Tarekat di zaman Nabi SAW, ?

 

Tarekat di zaman Nabi SAW, ?

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

Adakah Tarekat wujud di zaman Nabi SAW? Ramai ulama mengatakan Tarekat tidak wujud bahkan mereka mengatakan Tarekat dan Ilmu Tasauf itu bukannya ajaran Islam tetapi daripada Yunani, Kristian dan Buddhisme.

Justeru itu telah tiba masanya untuk menjelaskan kepada segala tohmahan yang dilontar agar segala salah faham dan kekaburan ini tidak timbul lagi. Tarekat itu ialah jalan yang menyampaikan kepada Allah SWT. Kalaulah Tarekat itu tidak wujud di zaman Nabi SAW lalu bagaimanakah ia membawa para Sahabat RA kepada Allah SWT. Sedangkan para Sahabat RA telah mengenal Allah SWT dan sampai kepada Maqam Makrifatullah yakni telah sampai kepadaNya.

Maka jelaslah Tarekat itu wujud di zaman Nabi SAW betapa tidak kerana agama Islam itu sendiri adalah Tarekat sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al Jin ayat 16 – 17:

وَأَلَّوِ اسْتَقَامُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَاهُم مَّاء غَدَقاً

“Dan sesungguhnya sekiranya mereka (manusia dan jin) istiqamah, berjalan terus menerus (berpegang teguh) dalam jalan yang lurus (Islam) sudah tentu kami akan memberi minum mereka air yang melimpah ruah”.

Dalam ayat di atas, jelaslah bahawa siapa sahaja yang istiqamah dalam berpegang teguh dengan ajaran Islam akan mendapat kebahagian di dunia dan akhirat. Bagaikan seorang musafir yang berjalan di jalan yang lurus, apabila ia istiqamah pada jalan itu suatu masa nanti dalam perjalanan ia akan dihujani dengan air yang melimpah ruah yang akan menghilangkan segala dahaga, penat lelah dan kesusahannya sebelum dia sampai ke destinasinya lagi.

Kenapa dikatakan Islam sebagai Tarekat sebagaimana tersebut dalam ayat di atas?. Ini memerlukan penjelasan bahawa Islam itu mempunyai 3 sendi/unsur sebagaimana hadis: 

Daripada Saidina Umar RA : Wahai Muhammad! Terangkan kepadaku tentang lslam. Lalu Rasulullah SAW bersabda: lslam itu bahawa engkau naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad itu utusan Allah, (dan bahawa) engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan haji ke Baitullah (Mekah) sekiranya engkau berkuasa mengerjakannya. Lelaki tersebut berkata: Benarlah engkau. 

Maka kamipun merasa hairan kepadanya, dia yang bertanya dia pula yang membenarkannya. Dia bertanya: Terangkan kepadaku tentang lman. Baginda bersabda: (lman itu ialah) bahawa engkau percaya kepada Allah, para MalaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, hari Qiamat dan bahawa engkau percaya kepada Qadar baik dan buruk. Lelaki itu berkata: Benarlah engkau. 

Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang Ihsan. Baginda bersabda: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.

Ulama dahulu kala telah mengguna berbagai-bagai kaedah untuk menyusun secara sistematik ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW berupaya hukum-hakam agama Islam yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Maka telah lahirlah satu ilmu yang dinamakan ilmu Fekah.

Dalam ilmu Fekah ini, para alim ulama yang mujtahid telah menggunakan kaedah-kaedah mereka masing-masing untuk mendirikan mazhab mereka yang telah membentuk fahaman Ahlul Sunnah Waljamaah (ASWJ). Mazhab Fekah yang termashyur itu ialah 4 mazhab yakni Mazhab Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali.

Begitu juga dengan Ilmu Tauhid, sebahagian daripada ulama yang terdahulu telah menggunakan kaedah mereka masing-masing untuk mendirikan fahaman iqtikad ASWJ bersandarkan Al-Quran dan As-Sunnah, iaitu iqtikad yang dipegang oleh Nabi SAW dan para Sahabat RA. Maka lahirlah dua mazhab dalam ilmu Tauhid iaitu Mazhab As Sha’ariah yang dipelopori oleh Imam Abul Hassan As-Sya’ari RA dan Mahzab Al-Maturudiah yang dipelopori oleh Imam Abu Mansur Ar-Maturuddin RA . Mereka berdua inilah yang telah mengasaskan iqtikad ASWJ.

Dalam bidang Al-Ihsan pula, lahirlah beberapa ulama sufi yang telah menyelami syariat bathin yang telah menggunakan berbagai kaedah untuk membahaskan syariat bathin Nabi SAW. Maka lahirlah satu cabang ilmu yang dinamakan Ilmu Tasawuf untuk mencapai Makam Al-Ihsan. Dalam hal ini, mereka telah mengasaskan mazhab atau tarekat bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah, di mana ada sepuluh mazhab dalam Tasawuf.

Jelaslah di sini bahawa Islam itu adalah didirikan atas tiga cabang ini, sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW. Justeru itu, adalah tidak boleh dipertikaikan lagi bahawa Islam itu merupakan sebuah tarekat sebagaimana disebutkan di *Surah Al-Jin:16* , kerana jika seseorang itu mengamalkan ketiga cabang ini secara istiqamah, ini akan membawanya kepada Allah Taala. 

Ketiga cabang ilmu ini walaupun tidak wujud pada nama namun Nabi SAW telah mengajarnya kepada Para Sahabat RA. Kemudian Para Sahabat RA telah mengamalkan ajaran Nabi SW secara keseluruhan dalam kehidupan mereka, sebab itulah para ulama dahulu kala dapat mendirikan mazhab mereka masing-masing pada setiap cabang ilmu kerana mereka berpandukan kepada apa yang telah Nabi SAW ajar dan laksanakan kepada para Sahabat RA.

Walaupun ajaran agama Islam itu telah dibahas dalam tiga cabang ilmu tersebut. Namun setiap umat Islam mestilah mengamalkan keseluruhan cabang ilmu-ilmu itu pada dirinya sebagaimana Para Sahabat RA telah lakukan, barulah sempurna Islam dan imannya.

Adalah sangat penting untuk difahami bahawa Nabi SAW itu bukan sahaja mengajar para Sahabat RA tetapi mendidik kerohanian mereka sebagaimana tersebut dalam surah Al Baqarah ayat 151:

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ
Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul diantara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-Hikmah, serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui.

Dan surah Al Jumaah ayat 2:
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ
Dia-lah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,

Maksud “mensucikan” dalam kedua ayat di atas ialah mendidik mereka dari segi kerohanian. Justeru itu jelaslah melalui kedua ayat ini tugas Nabi SAW bukan sahaja mengajar para Sahabat RA tetapi mendidik kerohanian mereka iaitu mensucikan jiwa mereka.

Ini bererti Nabi SAW bukan sahaja membacakan dan mengajar isi kandungan Al Quran kepada para Sahabatnya juga mengajar sunnah tetapi Baginda SAW juga mendidik kerohanian mereka.

Sejarah membuktikan bahawa melalui tunjuk ajar dan perilaku serta didikan kerohanian Baginda SAW telah berjaya membawa para Sahabat RA untuk mengenal Allah Taala sehingga mereka mencapai Maqam Makrifatullah iaitu Maqam Al Ihsan. Ini bererti Nabi SAW telah mengasaskan tarekat bagi para Sahabat RA. Maka Nabi SAW adalah merupakan Guru Mursyid kepada para Sahabat RA.

Pada hakikatnya diri Rasulullah SAW itu sendiri adalah merupakan Tarekat. Betapa tidak kerana seseorang yang masuk Islam di tangan Baginda SAW sebelum beramal lagi terus memiliki keyakinan yang teguh. Ini bererti untuk mencapai Maqam Makrifatullah di samping melaksanakan ajaran Islam serta beriktiqad dengan iktiqad Nabi SAW ianya memerlukan seorang individu yang merupakan seorang Pewaris Nabi SAW yang bertindak sebagai Guru Mursyid.

Maka seseorang yang berhasrat untuk sampai kepada Allah SWT di samping ia megamalkan ajaran Islam serta beriktiqad dengan iktiqad Nabi SAW itu tidak boleh tidak, hendaklah ia menjalankan latihan kerohanian untuk mencapai maqam Al Ihsan.

Walaubagaimanapun yang terpenting baginya adalah untuk mencari seorang Guru Mursyid kerana semua usahanya untuk mencapai ini tidak akan berjaya tanpa bantuan seorang Guru Mursyid. Guru Mursyidlah yang akan membimbingnya melalui tunjuk ajar dan perilakunya serta didikan kerohanian dalam rangka untuk mencapai Makrifatullah sebagaimana yang telah terjadi di zaman Nabi SAW.

Adalah dijelaskan di sini bahawa Al Ihsan itu bukanlah merupakan ilmu, amalan atau keyakinan tetapi ianya adalah merupakan sebuah pengalaman kerohanian iaitu keadaan menyembah Allah SWT seolah-olah melihatNya iaitu melihat dengan matahati yang disebut sebagai Maqam Musyahadah. Atau Maqam Muraqabah iaitu keadaan mengetahui dan merasai bahawa sesungguhnya Allah SWT sentiasa melihat dan memperhatikan hambaNya.

Maka jelaslah kini bahawa tarekat dalam tasawuf itu wujud pada hakikatnya di zaman Nabi SAW walau pun tidak wujud pada namanya.

Persoalannya sekarang ialah mengapa majoriti umat Islam hari ini tidak ramai yang mengenal Allah SWT atau sampai kepada Maqam Makrifatullah? Ini adalah kerana para alim ulama hanya menekankan dua cabang ilmu iaitu Fekah dan Usuluddin dan mengabaikan Al Ihsan. Bagi mereka Al Ihsan adalah kompilasi perangai yang elok (sifat Mahmudah) ini kerana mereka tidak dapat memahami bahawa Al Ihsan itu adalah pengalaman kerohanian yang dia perolehi melalui bantuan seorang Guru Mursyid sebagai pewaris Nabi SAW.

Di zaman Rasululah SAW dan Sahabat RA tidak dibahaskan perkara-perkara seperti Tajalli, Wahdatul Wujud, perkataan sathohat dan sebagainya. semua ini merupakan pengetahuan dan pengalaman kerohanian yang diperolehi ketika seseorang itu menjalankan latihan Kerohanian dibawah asuhan seorang Guru Mursyid.

Tarekat adalah berasaskan Al Quran dan As Sunnah sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasullah SAW kepada para sahabatnya. Melalui Tareqat inilah seseorang itu akan memahami serta dapat menjalani proses Tazkiahtun Nafs dan Tasfiahtun Nafs.

Dengan tercapainya Tazkiatun nafs dan Tasfiatun Nafs itu akan menjadikan seseorang itu mencapai Maqam Muqarabah dan seterusnya Maqam Musyahadah yang merupakan sebagai maqam Al Ihsan, sebagaimana sabda Nabi SAW “Bermula makam Al Ihsan itu hendaklah engkau menyembahNya seolah-olah engkau melihat Allah SWT jika engkau tidak berkuasa demikain maka (yakinlah) sesungguhnya Dia melihat engkau”. Maqam pertama itu adalah Maqam Musyahadah dan kedua adalah Maqam Muraqabah.

Boleh disimpulkan , sasaran Tasawuf itu ialah untuk mencapai Al Ihsan. Ia mengandungi dua unsur: Ilmu dan Tarekat. Ilmu Tasawuf hendaklah diamalkan dalam Tarekat. Tarekat sebagaimana telah disebutkan, iaitu merupakan jalan yang menyampaikan kepada Allah SWT. Tarekat ini diasaskan oleh seorang Guru Mursyid Sebagai mana Tarekat Qadiria oleh Syiekh Abdul.Qadir Jilani, dan lain Tarekat juga oleh guru2 Mursyid semuanya .

Beberapa unsur yang terpenting. Tarekat ialah mengandungi iaitu zikir, latihan kerohanian dan adab serta peraturan. Semuanya bersandarkan Al Quran dan As Sunnah.Maka jelaslah merupakan Tarekat yang telah diajar oleh Nabi SAW.

Al Ilm yanfa'ubillah (Sumber dari FB )

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan