Abdul Qadir Jailani

 




Abdul Qadir Jailani

Jump to search

Ibu bapa beliau

Sayyid Abu Muhammad Abdul Qadir lahir di Naif dalam daerah Jilan di negara Parsi. Beliau lahir dalam bulan Ramadhan 470 Hijriah bersamaan dengan 1077 Masihi lebih kurang. Nama bapanya ialah Abu Soleh, seorang yang taat kepada Allah dan keturunan imam Hassan iaitu anak kepada yang tertua bagi Saidina Ali saudara sepupu Nabi besar Muhammad s.a.w. dan bagi Fatimah anak perempuan Nabi. Ibu beliau ialah seorang anak perempuan kepada orang yang taat kepada Allah - Abdullah Saumi - keturunan imam Husin, anak kepada Ali dan Fatimah. Oleh yang demikian Sheikh Abdul Qadir Jilani ialah keturunan Hassan dan juga Hussin.

Permulaan hayatnya

Dari semenjak kecil lagi beliau adalah seorang yang pendiam dan bersopan santun. Beliau suka bermenung sambil berfikir dan sangat cenderung kepada mistik (pengalaman kerohanian). Setelah umur beliau meningkat 18 tahun, beliau makin dahagakan ilmu dan ingin bersama-sama dengan orang-orang saleh. Ini membuat beliau ingin pergi ke Bagdad, yang pada masa itu menjadi pusat pengajian dari berbagai-bagai jenis.

Beliau telah diberi gelaran “Ghaust al azim” (wali Allah yang paling agung). Menurut istilah orang-orang shufi ghaust itu dibawah peringkat nabi-nabi dalam pangkat kerohanian dan dalam menyampaikan rahmat Allah dan kurnia Nya kepada manusia. Ada juga orang zaman sekarang ini yang mengatakan beliau itu adalah dalam peringkat siddikin sebagaimana yang dikatakan oleh Quran bagi orang-orang seperti itu.
Adalah dikatakan bahawa semasa beliau hendak pergi ke Bagdad, ibunya telah memasukkan 80 keping wang emas dalam bajunya dan di jahit dibawah ketiaknya. Sebelum berangkat pergi ibunya yang warak itu telah menasehati beliau supaya jangan berbohong walau dalam keadaan apa sekali pun. Beliau berjanji tidak akan berbohong.

Beliau pun pergilah menurut satu kafilah yang hendak pergi ke Bagdad. Di tengah jalan iaitu ditempat bernama Hamdan, kafilah itu telah diserang oleh sekumpulan penyamun. Penyamun itu tidak mengindahkan Abdul Qadir kerana rupanya yang seperti orang miskin sahaja. Tetapi datang seorang penyamun bertanya kepada beliau samada beliau ada wang. Abdul Qadir teringat pesanan ibunya supaya jangan berbohong. Lantas beliau berkata, “Ya, aku ada 80 keping wang emas dijahit dalam bajuku oleh ibuku”. Penyamun itupun terkejut melihat Abdul Qadir bercakap dengan terus terang. Mereka terkejut melihat ada orang yang berterus terang dan tidak mahu berbohong. Mereka bawa Abdul Qadir berjumpa dengan ketua mereka dan beliau di soal begitu juga. Abdul Qadir menjawab seperti tadi juga. Ketua penyamun itu memerintahkan baju beliau dibuka . Apabila baju itu dibuka, maka benarlah ada 80 keping wang emas dalam baju itu. Sangatlah hairan ketua penyamun itu. Ia pun bertanya kenapa beliau sangat bercakap benar.

Abdul Qadir pun menceritakan perkara beliau dengan ibunya itu dan pesanan ibunya itu supaya jangan bercakap bohong. Kata beliau lagi sekiranya dalam permulaan jalan menuntut ilmu agama itu beliau bercakap bohong, maka kemungkinan ilmu agama yang sebenarnya dicarinya itu tidak akan didapati dengan memuaskan hati.

Apabila mendengar yang demikian itu, ketua penyamun itu pun bercucuran air matanya menangis lalu rebah terduduk dan ia terus bertaubat dari segala dosanya yang telah lalu. Adalah dilaporkan bahawa ketua penyamun itulah murid beliau yang pertama. Pendapat kita kejadian ini menunjukkan sadik yang sedang dalam pembentukan. Jika tidaklah kerana sifatnya yang benar itu, maka tentu sekali beliau tidak akan bercakap benar dalam keadaan merbahaya yang sedemikian itu.

Penuntut di Bagdad

Beliau mengalami kesusahan dan kepayahan masa belajar di Bagdad itu tetapi oleh kerana kecenderungn dan kemahuannya belajar maka dapatlah beliau menguasai segala pelajaran beliau. Beliau menjadi pelajar yang paling baik dimasa itu. Beliau telah membuktikan bahawa beliau adalah mufti yang paling besar di zamannya. Tetapi hatinya yang cenderung kepada kerohanian itu makin memberontak hendak keluar. Beliau selalu bermujahadah untuk menguasai nafsu amarah yang ada pada beliau itu. Beliau selalu berpuasa dan tidak mahu meminta makanan daripada sesiapapun walaupun tidak makan beberapa hari lamanya. Beliau mencari orang-orang shufi di Bagdad dan bergaul dengan mereka. Dalam mencari-cari itu bertemulah beliau dengan seorang shufi bernama Sheikh Hamad Ad-Dabbas, seorang penjual syarbat (air sirap) tetapi adalah seorang wali Allah yang besar dizaman nya (wali qutub). Lalat tidak menghinggapi air sirapnya. Beransur-ansurlah wali ini membimbing Abdul Qadir dalam tarikat shufiyah.

Latihan keruhanian

Setelah habis pengajiannya beliau pun terus berlatih menurut latihan orang-orang dalam tarikat shufiyah. Beliau menghindarkan dirinya dari segala keperluan dan keseronokan hidup kecuali yang paling perlu untuk kehidupan. Beliau gunakan masa dan tenaganya untuk bersembahyang dan membaca al-Quran. Beliau sembahyang subuh kadang-kadang dengan wudhu sembahyang isyak. Kadang-kadang beliau tamat membaca seluruh al-Quran itu dalam masa satu malam sahaja. Dalam tempoh latihan ini beliau menghindarkan dirinya dari manusia dan tidak mahu bertemu dan bercakap dengan sesiapa pun. Jika ia bersiar-siar keluar, ia pergi kepadang pasir seorang diri.

Akhirnya beliau meninggalkan Bagdad dan tinggal di Shustar, satu tempat yang jauhnya 12 hari perjalanan dari Bagdad. Selama 11 tahun beliau mengasingkan dirinya dari dunia. Ramai jin datang berguru kepadanya. Setelah genap sebelas tahun itu, maka latihan kerohanian beliau pun tamatlah. Beliau pun menerima apa yang dikatakan ‘nur’. Nafsu kebinatangan atau nafsu amarahnya pun kosong dari jiwanya dan beliau naik keperingkat yang lebih tinggi dalam kerohanian. Beliau pun berada hampir dengan Allah.

Guru kepada orang ramai

Sheikh Abdul Qadir telah lulus ujian-ujian kerohanian itu, selepas itu jika beliau bercakap atau menasehati seseorang, maka beliau berbuat demikian bukan dari bidang kebijaksanaan akal sahaja lagi tetapi adalah dari bidang kerohanian – bidang kesedaran dan perwujudan diri. Pada masa itu keadaan umat Islam dalam mematuhi agama mereka telah merosot sekali, ummat Islam tidak memperdulikan agama mereka lagi. Memandangkan hal inilah timbul satu pandangan pada beliau.

Pada satu hari Jumaat dalam tahun 511 Hijriah, Sheikh Abdul Qadir memandang dalam batinnya bahawa ia seolah-olah sedang berjalan disatu lorong di Bagdad. Sedang berjalan itu beliau nampak seorang yang kurus dan sakit berada ditepi jalan dan orang itu mengucapkan salam kepada beliau. Beliau jawab salam orang itu. Orang yang kurus dan sakit itu pun meminta beliau tolongkan ia hendak berdiri. Lalu Sheikh itupun menolongnya berdiri. Setelah ia tegak, orang itu dengan tidak semena-mena menjadi bertambah besar dan gagah rupanya. Sheikh itupun berasa takut dengan keadaan itu tetapi orang itupun mententeramkannya sambil berkata, “Aku ini ialah agama nenek moyangmu. Aku telah jadi sakit dan tidak berdaya, tetapi Allah telah menguatkan aku kembali melalui pertolongan mu” Ini berlaku pada petang beliau menemui orang ramai di masjid. Setelah lama kemudian orang ramai pun memberi beliau gelaran muhyiddin (bererti penghidup agama).

Sungguhpun beliau telah mengeluarkan dirinya dari pengasingannya tetapi tidaklah beliau bersyarah dihadapan khalayak ramai lagi. Selama 11 tahun lagi beliau tinggal dipenjuru bandar itu dan terus melakukan ibadatnya dan berlatih untuk mendapatkan tambahan nur kebatinan dalam hatinya.

Kira-kira dalam tahun 521 hijriyah barulah beliau mengajar orang ramai. Dia diberi satu madrasah untuk mengajar. Ilmu batinnya telah cukup untuk melengkapi dirinya. Pada mulanya sedikit sahaja murid beliau. Lama kelamaan masyurlah beliau sebagai seorang yang bijak, alim, warak, soleh, mempunyai ilmu yang dalam dan tinggi dan kuat berpegang kepada syariat. Ramailah orang yang datang mengunjungi beliau untuk memetik ilmu-ilmu yang berharga dan bernilai tinggi daripadanya.

Lama kelamaan madrasah itupun tidak mencukupi untuk menampung orang yang ramai itu. Dalam tahun 528 Hijriyah rumah-rumah yang berjiran itupun diambil untuk menampung murid-murid beliau. Inipun tidak cukup. Pada tiap-tiap pagi Rabu beliau bersyarah diatas pentas untuk bersyarah kepada orang ramai. Ini pun telah jadi sempit. Maka diadakan pula tempat diluar bandar itu dan disitu dibina satu bangunan untuk beliau dan ini digelar Musafir Khaanah.

Biasanya beliau memberi syarahan tiga kali seminggu. Di Adgah pada pagi Jumaat, di Madrasah pada malam Selasa , dan Musafir Khaanah pada pagi Rabu. Berbagai-bagai manusia datang belajar kepada beliau tentang berbagai-bagai ilmu. Kaum shufi dan kaum fekah, sarjana, orang-orang kaya, pegawai-pegawai tinggi, pemerintah / khalifah, jin, malaikat, roh nabi-nabi, dan rijalul ghaib (hamba Allah yang terbang di udara dan tinggal di gunung Kaf dan jauh dari tempat tinggal manusia). Bahkan orang-orang bukan Islam pun ada yang mendengar pengajarannya dan banyak yang masuk Islam ditangan beliau. Selepas memberi tiap-tiap syarahan, beberapa orang Yahudi dan Kristian masuk ugama Islam. Dengan cara ini lebih kurang 500 orang Yahudi dan Kristian yang masuk Islam, dan beribu-ribu orang Islam yang menyamun, merompak berzina, berjudi dan melakukan berbagai-bagai maksiat dan dosa bertaubat selepas mendengar syarahan beliau itu dan menukar keadaan mereka yang buruk itu kepada yang baik dan diredhai Allah. Demikianlah betapa kuatnya kekuatan kerohanian disebalik syarahan-syarahan beliau itu.

Dengan kebesaran jiwanya itu beliau ditakuti dan dihormati oleh orang-orang besar dimasa itu. Orang yang berjiwa besar demikian ini bukanlah dengan kehendak mereka sendiri berbuat demikian, tetapi adalah kehendak Allah jua. Mereka menyerahkan diri mereka seluruhnya kepada Allah. Mereka tidak menuju sesuatu melainkan dengan gerak dari Allah jua. Syarahan mereka itu bukan perbuatan mereka sendiri tetapi adalah perbuatan Allah jua dan mereka tidak perlu bersedia terlebih dahulu. Persediaan untuk bersyarah itu disediakan oleh Allah sendiri dan ilham untuk bersyarah itu datang langsung dari Allah SWT apabila mereka bercakap, mereka bercakap dengan kehendak Allah. Itulah sebabnya syarahan mereka itu penuh dengan kekuatan dan kekeramatan.

Keluarga dan rumah tangga beliau.

Sebelum tahun 521 hijriyah iaitu umur beliau 51 tahun tidaklah beliau menunjukkan dirinya kepada orang ramai dan tidak berfikir hendak kahwin. Setelah beliau berumur 51 tahun hasil bercampur dengan orang ramai dan juga kerana hendak menurut sunnah nabi Muhammad SAW beliau pun berkahwin dan mempunyai 4 orang isteri. Semua isteri beliau ini menjadi isteri yang baik dan taat kepada beliau. Beliau mempunyai 49 orang anak. Lelaki seramai 27 orang dan perempuan 22 orang.
Empat orang anak beliau menjadi terkenal kerana pelajaran dan ilmunya.
1. Sheikh Abdul Wahab – anak yang sulung – menguasai ilmu yang luas dan dalam. Beliau diberi kuasa menjaga madrasah bapanya dalam tahun 543 hijriyah. Setelah bapanya meninggal dunia, beliau pula memberi syarahan dan memberi fatwa tentang syariat islam. Beliau memegang jawatan dalam negeri dan seorang yang sangat terkenal.
2. Sheikh Isa – guru hadis dan fukaha agung. Beliau juga mengarang puisi, beliau juga seorang pensyarah yang baik dan menulis kitab-kitab keshufian beliau tinggal dan meninggal dunia di Mesir.
3. Sheikh Abdul Razak – seorang ulama dan hafiz hadis. Seperti bapanya beliau termasyur dengan lurus dan benarnya. Beliau juga seperti bapanya tentang kesufiannya dan terkenal di Bagdad.
4. Sheikh Musa – ulama yang ulung. Pindah ke Damsyik dimana ia meninggal dunia.
Melalui Syeikh Isa iaitu nombor 2 diatas , 78 syarahan bapanya dalam buku ini sampai kepada kita. Abdul Wahab iaitu nombor 1 diatas, adalah sumber dua syarahan yang terakhir. Beliau ada hadhir tatkala bapanya terbaring sebelum kembali kerahmat Allah. Nombor 4 iaitu Sheikh Musa ada dinyatakan diakhir buku ini dalam syarahan 79 dan 80.

Dalam dua syarahan terakhir itu ada disebutkan 2 orang anak Sheikh tersebut yang ada hadhir tatkala bapanya meninggal dunia iaitu Abdul Razak dan Abdul Aziz.

Pekerjaan biasa

Seperti yang kita ketahui wali Allah ini memberi syarahan kepada orang ramai 3 kali seminggu. Disamping itu, tiap-tiap hari, pagi dan petang beliau mengajar tafsir, hadis dan hukum-hukum agama dan perkara-perkara yang bersangkutan. Selepas sembahyang zohor beliau menyampaikan petua mengenai soal-soal hukum yang dikemukakan kepada beliau dari seluruh dunia. Tiap-tiap petang sebelum maghrib beliau membahagi-bahagikan roti kepada orang miskin. Selepas sembahyang asar beliau duduk menanti waktu berbuka puasa kerana biasanya berpuasa disiang hari sepanjang tahun. Sebelum makan beliau akan memanggil jiran beliau siapa yang hendak makan bersama beliau.

Selepas sembahyang Isyak beliau pun pergi ke kamarnya dan menggunakan sebahagian besarnya pada malam itu dengan ibadat kepada Allah seperti yang dikehendaki oleh al Quran. Oleh itu, sebagaimana pengikut nabi yang sebenarnya beliau berkhidmat kepada manusia sepanjang hari dan kepada Allah sebahagian besar dari malam hari.

Kembali ke rahmat Allah

Beliau meninggal dunia dalam tahun 561 hijriyah (1166 masihi) tatkala berumur 91 tahun. Hari itu ialah 11 hari bulan Rabiul Akhir.

Pusaka beliau

Setelah wafat wali Allah ini, maka anak-anaknya dan murid-muridnya menubuhkan satu pertubuhan yang tujuannya menanam ruh keislaman yang tulin dan membetulkan pengajaran Islam dikalangan manusia. Ini dinamai tarikat Qadiriyah yang terkenal dengan teguhnya memegang syariat Islam hingga hari ini. Ini telah memberi jasa yang besar dalam Islam dan ilmu kebatinan dalam Islam. Antara pengajaran dan nasehat beliau yang masyur itu ada tiga diseluruh dunia.

Yang paling agung dari yang tiga itu ialah Futuhul Ghaib.

Yang kedua masyur ialah Fattahur Rabbaanii – sekumpulan 68 buah syarahan dalam tahun 545 – 546 hijriyah.

Yang ketiga masyur ialah kasidah atau puisi yang menceritakan peranan dan pangkat para wali dalam bahasa keshufian. Digelar “Qashidah al Ghautsiyah”

Seperti juga dilain-lain tarikat agama, tarikat Qadiriyah pada masa sekarang nampaknya lebih cenderung kepada Qasidah al Ghautsiyah daripada yang lain-lain itu kerana yang lain-lain itu adalah mengandungi nasehat dan pengajaran untuk membaiki diri dan menyampaikan perutusan dari alam ghaib sahaja.
Pengaruh Sheikh Abdul Qadir ini sangat besar dalam sejarah Islam dan peribadinya bersinar terang seperti intan yang bergemerlapan pada ruh Islam hari ini dan begitu juga sebelumnya.

( Sumber dari itaujang,blogsport,com )

Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan