Syeikh Abdul Samad al-Falembani



Arif Rabbani al-Mujaddid Nisbi, Syeikh Abdul Samad al-Falembani ( 704 - 1789)
Oleh : Tengku Yusuff
 Ulama Melayu Termahsyur!
Apabila disebut nama beliau, seluruh Nusantara pasti pernah mendengarnya. Jasa dan baktinya pada ummah sentiasa akan mekar di dalam hati para pencinta ilmu. Karyanya yang agung masih digunakan sehingga ke hari ini walaupun sudah melebihi 200 tahun. Boleh dikatakan majoriti pondok-pondok di Nusantara pasti akan menggunakan kitabnya sebagai sumber dalam mendidik jiwa anak murid.
Nama penuhnya ialah Syeikh Abdul Samad Bin Syeikh Abdul Rahman al-Jawi al-Falembani Bin Syeikh Abdul Jalil al-Mahdahi Bin Syeikh Abdul Wahab Bin Syeikh Ahmad al-Mahdani dan beliau dilahirkan pada tahun 1704 di Palembang, Indonesia.
Riwayat yang kedua menyebut bahawa nama penuhnya ialah Syeikh Abdul Samad Bin Syeikh Abdul Rahman Bin Abdullah Bin Ahmad al-Falembani.
Ada juga yang menyebut Syeikh Abdul Samad Bin Syeikh Abdur Rahman Bin Syeikh Abdul Jalil al-Falembani.
Kata pengkaji sejarah Kedah, makam Syeikh Abdul Rahman yang didakwa sebagai ayah Syeikh Abdul Samad ini terletak di Kampung Kota Mengkuang, Jitra.
Ayahnya atau datuknya yang bernama Syeikh Abdul Jalil ini berasal daripada Yaman dan merupakan Mufti Kerajaan Kedah di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu'adzam Shah II. Jawatan tersebut diteruskan oleh Syeikh Wan Abdul Qadir al-Falembani iaitu anak Syeikh Abdul Jalil sendiri.



Syeikh Abdul Samad mendapat pendidikan awal dari orang tuanya sendiri di Kedah. Kemudian beliau bersama adik-adiknya dihantar mengaji di Patani. Kemungkinan Syeikh Abdul Samad dan saudara-saudaranya Syeikh Wan Abdullah dan Syeikh Wan Abdul Qadir telah memasuki pondok-pondok yang terkenal pada ketika itu antaranya ialah Pondok Bendang Gucil di Kerisik, atau Pondok Kuala Bekah atau Pondok Semela yang semuanya terletak di Patani. Namun yang pasti, beliau sempat memasuki Pondok Pauh Bok.
Sewaktu masih di Patani lagi, Syeikh Abdul Samad telah dipandang alim, kerana beliau adalah sebagai kepala menthalaah di pondok. Namun ayahnya berusaha mengantar anak-anaknya melanjutkan pelajarannya ke Mekah.
Syeikh Abdul Samad al-Falembani, belajar di Mekah sekitar 30 tahun dan di Madinah pula 5 tahun bersama kawan-kawannya. Mereka ialah :
1. Syeikh Muhammad Arsyad Bin Abdullah al-Banjari (1710-1812)
2. Syeikh Abdul Wahab Pang-kajene (Sidenreng Daeng Bunga Wardiah) Bugis (1722-1786)
3. Syeikh Abdur Rahman al-Masri
4. Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari (1735-1812)
5. Syeikh Muhammad Ali Aceh
6. Syeikh Wan Daud Bin Abdullah al-Fathani (1769-1849) dan ramai lagi
Di antara guru-gurunya ialah:
1.Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani - ayah atau datuknya
2. Syeikh Abdur Rahman Bin Abdul Mubin Pauh Bok
3. Wali Qutb Syeikh Muhammad al-Sammani al-Madani
4. Syeikh Abdur Rahman Bin Abdul Aziz al-Maghribi
5. Syeikh Muhammad Bin Sulaiman al-Kurdi - Syeikhul Islam & Imam Haramain
6. Syeikh Ibrahim al-Rais
7. Syeikh Muhammad Murad
8. Syeikh Muhammad al-Jauhari
9. Syeikh Atha’illah Bin Mashri
10. Syeikh Ahmad Bin Abdul Mun’im al-Damanhuri
11. Syeikh as-Sufi Saiyid Ahmad Bin Muhammad Syarif Maqbul al-Ahdal
12. Syeikh asy-Syihab Ahmad Bin Abdul Fattah al-Malawi
13. Syeikh Saiyid Abil Faidh Muhammad Murtadha Bin Muhammad az-Zabidi
14. Syeikh Muhammad Zain Bin Faqih Jalaluddin Aceh
15. al-Mu’ammar Syeikh Aqib Bin Hasanuddin Bin Ja’far al-Falimbani (ada riwayat menyebutkan bahawa beliau ini bukan guru malah muridnya)
Selepas selesai menuntut ilmu, Syeikh Abdul Samad al-Falembani tidak pulang ke Kedah seperti saudara-saudaranya namun terus menetap di Mekah dan menjadi guru agama di Masjidil Haram.
Di antara anak murid beliau ialah :
1. Syeikh Wajihud Din al-Ahdal - Mufti Zabid, Yaman
2. Syeikh Wan Daud Bin Abdullah al-Fathani
3. Tuan Guru Haji Ishak Bin Mohammad Hashim - Mufti Kubang Pasu, Kedah
4. Tuan Guru Haji Mahmud Bin Muhammad Isa al-Tarkanu
5. Hajah Fathimah Binti Syeikh Abdul Samad al-Falembani - anaknya dan guru kepada Syeikh Nawawi al-Bantani
Hasil dari ilmunya yang tinggi serta alim dari pelbagai bidang ilmu, terhasil lah beberapa buah kitab yang amat masyhur . Di antaranya ialah :
1. Zuhrah al-Murid fi Bayan Kalimah al-Tauḥid ( Ilmu Mantiq & Usuluddin ) - 1764
2. Nasihah al-Muslimin wa Tadzkirah al-Mu’minin fi Fadail al-Jihad fi Sabilillah wa Karamah al-Mujahidin fi Sabilillah ( Bicara bab Jihad ) - 1772
3. Tuhfah al-Raghibin fi Bayan Haqiqah Iman al-Mu’minin wa ma Yufsiduh fi Riddah al-Murtaddin ( Penjelasan Ilmu Tasawwuf ) - 1774
4. al-Urwah al-Wustqa wa Silsialh uli al-Tuqa ( Wirid )
5. Hidayatus Salikin ( Terjemahan Kitab Bidayatul Hidayah Karya Imam Ghazali ) - 1778
6. Ratib Abdul Samad ( Doa , Zikir & Selawat )
7. Sairus Salikin ( Tasawwuf ) - Empat Jilid : 1779 - 1788
8. Zad Al-Muttaqin fi Tauḥid Rabb al-Alamin ( Ilmu Tauhid yang diambil dari kalam gurunya Syeikh Muhammad al-Sammani ) - Karya yang hilang
Syeikh Abdul Samad al-Falembani merupakan tokoh sufi yang amat alim dan tinggi maqamnya. Sehinggakan pernah disebut oleh alim ulama' tanah Melayu bahawa di Nusantara ini tiada siapa yang lebih alim dari Syeikh Abdul Samad al-Falembani dalam ilmu sufi dan tasawuf.
Syeikh Abdul Samad adalah seorang wali Allah yang dikurniakan pelbagai koramah daripada Allah Taala. Ada sebuah kisah yang pernah diriwayatkan mengenai Wali Allah ini bersama sahabat-sahabatnya yang digelar "Wali 3 Serangkai" :
Suatu hari Syeikh Abdul Samad al-Falembani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Syeikh Daud al-Fathani telah meminta izin kepada gurunya untuk bermusafir ke Afrika. Tunjuannya adalah untuk menemui seorang ulama' yang dikatakan seorang Wali Allah.
Maka ketiganya pun berangkatlah menuju ke Iskandariyah. Di sana mereka berjalan jauh ke pendalaman Afrika. Setelah sampai, mereka telah diuji oleh Wali tersebut.
Wali Allah itu ingin memakan buah-buahan yang berasal dari tanah Jawi. Maka Syeikh Abdul Saman solat hajat dua rakaat dan diambilnya buah durian dari negeri Palembang.
Kemudian giliran Syeikh Muhammad Arsyad pula diambilanya tembikai yang berasal dari Banjarmasin.
Terakhir sekali, Syeikh Daud pun mengambil tembikai yang berasal dari negeri Senggora.
Wali Allah itu pun mengaku bahawa ketiga orang mahasiswa Jawi itu telah sampai ke darjat yang tinggi dalam ma'rifatullah.
Dalam sebuah kisah lain, Syeikh Abdul Samad al-Falembani suatu hari pulang ke kampungnya. Waktu itu Belanda sedang menjajah Indonesia. Lepas melihat bagaimana cara Belanda memerintah negerinya, maka timbul dalam hati beliau perasaan benci yang amat sangat. Terus Syeikh Abdul Samad menebang sebatang pokok besar dan memahat sampai menjadi sebuah perahu. Dengan perahu itu, beliau belayar pulang ke Mekah.
Syeikh Abdul Samad gugur syahid pada tahun 1789 sewaktu berusia 85 tahun selepas terlibat di dalam peperangan Kedah Patani melawan Siam yang disebut sebagai Perang Musuh Bisik. Jenazahnya disemadikan di Kampung Ban Trab, Songkla, Thailand (antara Kampung Sekom dengan Kampung Cenak, di kawasan Tiba).
Moga Allah Taala merahmati roh auliaNya. Amin
*Sumber - Tulisan Syeikh Wan Mohd Shaghir
#KenaliUlamak
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan