PANTUN MA'RIFATULLAH

 

PANTUN MA'RIFATULLAH
Datang menerpa si rama-rama,
Si ulat bulu diatas dahan,
Ilmu apa paling utama,
Itulah ILMU MENGENAL TUHAN.
Camar sekawan di bumbung kapal,
Anak merpati terbang perlahan,
Jikalau Tuhan tidak Dikenal,
Sudahlah pasti tersalah sembahan.
Pokok rambutan lebat buahnya,
Tumbuhnya rendah di tepi selat,
Tersalah sembahan buruk padahnya,
Segala Ibadat tiada manfaat.
Dari Asahan ke Batu Bara,
Membawa bekal buah delima,
MENGENAL TUHAN apakah cara,
Gunalah Akal dengan saksama.
Menjahit langsir diatas rumah,
Hari kenduri lagi sebulan,
Akal mentafsir Quran dan Sunnah,
Alam dan Diri sebagai perhatian.
Pucuk paku dihidang nyonya,
Orang Belanda makan berkawan,
Setiap yang berlaku ada pelakunya,
Itulah tanda Kewujudan Tuhan.
Pungguk tertawa melihat bulan,
Cerahnya sekerat dilitup awan,
Ambillah Nyawa sebagai Tamsilan,
Tempatnya di jasad tiada ketahuan.
Membeli dupa di negeri china,
Tembikar bulat dan juga lampu,
Tiada Rupa Tiada Warna,
Untuk melihat mata tidak mampu.
Pagi yang cerah masak ketupat,
Daun palas di tepi kawah,
Tidak berarah tidak bertempat,
Bukan diatas bukan di bawah.
Menangkap sepat di kebun nyonya,
Sambil meredah bergurau-senda,
Sebelum tempat Diciptakan-Nya,
DIA sudah Sedia Ada.
Burung kelicap diatas rakit,
Sungai Muda mengalir sepi,
Terlihat Jasad diatas bukit,
Itulah tanda Wujudnya Diri.
Diwaktu malam mencari bintang,
Menunggang kuda di tepi kota,
Melihat alam luas terbentang,
Jadi Petanda ada Pencipta.
Bermain panah di tepi lembah,
Ternampak rusa berlari-lari,
Keluar rumah kasut berubah,
Mustahil ia berjalan sendiri.
Hari yang kelam awan berarak,
Hembusan angin bersimpang-siur,
Bukankah alam sentiasa bergerak,
Mana mungkin tiada Pencatur.
Anak kedidi di sawah padi,
Merbah mendarat menjelang senja,
Antara mahu jadi dengan tidak jadi,
Mengapa berat salah satunya ?
Merbah mendarat menjelang senja,
Malam tiba berubah cuaca,
Mengapa berat salah satunya,
Tukang memilih DIA lah punca.
Anak kekura dipijak rusa,
Lalu disergah si ular sawa,
Pemelihara dan Penguasa,
DIA lah ILAH makhluk semua.
Ditepi tangga pasang pelita,
Api pelita nyalanya kuat,
Diri kita DIA yang cipta,
Gerak kita DIA yang buat.
Pokok teja pokok lada,
Pokok kekabu satu pemeluk,
Apa saja yang lebih muda,
Adalah Baharu namanya Makhluk.
Orang Jawa menjual roti,
Inti sekaya dicicah kari,
Setiap yang Bernyawa pastikan Mati,
Hanya DIA saja Kekal Abadi.
Kain songket hujungnya koyak,
Lagi dijamah makin terbelah,
Tidak pernah sakit tidak pernah rosak,
Mustahil lemah tidak mungkin kalah.
Pokok pegaga tumbuh melata,
Bunga raya dipagar baru,
Allah Mencipta Makhluk Dicipta,
Berkhilaf ia dengan yang Baharu.
Menghiris bawang ditikar pandan,
Ambil sabut lalu dibakar,
Tidak beruang tiada sempadan,
Itulah maksud ALLAHU AKBAR.
Tupai memanjat pokok kekabu,
Burung hantu dalam lubangnya,
Tidak Berhajat kepada sesuatu,
Segala sesuatu Bergantung Pada-Nya.
Tidak terperi wajah puteri,
Bahasanya indah lagak pemalu,
Tuhan berdiri dengan sendiri,
Bahan mentah tidak diperlu.
Pohon cempaka lebat bunganya,
Harumnya amat di tepi kali,
ESA AF'AL-NYA beserta ASMA-NYA,
SIFAT dan DZAT tiada kecuali.
Dihujung dahan langsat berangkai,
Patah rantingnya jatuh di kolah,
Urusan Tuhan jangan dipertikai,
Memerintah Kerja-Nya bukan diperintah.
Anak raja terkena lintah,
Burung gagak terbang perlahan,
Apa saja yang terima perintah,
Tidaklah layak menjadi Tuhan...

[ Sumber dari Syeh Haqtullah ]


Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan