IBARAT PERAHU TANPA PENDAYUNG

 

IBARAT PERAHU TANPA PENDAYUNG
1. Kami telah berusaha membuktikan bahawa orang-orang Islam sedang dilanda kehampaan makna-diri (a loss of identity) yang diburukkan lagi oleh kejahilan mereka bukan semata-mata berkenaan agama Islam tetapi juga berkenaan pandangan alam Islam serta sejarah, dan oleh ketidakmampuan mereka mentakrif dengan betul.
2. Sesungguhnya persoalan-persoalan yang dihadapkan kepada Hujjat al-Islam Muhammad ibn Muhammad al-Ghazzali terdiri daripada persoalan-persoalan berkenaan sifat Hakikat Sebenar yang Esa, kewujudan dan zat-Nya, nasib terakhir diri insan, syurga dan neraka, sumber-sumber dan asas-asas syariah, hakikat insan dan sebagainya.
3. Semua itu tadi merupakan perkara perkara yang mencengkam dunia Islam lebih seribu tahun yang lalu. Namun, bagaimana pula sebahagian daripada perkara yang sama itu tadi berjaya melanda dan mengharu manusia di zaman moden ini?
4. Bukankah al-Ghazzali sudah memusnahkan kedangkalan-kedangkalan yang terbit dari kejahilan itu? Barangkali, sebagaimana yang kerap terjadi dalam suatu kezaliman yang menyeluruh, al-Ghazzali difitnah dan dikutuk oleh golongan yang memusuhinya justeru kerana kehebatan daya fikirnya. Namun sesungguhnya semua itu bukannya tabiat manusia yang tiada diketahui.
5. Malah, hari ini pun, pengikut-pengikut ibn Taymiyyah masih terus mengabaikan sumbangan-sumbangan besarnya sehingga ke tahap memperkecilkan segala sumbangannya yang telah memperkayakan khazanah ilmu pengetahuan dan menuduhnya pula sebagai punca kepada kejatuhan orang-orang Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.
6. Berlawanan dengan semua itu, kami percaya kepada hal yang sebaliknya, bahawa sesungguhnya al-Ghazzali lah yang sebenarnya bertanggungjawab menghidupkan kembali aliran tradisi belajar dan kaji selidik.
7. Kami juga percaya bahawa sesungguhnya pengikut-pengikut ibn Taymiyyahlah yang bertanggungjawab sebahagiannya dan seharusnya dipersalahkan atas kegagalan orang-orang Islam dalam berbagai lapangan ilmu pengetahuan.
8. Ketidakmampuan ibn Taymiyyah sendiri untuk menghargai dan memahami sepenuhnya perbahasan-perbahasan yang diketengahkan oleh al-Ghazzali dalam mempertahankan agama Islam telah menyebabkannya sama sekali tidak mempedulikan kepentingan akal fikiran yang barangkali merupakan satu daripada penyebab kepada ketidakupayaan akliah orang-orang Islam dewasa ini menghasilkan takrifan-takrifan yang sepatutnya.
9. Minat yang amat sangat kepada kononnya ‘para sarjana’ daripada Mesir, benua India dan bahagian-bahagian dunia Muslim moden yang lain hanya mengekalkan lagi keadaan yang kami rujuk sebagai ‘katatonia pemikiran’ (intellectual catatonia).
10. Sebagai contohnya, keghairahan universiti-universiti dan institusi-institusi pengajian tempatan yang seakan-akan meluap-luap untuk menggunakan karya-karya Mawdudi, Abu Hassan al-Nadwi, Hassan al-Banna, Yusuf Qaradawi, dan sebagainya sepanjang dekad-dekad yang lepas masih tidak meninggalkan sebarang kesan pemikiran yang berkekalan yang diinginkan.
11. Barangkali, semua ini disebabkan bahawa sarjana-sarjana tersebut itu tadi sebetulnya lebih dikenali kerana aktivisme politik (political activism) masing-masing.
12. Kerajaan Malaysia dalam pada menganjurkan suatu tindak balas yang berpatutan, seharusnya cuba menyegarkan semula tradisi pemikiran yang seerti dengan pembelajaran dan kemajuan. Kerana itu, zaman kebergiatan melulu (activism) dan kelemahan berfikir seharusnya ditinggal dalam lipatan sejarah.
13. Dalam zaman kita ini, jawapan-jawapan kepada permasalahan-permasalahan semestinya bersesuaian dengan kefahaman yang jitu dan mendalam berkenaan era moden, yakni berkenaan persekitaran yang melingkungi fahaman-fahaman yang menjadi anutan dalam era moden itu (its ideological milieu) dan sejarah kelangsungan alirannya (history of its passage).
14. Agama, dengan dibantu oleh batas sempadan akal (the confines of reason) seiringan dengan tafsiran yang betul berkenaan unsur-unsur dasar pandangan alam, harus dipelihara daripada dibinasakan oleh kejahilan; jika tidak, kecenderungan memahami serta memperlakukan segala-gala yang berkaitan agama sebagai peraturan-peraturan cuma, seperti apa yang telah dilakukan oleh bangsa Yahudi kepada agama mereka, akan terus berlangsung tanpa reda-reda.
15. Apa sebenarnya jawapan-jawapan bagi permasalahan-permasalahan yang kita perkatakan tadi? Sebahagian persoalan-persoalan yang lebih bermasaalah bagi kerajaan, misalnya, berkenaan dengan bagaimana kita seharusnya menerima globalisasi. Bagaimana sepatutnya kita menerimanya menurut rencana pandangan alam Islam? Apakah sebahagian daripada tujuan-tujuan utamanya berlawanan dengan Islam dan pandangan alamnya?
16. Malaysia berhasrat untuk muncul sebagai pusat bagi penyelesaian konflik; namun, menurut Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu dalam usaha mereka mempromosi dan mengeksport impian dan cita-cita mereka, “orang-orang perseorangan seharusnya bukan sahaja bebas untuk mengkritik agama yang sedia dianuti oleh mereka ketika mereka lahir ke dunia tetapi juga untuk menolak agama tersebut bagi tujuan memeluk agama yang lain atau kekal tiada beragama”.
17. Bagaimanakah kita dapat menjadi pusat bagi penyelesaian konflik sekiranya kita sendiri menghadapi konflik dengan cita-cita dan cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh badan-badan antarabangsa seperti Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu?
18. Lebih penting lagi, bagaimanakah kita akan menyelaraskan kenyataan itu tadi kerana ianya ketara berlawanan dengan rukun-rukun pandangan alam Islam?
19. Kita juga boleh menukilkan contoh yang lain yang berkaitan dengan ilmu ekonomi amnya dan dengan wang dan perbankan khasnya. Takrifan-takrifan semasa berhubung dengan wang dan faedah kekal bermasalah. Apa sebenarnya yang benar-benar mentakrifkan kekayaan? Apa sebenarnya yang betul-betul mencerminkan takrif riba? Sehubungan dengan semua ini, kita telah sekian lama menerima pandangan-pandangan para aktivis dari Mesir dan Benua India yang disebutkan tadi. Sekarang, akhirnya, kita harus bertanyakan soalan berikut. Apakah takrifan semasa berkenaan riba benar-benar memadai?
20. Apa yang telah kami perkatakan setakat ini cuma contoh semata-mata. Tetapi memadai dinyatakan di sini bahawa semua yang telah disebutkan tadi merupakan persoalan-persoalan yang memerlukan jawapan. Semua itu tidak boleh dijawab hanya dengan jalan memaksa masyarakat menerima dan mengamalkan sebagai kebiasaan sekumpulan undang-undang atau peraturan-peraturan yang telah sedia disilapfahami (by institutionalising a set of misunderstood laws).
21. Kegagalan dalam mengenalpasti hakikat bahawa menginstitusikan peraturan-peraturan yang sepatutnya sudah disemai dan dipupuk ketika umur muda lagi menyebabkan lembaga kewibawaan akliah dan kelayakan ilmiah yang sebenarnya (the institution of authority) menjadi rosak.
22. Hari ini kita semakin sedar akan masalah-masalah yang kita hadapi. Tetapi yang menyedihkan, kesedaran ini tidak benar-benar difahami menurut pengertian dan cara yang selayaknya.
23. Amanah supaya bertanggungjawab (onus of accountability) umumnya tidak dipedulikan. Beban tanggungjawab seakan-akan diwariskan pada golongan muda dan, dengan cara yang sedemikian itu, membebaskan mereka yang sedia berada pada kedudukan kekuasaan dan kepenguatkuasaan (one in a position of authority) dari sebarang tanggungjawab. Dan amalan salah yang sama berlarutan tanpa putus-putus.
24. Gagasan-gagasan ilmiah yang tidak memiliki makna-makna yang segera ketara [yakni, gagasan yang tulin tapi rumit] dianggap dan diketepikan sebagai slogan cuma; hasilnya, generasi-generasi yang mendatang lambat-laun menjadi lupa dan sebaliknya memilih untuk menganggap baik gagasan ini mahupun gagasan itu sebagai berasal daripada lingkungan wadah politik semata-mata.
25. Gagasan-gagasan ini, jika tidak diendahkan, akan akhirnya mendiami dan menetap di arkib-arkib sehinggalah sejarah kembali berulang; namun, kami telahpun menyatakan sebelumnya bahawa pendukung-pendukung kuat sesetengah gagasan itu berpendapat bahawa sejarah dan falsafah sudah tidak lagi sesuai untuk masa kini.
26. Dengan mengambil iktibar daripada sejarah, dengan menganjurkan satu penyegaran semula pelbagai cabang ilmu pengetahuan dan pemikiran Islam amnya, bagi tujuan memajukan kefahaman Islam orang-orang Melayu, ini merupakan sebahagian daripada apa yang seharusnya menjadi perjuangan pertubuhan pertubuhan siasah.
27. Tradisi akliah dan ilmiah orang-orang Islam seharusnya dimanfaatkan dan bukannya dipinggirkan ke bahu-bahu jalan bertaburan bersama-sama kejahilan, sisa buangan yang terbiar, dan kekecewaan serta putus harapan.
28. Pewujudan suatu kelaziman akliah dan ilmiah yang jitu lagi utuh (the establishment of an intellectual tradition) akan akhirnya berhasil melahirkan kewibawaan yang terlembaga dan masyarakat yang cerdik serta bijaksana (the establishment of authority and an intelligent society). Dan, dengan itu, tugas kita memahami zaman sekarang yang diacukan menurut rencana pandangan alam Islam akan menjadi sempurna, Insha’ Allah.
[ Sumber Dari Syed Ali Tawfik Al-Attas ]
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan