~BEBERAPA PERKARA MENGENAI ZIKRULLAH~
Oleh : Al Marhum Al Alamah Tuan Haji Ahmad Bin Hj Muhammad Said Ibnu Jamaluddin Al Linggi Al Malayuwi
MUfti Yang Pertama Kerajaan Negeri Sembilan (1950-1964)
Khalifah Tarekat Al-Ahmadiah Al-Rasyidiah Al-Dandarawiah
Fasal ini menyatakan sesuatu yang ada hubungan dengan Zikrullah. Ketahuilah bahawa Zikrullah adalah di antara amalan yang sayugia dilakukan tiap-tiap hari lebih-lebih lagi memandangkan suasana perjalanan Islam yang tidak stabil.
Dalam Sunan al-Tirmidzi yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Basar al-Sohabi r.a. bahawa seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Ya Rasulullah, sesungguhnya saya telah mengetahui banyak perjalanan agama Islam, tolonglah beritahu saya sesuatu yang boleh saya berpegang dengannya” maka Rasulullah s.a.w. menjawab dengan sabdanya: “ Hendaklah lidahmu sentiasa basah dengan zikir Allah Taala”. Al-Tirmidzi berkata, hadith ini adalah hadith hasan.
Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan al-Hakim dan Ibnu Hibban dalam sohehnya, berkata mereka hadith ini sah isnadnya dan Zikrullah adalah di antara amalan yang terbesar bagi segala tarekat. Orang yang beramal adalah Ahlullah, tempat terletaknya kepercayaan dan rahsia Allah.
Adapun kelebihan Zikrullah telah banyak di sebut dalam al-Quran dan Hadith hingga beberapa orang ulama’ telah mengarang kitab memperkatakan tentang kelebihan. Dan perkara yang berhubung dengan zikir, risalah yang kecil ini bukanlah tempat untuk memperkatakannya namun begitu saya ada menerbitkan sebuah kitab yang mengandungi lebih dari empat puluh hadith yang memperkatakan kelebihan berzikir. Sesiapa yang berhajat bolehlah merujuk kepada kitab itu.
Walau bagaimanapun dalam kitab ini saya suka menyatakan beberapa perkara penting berhubung dengan Zikrullah supaya ada faedahnya kepada pembaca kitab ini.
Ketahuilah, mudah-mudahan Allah memelihara kita sekalian daripada segala mara-bahaya dan menjadikan kita daripada golongan yang banyak berzikir. Adalah berzikir itu ialah dengan doa anggota, lidah dan hati, yang terlebih afdal ialah berzikir dengan lidah dan hati sekali. Jika mahu berzikir dengan satu anggota sahaja hendaklah berzikir dengan hati, ini terlebih afdal, kerana selamat dari riya’ dan bermeah-megah.
Walau bagaimana pun janganlah takutkan riya’ dijadikan alasan meningalkan berzikir, bahkan hendaklah ia berzikir dengan lidah dan hati atau salah-satu daripadanya dengan tujuan kerana Allah semata-mata. As-Sayyid al-Jalil Abu Ali al-Fadh bin Iyadh r.a. berkata: “Meninggalkan berzikir dan beramal kerana takutkan rya’ dan syirik adalah tidak wajar, kerana manusioa jika memilih jalan ni untuk selamat dari segala sangka jahat nescaya tutuplah dirinya daripada kebanyakkan sumber-sumber amal kebajikan dan ia akan kehilangan sesuatu yang amat besar ini bukanlah jalan yang betul, semoga Allah menjauhkan kita daripada riya’ dan syirik.
Ketahuilah bahawa zikir itu di berbagai peringkat keafdhalannya dan ia mempunyai macam-macam kelakuan. Adapun yang terutama sekali ialah zikir yang dilakukan dengan ikhlas dan khusyu’ jauh dari riya’ dan bermegah-megah serta menganggu manusia, samada ia berzikir seorang diri atau beramai-ramai dalam satu perhimpunan atau samada berzikir dengan perlahan atau mengangkat suara.
Dari sini jelaslah bahawa majlis-majlis zikir yang diadakan oleh ahli tarekat di mana terdapat berbagai kelakuan dengan kuat dan perlahan mengikut yang diterima dari guru-guru tarekat ini adalah harus hukumnya lagi tiada ditegah, malahan ini adalah afdhal. Kerana laku perbuatan mereka itu yang berkekalan sepanjang masa tanpa apa-apa perubahan. Adalah menunjukkan bahawa amalan itu adalah semata-mata kerana Allah, tidak ada perasaan riya’, niat menunjuk-nunjuk atau menganggu manusia lain yang sedang tidur, membaca al-Quran, beribadah atau sebagainya. Kerana majlis zikir mereka ini diadakan ditempat-tempat tertentudengan keredhaan dan permuafakatan, belum ada kami mendengar orang yang diganggu oleh suara kuat dari majlis-majlis zikir, kecualilah jika ia berzikir seorang diri dengan kuat dalam masjid, ini sudah tentu menganggu orang lain yang hendak sembahyang atau beribadat di masjid itu.
Dalam hal ini saya berpendapat berzikir dengan suara yang kuat dan dengan cara yang tertentu adalah afdhal kerana ia dapat menghasilkan wirid yang banyak menjagakan hati orang yang berzikir, menetapkan hati pada tujuan zikir itu, gerakkan badan dan kepala mengikut cara tertentu tatkala berzikir dapat menambah kerajinan dan menolak keinginan untuk tidur.
Wallahua'lam...
Sumber :
KITAB PENGANTAR KEPADA TARIQAT AHMADIYYAH
فرائد المآثر المروية للطريقة الأحمدية الرشيدية الدندراوية
Susunan :
Almarhum Al-Alamah Tuan Haji Ahmad Bin Hj Muhammad Said Ibnu Jamaluddin Al-Linggi Al-Malayuwi (1910 – 1964)
Bekas Mufti Negeri Sembilan Rahimahumullah Rahmah Wasiah Waghufiralahu Magfirah Jamiah Wajaala Maqamihi Min Ala Jannah .
AL Fatihah..
0 comments:
Catat Ulasan