PANTUN TILIK DIRI*
Belian Tanjung berliku,
Tempat Rahsia segala Wali,
Janji tuan tidak begitu,
Berkata tidak boleh mendua kali.
Sebarang tak boleh dicampur orang,
Hikmahnya kuat terlalu garang,
Jika salah anak dibuang,
Tidak boleh menanggung Kasih Sayang.
Jika tak terbawa pasal begitu,
Tidaklah boleh duduk disitu,
Menghukum diri sebilang waktu,
Sekian Bapa menjadi Satu.
Hai sekian anak cucu dalam rumah,
Memegang pantang jangan berubah,
Jika tak dicuci tanah rumah,
Martabat Tinggi jadi rendah.
Jangan takut kita berbuat,
Kepada datuk minta Rahmat;
Apa yang dibuat baiklah Ingat,
Supaya kita boleh Selamat.
Inilah Hukum datuk yang tentu,
Jika hendak duduk disitu,
Betulkan dirimu tingkah dan laku,
Tanjung Belian tempatnya itu.
Jangan takut Menghukum Diri,
Siang dan malam petang dan pagi,
Sama serumah Bersuci Hati,
Akhirnya kelak mendapat bagi.
Jangan jemu meminta faham,
Hilangkan olehmu syak, zan dan waham,
Bernazarlah pula niat didalam,
Allah membantu kepada Ilham.
Cucikan Hati seperti kapas,
Sekian perbuatan hendaklah Ikhlas,
Jangan syak, jangan was-was,
Kelak kamu mendapat balas.
Tuhan tidak Mungkir Janji,
Yang Diamanah olehnya Wali,
Jika sungguh didalam Hati,
Allah membantu kepada Ilmu.
Jika sungguh hendak mengikut,
Penat dan sakit jangan takut,
Sekelian yang datang jangan terkejut,
Didalam Hati janganlah kusut.
Terangkan akal seperti matahari,
Empat Penjuru Alam mahu dijejaki,
Suluhkan kepada Alam Sendiri,
Supaya terang Memikirkan Diri.
Hai sekalian anak muridku,
Betulkan olehmu tingkah dan laku,
Sekalian perkataan hendaklah Satu,
Ingatkan kesalahan dirimu itu.
Hai muridku yang setia,
Ingatkan diri janganlah lupa,
Melupakan diri ketika Bernyawa,
Sebabkan Ia maka kau terus berada.
LA ILAHA ILLA ALLAHU,
Ketahuilah asalmu itu,
Adanya Aku kerananya Ilmu,
Pandainya aku kerana Guru.
Guru itu dibuat haluan,
Kerana ia gantinya Tuhan,
Hendaklah kita mahu bersopan,
Mahu tertib sekelian perbuatan.
Inilah AMANAH daripada Nabi,
Sekelian Islam Merendah Diri,
Jangan jemu Menghukumkan Diri,
Siang dan malam petang dan pagi.
Jika sungguh anakku terbilang,
Telinganya nipis matanya terang,
Mulut pitis menegur orang,
Mukanya manis seperti Bunga yang kembang.
Itulah nyata anak Berbangsa,
Mukanya manis tegur dan sapa,
Tiada jemu Berbudi Bahasa,
Serta pandai Menimbang Rasa.
Jika hendak mencari Sahabat,
Cari olehmu sama Sedarjat,
Tiada jemu ia Muafakat,
Barang yang renggang jadi rapat.
ALLAHUMMA SHALLI ‘ALA MUHAMMAD,
Dengarlah segala Umat Muhammad;
Hidupnya kita baiklah Ingat,
Supaya boleh menanggung Selamat.
Ingatkan asal mula menjadi,
Seperti BENIH Bersenyawa dicipta,
Kerana ia wakilnya Nabi,
Ketahuilah olehmu BENIH Terjali.
Cinta Rasa namanya BENIH,
Cahayanya itu amatlah Jernih;
Di ibarat burung cenderawasih,
Kepada sangkar amatlah Kasih.
Badan itu laksana sarung,
Nyawa itu laksana burung;
Akal itu laksana lorong,
Hati laksana kampung.
Akal itu laksana matahari,
Empat Penjuru Alam semuanya ditakluki,
Suluhkan kepada Ilmu Sendiri,
Supaya terang Memikirkan Diri.
Jika hendak mencari kawan,
Carilah Akal yang Berilmu,
Jangan melihat pada perangai,
tetapi lihat diri sebenar Berilmu.
Apabila ada Fe’el begitu,
Buatlah Sahabat orang itu,
Sekelian perbuatan hendaklah tentu,
Tidak sekali lupa akan Ilmu.
Dia banyak menaggung Rahasia,
Ia tak mahu menunjukkan bangga,
Sekelian perbuatan Berilmu terlalu Mulia,
Ia hormat sekelian yang Bernyawa.
Itulah orang yang Bijaksana,
Ia tak jemu Memikirkan Diri,
Tegur dan ajar sehari-hari,
Siang dan malam, petang dan pagi.
Dia memikirkan diri tiadalah lupa,
Mukanya manis tegur dan sapa,
Malu sekelian abang Berilmu,
Hormat sekelian ROH MARTABAT SATU...
0 comments:
Catat Ulasan