SEJARAH HIDUP TOKKU PULAU MANIS


SEJARAH HIDUP TOKKU PULAU MANIS

Ulama tersohor nusantara.
Sheikh Abdul Malik bin Abdullah, atau nama sebenarnya SHARIF ABDUL MALIK IBN SHARIF ABDULLAH, dilahirkan pada pertengahan tahun 1600 Masehi dan wafat pada tahun 1736 Masehi dan di makamkan di Kampong Pulau Manis, Terengganu. Beliau juga digelar Tok Ku Pulau Manis.
Pada makam beliau tertulis tarikh lahir beliau iaitu pada tahun 1089 Hijriah bersamaan tahun 1678 Masehi dan wafat pada tahun 1149 Hijriah bersamaan dengan tahun 1736 Masehi. Tetapi tarikh kelahiran beliau itu meragukan. Sheikh Abdul Malik sempat berguru dengan Maula Ibrahim al-Kurani atau dikenali juga dengan nama Maula Ibrahim al-Kurdi atau al-Madani semasa beliau menuntut ilmu di Mekah. Maula Ibrahim al-Kurani hidup antara tahun 1025 – 1101 Hijriah (1616 – 1690 Masehi). Kalau mengikut tarikh yang tertulis di makam beliau itu, Sheikh Abdul Malik baru berumur 12 tahun ketika Maula Ibrahim al-Kurani wafat. Mengikut sejarah lisan warisan pula, Sheikh Abdul Malik berada di Mekah selama 10 tahun dan pulang ke Terengganu dalam usia lingkungan 40 tahun. Ini bermakna beliau ke Mekah ketika berusia lebih kurang 30 tahun. Oleh itu bolehlah kita katakan bahawa beliau lahir pada pertengahan tahun 1600 Masehi. Satu lagi, di dalam kitab beliau bertajuk ‘Risalah Isra’ Mi’raj’ ada tertulis yang beliau siap menulis kitab tersebut pada 8 Jamadil Akhir, 1092 Hijriah. Jikalau benar beliau lahir pada tahun 1089 Hijriah bermakna beliau siap menulis kitab itu ketika berumur 13 tahun. Jika diandaikan beliau lahir pada tahun 1061 Hijriah atau 1650 Masehi, itu adalah lebih munasabah. Sementara tarikh kewafatan beliau yang tercatat sebagai 1149 Hijriah atau 1736 Masehi itu bolehlah diterima, iaitu ketika usia beliau dalam 80an tahun.
Mengikut Dr. Shafei Abu Bakar dalam tulisannya, ketika remaja Sheikh Abdul Malik sering mengikut bapa saudaranya Ismail berdagang sambil berdakwah ke Johor Riau, tanah Jawa, Fathani dan Champa. Dan dalam lingkungan usia 20 hingga 30 tahun beliau ada pergi menuntut di tanah Jawa dan Acheh. Ketika di Acheh beliau berguru dengan Sheikh Abdul Rauf Singkel ulama’ Acheh yang terkenal. Antara sahabatnya yang paling rapat ketika di tanah Jawa ialah Haji Muhammad Saleh bin Umar as-Samarani dari Semarang.
Sheikh Abdul Malik ke Mekah ketika berusia dalam 30 tahun. Di Mekah beliau berguru dengan antaranya Maula Ibrahim al-Kurani yang merupakan guru kepada Sheikh Abdul Rauf Singkel. Beliau juga dikatakan tinggal di rumah milik Sheikh Abdul Rauf di Mekah yang menjadi asrama bagi murid-murid Sheikh Abdul Rauf yang pergi melanjutkan pengajian di Mekah.
Sebelum pulang ke Terengganu dari Mekah lebih kurang 10 tahun kemudian, beliau terlebih dahulu singgah di Johor. Beliau dikatakan menjadi tempat rujukan Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Padang Saujana, Bendahara Johor. Di akhir kitab Risalah Israq Mi’raj karangan beliau (tamat menulis pada 8 Jamadil akhir, 1092H), beliau menisbahkan diri beliau dengan nama “Abdul Malik bin Abdullah al-Jawi al-Johori”. Beliau mengahwini Mahpuri puteri kepada Tok Raja Sawa Lela seorang keturunan Bendahara Johor yang telah berhijrah ke Terengganu dan tinggal di Kampong Batu Hampar. Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dengan tiga orang putera dan seorang puteri iaitu Sheikh Badaruddin, Imam Yusuf Kesum, Ya’akub @ Tok Bongkok dan Mek (nama sebenar tidak diketahui).
Apabila Tun Jenal putera Tun Habib Abdul Majid dilantik menjadi Sultan Terengganu yang pertama dengan gelaran Sultan Zainal Abidin pada tahun 1725 Masehi , Sheikh Abdul Malik dikatakan memainkan peranan utama dalam perlantikan itu. Sultan Zainal Abidin dikatakan telah mengahwini puteri beliau dan melahirkan seorang putera dinamakan Engku Embong. Christopher Boyer dalam kajian kesultanan Nusantara menulis, “... Sultan Zainal Abidin mengahwini anak perempuan Sharif Abdul Malik ibn Sharif Abdullah dan beroleh seorang putera bernama Engku Embong......Nang Rugayah bonda kepada Tun Tana Mansur (Sultan Mansor Shah – Sultan Terengganu ke-II) adalah isteri baginda yang kemudian....”
Sheikh Abdul Malik kemudiannya berpindah dari Kampong Pauh ke Pulau Manis. Perpindahan beliau diikuti sama oleh Sultan Zainal Abidin yang menjadikan Pulau Manis sebagai pusat pemerintahan Terengganu. Setelah beberapa lama baginda berpindah ke Bukit Keledang dan menjadikan Kuala Terengganu sebagai pusat pemerintahan negeri Terengganu hingga sekarang.
Di Pulau Manis Sheikh Abdul Malik mewujudkan pusat pengajian sistem pondok yang merupakan yang pertama di Tanah Semenanjung dengan mengambil contoh pengajian di Acheh dan Mekah. Pusat pengajian ini telah dihadhiri oleh penuntut-penuntut tempatan dan lain-lain negeri, juga dari Fathani. Ia juga dihadiri oleh Sultan dan para pembesar negeri. Pusat pengajian ini terus berkembang dan setelah beliau wafat ianya disambung oleh anak cucunya yang berkelayakan. Pusat pengajian yang diasaskan beliau ini kemudiannya dipindah oleh anak cucunya ke beberapa tempat hinggalah yang akhirnya di Kampong Padang Midin. Pusat pengajian terakhir ini ditutup pada tahun 1969. Ini bermakna pusat pengajian yang diasaskan beliau dapat bertahan selama lebih kurang 300 tahun.
Sheikh Abdul Malik terkenal sebagai seorang ulama’ berbagai bidang. Beliau juga seorang Sheikh Tarikat Shattariyyah dan Shadhaliyyah. Dalam bidang karangan beliau ada menulis beberapa buah kitab untuk kegunaan pusat pengajiannya. Kitabnya yang ulung ialah kitab Syarah Hikam Melayu, terjemahan Kitab al-Hikam Ibn Ata’illah al-Iskandari, juga seorang Sheikh Tarikat Shadhaliyyah dan ditambah dengan syarahnya sendiri. Kitab ini masih digunakan di musalla, surau dan masjid tertentu hingga sekarang.
Sheikh Abdul Malik meninggal dunia di Kampong Pulau Manis di mana beliau dimakamkan. Dan oleh itu juga beliau digelar dengan gelaran Tok Ku Pulau Manis. Pada makam beliau tercatat tarikh kewafatan beliau ialah pada tahun 1736 Masehi (1149 Hijrah).
Begitulah secara ringkasnya sejarah hidup Sheikh Abdul Malik salah seorang ulama’ yang tersohor di Nusantara. Semoga Allah merahmati ruh beliau dan ditempatkan di samping mereka-mereka yang dikasihi Nya.

Sumber: berita terengganu
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan