ULIL ALBAB*
Sungguh susah menjaga perjalanan Hati atau Roh,
Susah dikesan, apatah lagi amat susah dikontrol atau dikendalikan
Kecuali "Ashabul Qulub" atau "Ulil Albab"
Adakalanya di waktu kita menceritakan Penyakit Hati kepada pendengar,
Di waktu itulah suburnya Penyakit itu.
Sebagai contoh di ketika seseorang menceritakan tentang Ikhlas,
Di waktu itulah tidak Ikhlas kerana Hatinya berkata di waktu itu
agar orang-orang menganggap dianya Ikhlas.
Ketika dia menceritakan jangan Riyak, jangan ‘Ujub, ia adalah Dosa Batin,
Di waktu itulah Riyak dan ‘Ujub.
Seterusnya selalu kita berkata jangan Cintakan Duniawi,
Di waktu bercakap itulah dia Cintakan Duniawi, kerana dia mengharapkan Pujian di waktu itu.
Memang ramai orang amat SULIT sekali mengesan Penyakit Hati,
Kadang-kadang Para ulamak, Abid-abid ramai yang diserang Penyakit Batin ini,
Ulamak tertipu kerana dilindungi oleh ilmunya,
Ahli-ahli ibadah ditutup oleh banyaknya ibadah sehingga Penyakit Batin tidak terasa lagi,
Aduh ! sungguh susah sekali hendak mengesan Penyakit Hati atau Penyakit Batin ini.
Tidak ada orang yang tidak diserangnya sekalipun Para Pejuang
KECUALI siapa yang TUHAN selamatkan, maka selamatlah dia.
TUHAN kami berlindung dengan Engkau daripada penyakit-penyakit ROHANIAH.
Fahamkanlah kami perjalanan HATI atau ROH itu,
Lihatkanlah kepada kami BAIK dan BURUKNYA.
Diajarkan kami bagaimana menyuburkan yang BAIKNYA, dan ajarkan kami bagaimana membuang yang BURUKNYA.
Tolonglah kami TUHAN, kerana Hati itulah yang menjadi pandangan Engkau atau penilaian Engkau,
Jadikanlah kami Ashabul Qulub atau Ulil Albab.
Daripada Abu Hurairah R.A katanya : Rasulullah saw bersabda;
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu, tetapi Dia melihat hati dan amalan kamu."
(Riwayat Muslim)
0 comments:
Catat Ulasan