BELAJAR MELEPASKAN
Allah tidak pernah minta kita melupakan, selagi akal berfungsi, kenangan akan terus tersimpan dalam memori. Allah mengajar kita menghargai dan meredhai.
Zaman yang penuh keindahan. Jadi pujaan, kegilaan setiap mata yang memandang. Kulit gebu, tegang berkilat. Rambut hitam, lebat. Tenaga sekuat badang.. Langkah tegap tiada siapa yang mampu tumbangkan.
Ada jawatan, nama dijulang tinggi, dipuji melangit, ke mana kaki melangkah semua datang untuk meraikan dan memuliakan, duit berkepuk-kepuk, pendapat dan pandangannya sangat bernilai.
Itu dulu..
Satu masa, segala kemahsyuran itu akan lenyap, hilang. Yang tinggal hanya sisa-sisa hidup, kita bukan lagi sesiapa. Seolah berpindah ke satu daerah yang baru dan sepi.
Allah awali kehidupan yang penuh dengan pesona agar kita faham dan belajar bahawa hidup kita adalah fana', tidak ada satupun yang kekal. Singkatnya hanya ada 3 hari.
Hari semalam yang tinggal kenangan, tidak mampu lagi untuk kita melewatinya. Yang berlalu biarlah ia pergi, usah tangisi.
Allah sedang bekalkan kita hari ini..
Hari ini, yang sedang kita nikmati sekarang. Andai kita manfaatkan dengan jalan kebaikan, banyak beristighfar, bermuhasabah, memperbaiki segala yang kurang, kita akan melepaskan hari ini dengan penuh rasa puas dan tiada penyesalan.
Hari esok..
Belum tentu milik kita. Jika nafas ini masih belum terhenti.. Syukur pada Rabbul izzati.
Terkenang senyuman orang yang kita sayang, Ibu ayah, adik beradik, sahabat dan jiran yang telah lama pergi meninggalkan.. Teringin sangat nak jumpa walau seketika. Nak pandang wajah mereka puas-puas. Nak dengar suaranya, nak makan sama-sama. Rindu nak berbual macam dulu-dulu.
Itu dulu..
Belajarlah melepaskan walaupun sangat sukar dan siksa. Kenapa Allah datangkan rindu sehingga mencengkam jiwa, mengalir air mata.
Allah nak kita tahu..
Hati dan perasaan ini milik Allah, tiada daya kita nak menjauhkan walau seinci. Belajarlah, bila datangnya perasaan rindu..
Doa, doa dan doa..
Itulah hadiah yang paling mahal untuk mereka.
Hampiri Allah, berharap pada Allah, dampingi Allah. Pasti dan pasti DIA tidak akan pernah meninggalkan kita.
Jangan pernah melupakan, jika kita tidak mahu dilupakan.
0 comments:
Catat Ulasan