APA ITU AHLI SUFI

 


APA ITU AHLI SUFI ?

Masyarakat Melayu atau Nusantara amnya mudah tertipu dengan dakyah tentang siapa itu Para Sufi dan Para Waliyullah' sehingga banyaknya ajaran sesat tersebar dan memburukkan sebarang aliran Tasawwuf atau Tarekat yang Muktabar di 

alam Melayu. Ini kerana rata-rata sedikitnya pakar rujuk yang berwibawa, baik di universiti mahupun di institusi agama di Negara ini.

Daripada yang sedikit itupun, mereka masih jarang dirujuk atau tidak dirujuk langsung untuk memberikan pandangan dan Fatwa oleh pihak yang berwajib melainkan dirujuk pula pada orang lain yang “Menyamar” menjadi pakar rujuk itu.

Oleh itu, orang awam yang membaca laporan dan berita negatif tentang Ahli Sufi cenderung mudah percaya dengan laporan tersebut sehingga mereka memandang serong Ahli Sufi dan orang yang Bertarekat. 

Akhirnya... Intipati dan mahkota ajaran Islam yang terpendam dalam ajaran Tasawwuf atau Sufisme itu terus terpendam, tidak dihargai dan yang parah lagi tidak dapat direalisasikan dalam bentuk amal dan perbuatan masyarakat Melayu yang semakin rapuh dan ternoda dengan pelbagai gejala sosial aliran Barat.

* AHLI SUFI DAN CIRI-CIRINYA

Secara amnya mereka inilah pencari Tuhan dan berharap untuk bertemu dengan-Nya didalam perjalanan menuju Liqa’ullah . 

Keikhlasan dan kesungguhan mereka untuk Mengenali Diri mereka sendiri dan kemudian Mengenali Allah swt menjadikan mereka dipanggil sebagai Para Salik (Pemula jalan Al-Haqq).

Minat dan dorongan mereka dalam banyak hal tidak didorong oleh sesiapa, mereka hanya mencari Kebenaran dan Keikhlasan didalam setiap hal. Mereka akan mengalami banyak hal dan keadaan yang pelik yang ditunjukkan oleh Allah swt sebagai Bukti (Bayyinah) bahawa mereka sedang dalam perjalanan yang diredhai.

Bukti-bukti utama antaranya ialah mereka bermimpi bertemu dengan Para Nabi as dan kemudian Para Wali Qutub. Sampai satu peringkat mereka akan bertemu dengan Para Waliyullah' yang masih hidup dan mereka akan mula diajar oleh mereka. Jika usaha dan niat mereka tidak benar pada peringkat ini, mereka tidak ditemukan kepada Waliyullah' sebaliknya ditemukan dengan Para Wali Syaitan.

Pada peringkat ini jika mereka menerima dan mengamalkan ajaran Para Wali Syaitan ini, mereka berakhir dengan menjadi bomoh atau dukun. Banyak menyatakan bahawa lebih mudah Mengenali Allah swt daripada Mengenali Waliyullah' . Ini benar kerana mereka manusia biasa yang tidak menunjukkan sebarang kelainan daripada orang lain (Dari segi fizikal dan penampilan luar).

Jadi, seorang Salik yang tulen akan ditunjukkan Kebenaran sangkaan dan pandangannya samada melalui pengesahan oleh Rasulullah saw (Biasanya melalui mimpi) atau peristiwa lain yang membuktikan Kewaliyan seseorang itu (Contohnya bertemu dengan Waliyullah' itu didalam Ka'abah atau melihat Waliyullah' itu memegang matahari dan bulan dan sebagainya dalam mimpi). Ini kerana Rasulullah saw, Para Anbiya’ as, Ka'abah, bulan dan matahari tidak boleh ditiru oleh syaitan didalam mimpi.

Ahli Sufi akan menjalani pengajaran secara Laduni dengan Para Nabi as (Termasuk Nabi Khidr as yang masih hidup) dan juga Para Wali Qutub (Contohnya Syeikh Abdul Qadir Al-Jailani, Syeikh Ibnu Arabi , Syeikh Abi Madyan, dan lain-lainnya) . Biasanya semua ilmu itu akan disahkan dan dihurai dengan lebih terperinci oleh seorang Guru Mursyid yang masih hidup (Bertaraf Waliyullah').

Proses pentarbiyahan Ahli Sufi ini termasuklah Bai’ah, Amalan dan Aurad berterusan (Contohnya Dzikir nafas dan zikir huruf) dan banyak lagi amalan yang mendekatkan diri dengan Allah swt setiap waktu.

Kerana Salik ini juga perlu bekerja dan berkeluarga, Guru Mursyid akan mengajarnya bagaimana membawa Dzikir Nafas sambil kita bercakap dengan orang atau membuat kerja-kerja harian. Laku yang paling penting ialah cara melaksanakan Solat secara Fana’ Baqa’ Billah.

Cara membawa dzikir dan ilmu yang diterapkan hujung jatuhnya dzikir tersebut (Bukan saja makna zahir zikir itu) juga amat penting, agar tidak jatuh ke dalam syirik khafi. Penekanan terhadap Solat malam hari, Solat-Solat Sunnat Tatawu’ dan lain-lain juga ditekankan. 

Guru Mursyid akan membimbing mereka cara membaca dan memahami makna-makna, tafsir dan takwil Al-Qur'an termasuk Rahsia-rahsia huruf muqotaat, ayat-ayat mutasyabihat dan lain-lain sehingga jelas dan terbukti Al-Qur'an itu adalah Mukjizat sepanjang zaman (Contohnya : Apabila membaca surah Al-Fatihah dalam Solat mereka mendengar Allah swt menjawab bacaan mereka, atau melihat huruf-huruf yang dibaca itu bangun dan memberi pelajaran kepada mereka dan sebagainya).

Biasanya cara belajar Ahli Sufi ini sangat berbeza dengan orang awam sebab mereka ini dianggap orang Khawas. Mungkin satu masa dulu anak murid Guru Mursyid ini ramai, tetapi kemudian Allah swt melakukan ujian tertentu sehingga hanya yang terpilih saja dapat meneruskan pencarian ilmu yang Haq dengan Guru Mursyid tersebut.

Didalam melaksanakan Rukun Iman ajaran mereka amat halus dan luar dari kebiasaan. Sebagai contoh, mereka bukan saja percaya kepada Para Malaikat dan Para Nabi as tetapi langsung berjumpa dengan mereka (Dalam banyak hal secara yakazah , bukan saja dalam mimpi).

Mereka akan belajar Ilmu-Ilmu Rahsia tentang Ketuhanan dan Rahsia kejadian semua makhluk, contohnya ilmu tentang Nur Muhammad dan Martabat Tujuh.

Sebagai pembuktian, mereka sendiri akan melihat Kitabul Mubin diturunkan ke hadapan mereka atau menyaksikan burung Nur Muhammad (Dalam catatan Ibnu Arabi burung ini dipanggil Anqa’ Mughrib).

Pada satu peringkat tertentu mereka akan dibenarkan mengembara ke Alam-Alam Malakut, Alam Jabarut dan Alam Lahut serta dapat menyaksikan Arsy, Kursy, Sidratul Muntaha dan sebagainya. Banyak daripada “Kemudahan” ini berlaku didalam Bulan Ramadhan.

Allah swt akan menghadiahkan nama Rahsia, Istighfar dan Selawat KHAS setelah Allah Redha dengan mereka dan diakui sendiri oleh Baginda Rasulullah saw sebagai umatnya yang setia.

Dari segi kebolehan Para Salik itu, mereka akan menjalani pelbagai ujian dari Guru Mursyid mereka melalui laku khalwat, talqin, qiyamul lail, ujian bertulis dan pelbagai laku yang difikirkan sesuai oleh guru mereka.

Kadang-kadang mereka diminta untuk membantu orang didalam kubur atau membantu orang yang diganggu makhluk halus atau memindahkan perkampungan jin dan sebagainya. Walaupun mereka biasa boleh mengubat secara Islami masalah seperti santau, saka dan sebagainya, mereka tidak pernah menjadikan ini aktiviti utama dan mereka akan mengelak dari banyak menghabiskan masa dengan kerja seperti ini kerana takut menjadi terkenal atau lalai daripada membuat kerja-kerja amal lain yang diperuntukan.

Ciri lain Ahli Sufi ialah mereka mementingkan hal-hal akhirat lebih dari hal duniawi. Jika diberikan pilihan mereka akan memilih Hal Ukhrawi, Keilmuan dan Peringatan atau Nasihat daripada perkara lain.

Kesihatan dan pembaikan Roh lebih diutamakan daripada kesihatan jasad dan penampilan diri luar. Mereka rajin dan tekun membuat kerja harian bukan sebab mengejar dunia tetapi sebab ingin mendapatkan Redha majikan dan Allah swt dalam mendapatkan rezeki yang halal.

Mereka tidak mengeluh sebab mereka tahu itu Syirik Khafi . Mereka tahu membersihkan Jiwa mereka melalui Dzikir pembersihan semua Lathaif selain daripada melakukan muhasabah diri selalu. Setiap tibanya waktu Solat merupakan waktu yang bahagia kerana terdorong oleh Cinta, Kasih dan Rindu yang tersangat kepada Maha Pencipta dan Kekasih Hati.

Mereka berinteraksi dengan manusia bukan dengan penumpuan jasadi malah secara Rohani iaitu mereka boleh berbicara dengan Roh-Roh (Baik manusia yang hidup mahupun yang mati). Nasihat mereka akan membuat manusia menangis secara meraung dan menyesali diri .

Mereka berbicara dengan HIKMAH. Orang yang Kasyaf akan dapat melihat apa yang tertulis pada lidah-lidah dan badan Ahli Sufi ini, melainkan jika Ahli Sufi itu menutupi Rahsia dirinya dengan Kalimah tertentu. Pada pandangan luar mereka kelihatan sama dengan orang lain, tetapi Kerohanian mereka sentiasa dengan Al-Haqq.

* AHLI SUFI DAN ORANG AWAM

Orang awam yang dikalangan mereka terdapat Ahli Sufi sangatlah beruntung. Mungkin yang membaca Doa dan menjadi Naqib didalam suatu majlis Tahlil di rumah atau di surau orang biasa dan Doanya tidak terangkat, tetapi disebabkan oleh kehadiran Sufi tadi (Kemungkinan besar tanpa disedari ramai) doa mereka semua terangkat, ini kerana cara Ahli Sufi menempatkan permohonan dan cara mengaminkan Doa itu seperti yang dikehendaki Allah swt (Biasanya dia kena lulus ujian Doa dari gurunya yang Mursyid, kriteria lulus ini agak ketat seperti tiang Arsy' mesti bergegar, empat Malaikat utama mesti turun, enam perkara mesti dibawa didalam Doa dan banyak lagi). 

Ya, sukar untuk menghadamkan hal sebegini jika kita hanya menggunakan Akal sahaja. Hati, Nurani dan Jiwa mestilah dilibatkan sekali. Barulah kita boleh memahaminya...

Ahli Sufi kalau ke mana pun berjalan dia akan berjumpa Para Sufi dan Waliyullah' yang lain sebab mereka saling mengenal (Roh mengenal Roh). Oleh itu Ahli Sufi tidak sunyi daripada urusan “Belajar dan mengajar” dimana pun mereka berada.

Walaupun mereka tidak dikenali dan biasanya tidak menonjol didalam masyarakat, yang jelas mereka boleh mengubati orang lain, seperti menentang sihir, memindahkan penempatan jin, mengeluarkan santau dan menghapuskan saka dan lain-lain. Tetapi, masyarakat biasanya tidak Sedar kehadiran mereka sebab mereka sibuk dengan urusan diri mereka sendiri.

Jika mereka menziarahi kubur mereka mengucapkan “Assalamuala ahli Lailahaillallah min ahli Lailahaillallah” . 

Mereka dapat memasukkan “Cahaya” kepada si mayat dengan bacaan Fatihah mereka kerana mereka mengetahui kedudukan Fatihah didalam jasad si mayat. Tahlil mereka begitu Sempurna sehingga berkat bacaan mereka itu si mayat terlepas dari soalan dan siksaan kubur dengan izin-Nya jua.

Ahli Sufi sebetulnya adalah pemula atau Salik dalam jalan Kewalian. Sebab itu Tarekat mereka kadang-kadang tidak bernama. Akan tetapi, jika diberi nama lebih tepat ia dinamakan Tarekat Kenabian. Ini kerana mereka dipimpin oleh Para Nabi (Salah satu dari yang 25 atau kadang-kadang lebih dari satu).

Ini adalah perjalanan Para Nabi as seperti yang dihurai oleh Ibnu Arabi didalam kitab Fusus Al-Hikam.

Biasanya mereka juga bertemu dan belajar dengan Nabi Khidr as (Dan mungkin juga Nabi Iliyas as). Selain daripada Para Nabi as, mereka juga akan belajar dari salah seorang atau keempat-empat Para Sahabat Rasulullah saw yang utama dan (Atau) dengan empat Malaikat yang utama .

Disebabkan mereka ada nama Rahsia yang diberikan oleh Allah swt, mereka dikenali di langit dengan nama itu dan jika mereka gunakan nama itu ketika berdepan dengan para makhluk yang jahat, makhluk jahat dan halus itu akan tunduk.

Mereka sentiasa duduk didalam Cinta, Kasih dan Rindu kepada Allah swt dan Doa mereka adalah “Wahai Allah, jadikanlah kami hamba-hamba kebaikan bukan hamba-hamba ujian”. Kerana ini mereka tidak diuji seperti manusia lain sebaliknya mereka diberi Tugas, kebanyakannya tugas berat serta mencabar.

Jika mereka melalui kuburan, mungkin mereka akan terpanggil untuk Mendoakan para mayat yang tersiksa. Bila mereka memberi salam kepada ahli kubur dengan salam “Assalamuala ahli Lailahaillalahu min ahli Lailahaillallah” maka para ahli kubur akan bangun menjawab salam mereka, sebaliknya yang tidak dapat berbuat demikian pastinya adalah kumpulan yang sedang disiksa oleh Malaikat Mungkar dan Nakir.

Jika Ahli Sufi ini hadir bila dipanggil untuk Bertahlil, dia dapat menghadirkan si orang yang Ditahlilkan itu dan mengetahui keadaannnya.

Begitu juga, beruntunglah orang yang mengajak Ahli Sufi ini untuk hadir didalam majlis pernikahan sebab Ahli Sufi ini akan menghadirkan Jibrail (Dan tiga malaikat lain) untuk menjadi SAKSI. Dia akan dapat mengesahkan sama ada nikah itu Sah atau tidak dari perkara yang Ditajallikan oleh Allah swt. contohnya seperti melihat pena melakar bulatan dengan ditutup dengan titik tengah atau dokumen dimasukkan dalam peti berkunci (Boleh dengar bunyi kunci tersebut) dan sebagainya.

* JALAN MENUJU MAKRIFATULLAH

Jalan menuju Makrifatullah penuh liku dan jerangkap samar, takkan lepas seorang Salik tanpa bimbingan Gurunya yang Mursyid dan tanpa Hidayah dan Inayah Allah swt. Bagi Ahli Sufi, mereka Dicintai oleh Allah dan dikehendaki oleh Allah baru mereka Mencintai dan Mengkehendaki Allah swt.

Mereka Beriltizam sesungguhnya untuk menemui Allah swt semenjak kecil lagi dan Allah swt akan membuka jalan untuk mereka dalam waktu tertentu seperti pada umur 20an, 30an atau 40an. Bagi yang Diredhai Allah swt mereka melalui jalan singkat dan tidak berliku, ini kerana pemerhatian mereka yang tuntas terhadap perbuatan (Af’al) Allah, lalu mereka Redha dan mempunyai Adab terhadap Allah, lalu Allah swt mengangkat mereka.

Contohnya sebagai permulaan, Allah swt menjadikan mereka tempat berkumpulnya barang-barang peninggalan Para Waliyullah', kemudian juga barang-barang pelik dari seluruh dunia dan kemudian barang-barang peninggalan Para Sahabat ra dan Rasulullah sa.w Tetapi, Salik ini tidak bangga malah dia terus bersyukur sebab dia tahu ini adalah Hadiah (Tanda) dari Kekasihnya.

* KESIMPULAN

Menjadi satu Paradoks Moden bahawa di Barat semakin ramai Islamologis yang mengkaji tentang Sufi dan Kesufian (Sufisme) sedangkan di Timur dan di kalangan sarjana Muslim sendiri, bukan sahaja Sufi itu dicemuh malah terdapat banyak usaha untuk menjatuhkan imej Sufisme (Mahkota dan intipati Islam) itu sendiri, sedangkan Islam yang disebarkan ke Nusantara, India dan ke Timur amnya, semuanya disebarkan oleh Para Ahli Da’i Sufi dan penyebar Tarekat yang hebat.

Fenomena “Kacang lupakan kulit” ini memanglah diatur dan dirancang oleh pihak tertentu agar KEBANGKITAN Ummah tidak berlaku, agar Islam termaktub didalam lingkungan masjid dan ia tidak sampai ke sistem pendidikan, perbankan atau sistem-sistem lain.

Pada hari ini, Negara yang mendokong Sufi seperti Chechnya akan dapat bertahan dari serangan dan penaklukan kuasa asing. Manakala dimana negara Sufi diremehkan dan ditinggalkan, negara itu akan menderita dan punah disebabkan oleh kuasa asing seperti Iraq, Libya dan Palestina.

"Ulama adalah tonggak negara, rosak Ulama maka hancurlah negara"

[ Sumber dari Syeh Haqtullah ]

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan