang.
(Oleh : Hj. Wan Mohd. Shaghir Wan Abdullah)


Nama lengkap ialah Syeikh Syihabuddin Abu Ahmad 'Abdul Mubin bin Syeikh Muhammad Thaiyib bin Syeikh 'Abbas bin Syeikh Muhammad Jailani (gelar Tok Janggut) bin Masari bin Hamzah bin 'Abdul Mubin bin 'Abdul Jabbar Syah bin Muhammad 'Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani. Selanjutnya disingkat dengan Syeikh 'Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani. Dilahirkan di Kampung Jerim, Patani pada 15 Rabiulawwal 1303 H/1885 M. Wafat pada Subuh Jumaat, 14 Sya'ban 1367 H/20 Ogos 1948 M. Wafat di Kuantan, Pahang dan dikebumikan jam 12.00 tengah malam di Perkuburan Beserah, Kuantan, Pahang, dekat dengan Maqam Tuan Wok.

Syeikh Muhammad 'Arifin Syah datuk neneknya adalah termasuk di antara ulama peringkat awal yang datang ke Patani Darus Salam. Beliau digelar juga dengan Tok Kelupang, adalah selain sebagai seorang ulama dan sebagai ketua pemerintahan di Cabang Empat, Patani.

AKTIVIT DAN PEMIKIRAN

Minat Syeikh 'Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani untuk menyebarkan ilmu pengetahuan melalui media cetak yang ditanamkan oleh gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani kepadanya sangat berkesan.

Syeikh 'Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani tahu benar peristiwa pelantikan yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Raja 'Ali Kelana dan Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani untuk pengelolaan media cetak itu; masing-masing di Riau dan Singapura ditugaskan pada Raja 'Ali Kelana dan di Kota Bharu, Kelantan ditugaskan pada Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Syeikh 'Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani sendiri walaupun tidak melalui pelantikan rasmi oleh gurunya itu, namun berusaha bergerak mendirikan Mathba'ah al-'Ubudiyah al-Fathaniyah di Patani. Akan tetapi oleh sebab pengetahuan khusus beliau mengenai itu kurang cukup memadai, maka usahanya di Patani itu telah gagal. Syeikh 'Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani terpaksa pindah ke Singapura mendekati sahabat-sahabatnya keturunan Diraja Riau, bekas murid Syeikh Ahmad al-Fathani juga, yang telah berhasil mendirikan Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura cawangan Syarkah Ahmadi & Co. Midai. Oleh sebab itulah beberapa buah karya beliau pada peringkat awal dicetak oleh Mathba'ah Al-Ahmadiah Singapura itu. Manakala beliau berasa sudah cukup pengetahuan dalam dunia percetakan dan dunia perniagaan, maka mengorak langkah hijrah ke Pahang.

HIJRAH KE PAHANG, JADI GURU KELUARGA SULTAN PAHANG

Di Pahang Syeikh 'Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani mulai mengajar ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat dengan cara berpindah dari satu tempat kepada tempat yang lain. Kerana luas pengetahuan keislamannya, Sultan Pahang pada zaman tersebut, iaitu Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Muazzam Shah berhasrat akan melantiknya sebagai mufti, tetapi beliau menolaknya. Syeikh 'Abdul Mubin al-Jarimi al-Fathani hanya bersedia untuk menjadi guru keluarga Sultan Pahang saja.

Selain mengajar masyarakat dan keluarga istana Sultan Pahang, beliau juga menyusun beberapa buah risalah dan kitab. Karya-karyanya ada yang disusun atas kehendaknya sendiri dan ada pula atas kehendak Sultan Pahang. Dalam masa yang sama beliau meneruskan cita-cita membangun media cetak yang pernah gagal sewaktu beliau masih berada di Patani dulu. Percetakannya di Pahang diberi nama Mathba'ah al-'Ubudiyah al-Fathaniyah al-Kainah, terletak di Beserah, Pahang.

Sumber : Dari buku Koleksi Ulama Nusantara, Jilid 1 (terbitan Khazanah Fathaniyah), yang dipetik sebahagian dari artikel asal.

~ Kalam Majnun ~
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan