72 GOLONGAN DALAM ISLAM
Umat Islam terbahagi kepada 73 golongan adalah suatu perkara yang telah dimaklumi ramai. Hal ini berlandaskan daripada hadis Nabi:
“Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan.” (HR Abu Daud no.4596)
.
.
Namun, dalam 73 golongan ini tidak semuanya betul atau bertepatan dengan aqidah Nabi. Oleh yang demikian dalam riwayat lain, Nabi menyatakan hanya satu sahaja golongan yang benar dan selamat daripada api neraka. Riwayat tersebut adalah daripada Muawiyyah bin Abi Sufyan:
“Ketahuilah, sesungguhnya golongan ahli kitab sebelum daripada kamu berpecah kepada 72. Dan golongan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. 72 golongan akan ke neraka dan satu golongan akan ke syurga iaitu al-Jamaah.” (HR Abu Daud no.4597)
.
.
Dalam riwayat ini juga menerangkan bahawa golongan yang selamat ialah golongan Al-Jamaah. Apakah ciri-ciri Al-Jamaah? Kita perlu tahu, supaya kita dapat memastikan bahawa kita berada dipihak yang benar. Oleh itu, ada riwayat yang lain pula menerangkan siapakah golongan yang selamat itu, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr:
“Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan golongan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah mereka? Nabi menjawab: Apa yang aku berada di atasnya dan juga sahabat-sahabatku.” (HR At-Tirmidzi no.2641)
.
.
Sabda Nabi ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang berpegang dengan aqidah dan sunnah yang dibawa oleh Nabi dan para sahabat maka ia adalah golongan terselamat. Oleh itu, berdasarkan hadis-hadis di atas para ulama menegaskan bahawa satu golongan yang selamat ialah golongan yang berpegang dengan sunnah Nabi dan ia merupakan kumpulan Al-Jamaah (majoriti umat Islam). Kemudiannya, istilah yang baharu muncul yang merujuk kepada golongan ini iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah.
.
.
Ahli Sunnah Wal Jamaah mestilah merupakan golongan yang disepakati dan dipersetujui oleh majoriti ulama Islam. Sekiranya ia hanya mendapat dokongan daripada segelintir umat Islam maka ia belum dapat dipastikan kebenarannya. Hal ini kerana, jika sesuatu itu benar maka sudah tentu ia mendapat persetujuan daripada majoriti umat Islam. Namun, apabila ia mendapat penolakkan oleh kebanyakkan umat Islam maka itu menunjukkan ada sesuatu yang salah daripada pegangan atau kumpulan tersebut.
.
.
Sejarah telah membuktikan, ketika sebahagian Khalifah dari Dinasti Abbasiyyah cuba memaksa seluruh umat dan ulama Islam untuk berpegang dengan aqidah Muktazilah, maka ketika itu ia mendapat penolakkan yang hebat walaupun diancam dengan penjara, seksaan dan hukuman mati. Antara yang kuat menolak ialah Imam Syafie, Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Al-Buwaithi. Hal ini menunjukkan aqidah Muktazilah ketika itu tidak menepati aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
.
.
Allah telah menjamin dan memberi keistimewaan kepada umat Nabi iaitu mereka tidak akan bersepakat di atas perkara yang sesat dan menyimpang. Hal ini dapat kita lihat daripada hadis Nabi:
"Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umatku di atas kesesatan. Dan pemeliharaan Allah ke atas golongan Al-Jamaah. Dan sesiapa syaz (menyalahi Jamaah) bererti yang syaz itu ke dalam Neraka" (HR Tirmidzi no 2167)
.
.
Ini adalah jaminan Allah ke atas umat Nabi Muhammad yang sama sekali tidak akan bersepakat di atas kesesatan. Oleh itu, dapat kita fahami jika umat Nabi sepakat di atas suatu aqidah maka itu menunjukkan ia adalah benar. Ini menjadi kayu ukur untuk mengetahui yang manakah aqidah yang selamat dan benar. Bahkan dalam hadis di atas Nabi memberi ancaman bahawa sesiapa yang keluar (syaz) daripada majoriti (Al-Jamaah) maka ia akan mengakibatkan dirinya masuk ke dalam api neraka.
.
.
Umat Islam sekarang majoritinya berpegang dengan manhaj Al-Asyairah Wal Maturidiah yang merupakan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Oleh itu amat jelaslah sesiapa yang berpegang selain daripadanya tidak menepati aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, termasuklah golongan Syiah, Muktazilah, Wahhabi, Jabbariyyah, Qadariyyah dan lain-lain.
.
.
Terdapat ramai ulama yang mengkaji dan meneliti siapakah 72 golongan yang dimaksudkan oleh Nabi dalam sabda Baginda, antaranya Imam Abu Mansur Al-Baghdadi dalam kitabnya Al-Farq Bainal Firaq, Imam Asy-Syahrastani dalam kitabnya Al-Milal Wa An-Nihal dan Imam Al-Asfarayini dalam kitabnya At-Tabsirah Fi Ad-Din. Berdasarkan penelitian para ulama, mereka mendapati 72 golongan itu mewakili Syiah yang terpecah kepada 22 kelompok, Khawarij terpecah kepada 20 kelompok, Muktazilah pula terpecah kepada 20 kelompok, Murjiah ada 5 kelompok, Najjariyyah ada 2 kelompok, Jabbariyyah, Qadariyyah dan Musyabbihah masing-masing satu kelompok. Dari kesemua kelompok ini, aqidah yang selamat dan benar hanyalah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwakili Al-Asyairah Wal Maturidiah.
.
.
Berdasarkan fakta di atas, kita mestilah mengukuhkan aqidah kita sebaik mungkin agar aqidah kita termasuk dalam golongan yang selamat. Jika tersilap dalam memilih aqidah maka ia akan merosakkan iman kita dan natijahnya adalah ke neraka. 72 golongan di atas masih diakui sebagai umat Nabi kerana mereka masih lagi mengucap syahadah dan mengerjakan kefardhuan ke atas diri mereka. Justeru, kita tidak boleh pukul rata bahawa mereka kafir atau murtad. Golongan ini hanya menyimpang dalam sebahagian usul aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menyebabkan aqidah mereka tersesat sahaja. Oleh itu, mereka ini digelar sebagai ahli bidaah kerana mengada-adakan perkara baharu dalam aqidah dan ia tidak diajarkan oleh Nabi.
.
.
Namun, jika diteliti aqidah mereka secara mendalam, lalu mendapati ada aqidah mereka yang melampaui sempadan usul agama, maka aqidah mereka boleh menjadi kufur, sebagai contoh mendakwa perkara haram itu sebagai halal, menafikan kerasulan salah satu rasul yang disepakati, menyatakan Allah ada anggota badan, menyakini manusia yang mencipta perbuatan sendiri secara mutlak sehingga menafikan qudrah Allah dan banyak lagi kepercayaan yang boleh menggugat aqidah kita.
.
.
Oleh yang demikian, para ulama telah menyusun satu silibus pengajian aqidah untuk memastikan aqidah kita sentiasa selamat di atas jalan yang benar. Silibus tersebut dikenali sebagai pengajian sifat 20. Sesiapa yang tekun mempelajarinya dan menguasainya dengan baik, insyaallah aqidahnya akan selamat sehingga akhir hayat. Wallahu’alam.
Disediakan oleh:
Hafiz Al-Za'farani (HAZA)
0 comments:
Catat Ulasan