PENGERTIAN KASYAF
Kasyaf adalah salah satu karomah atau kelebihan yang diberikan Tuhan kepada insanNya yang dikasihiNya. Apa yang ingin disebut disini adalah kasyaf yang dianugerahkan Tuhan kepada kekasihNya atau waliNya.Walaupun tidak dinafikan, ada kasyaf yang didapati oleh orang awam, kasyaf sebegitu boleh menipu dan merosakkan diri merka. Kasyaf itu jika tidak dipimpin dan dijaga, nescaya menjadi istidraj kepada mereka.
Bagi wali Tuhan ini, hal-hal kasyaf sebenarnya telah pun dijanjikan Tuhan sepertimana di dalam sebuah hadis Qudsi;
Allah berfirman yang maksudnya;
"Orang yang mendekatkan diri kepadaKu, mengerjakan yang fardhu dan yang sunat, sehingga Aku cinta kepada mereka lalu Aku menjadi pendengaran mereka dan Aku menjadi penglihatan mereka."
Kasyaf kepada wali Allah ini ada banyak bahagiannya, seperti berikut;
1) Kasyaf Mata
Mata dapat melihat alam Mawara-ul-maddah atau disebut sebagai alam yang seni-seni atau boleh disebutkan sebagai alam di luar kebendaan. Di sini, mata dapat melihat perkara-perkara ghaib seperti malaikat, jin dan syaitan.Kasyaf inilah yang menjadikan orang seperti Sayyidina Umar r.a nampak apa yang sedang berlaku pada tentera-tenteranya. Karomah seperti ini penting kerana dapat menyelamatkan seluruh tentera Islam.
2) Kasyaf Telinga
Kasyaf telinga disebut juga Hatif. Telinga boleh mendengar benda-benda yang ghaib. Mendengar suara tetapi tidak nampak lembaganya sama ada dari jin yang soleh, malaikat atau waliullah. Suara itu adakalanya membawa berita gembira, adakalanya berita yang negatif.Tujuannya ialah Allah swt hendak menghiburkan orang yang mendapatnya. Kalau berita itu berita gembira, boleh menggembirakannya. Sebaliknya, kalau berita itu berita duka, juga akan menggembirakannya kerana dia tahu terlebih dahulu, sekurang-kurangnya dia boleh bersiap menghadapi ujian itu. Atau dia boleh mengelak daripada bahaya itu.
3) Kasyaf Mulut
Tuhan beri kepada orang itu, lidahnya "Masin" seperti doanya kabul atau apa yang dia sebut terjadi sama ada jangka pendek atau jangka panjang.Juga, di mana saja dia memberi kuliah, nasihat, tunjuk ajar, berdakwah dan sebagainya, ianya mudah diterima masyarakat dan boleh mengubah hati mereka. Akhirnya berubahlah sikap masyarakat. Karomah seperti ini biasanya dikurniakan kepada pemimpin.
4) Kasyaf Akal
Mendapat ilmu yang seni-seni yang Allah swt kurniakan pada seseorang terus jatuh ke hatinya. Ini terjadi tanpa dia belajar, tanpa membaca, tanpa mentela'ah dan tanpa berguru.Dinamakan juga ilham atau ilmu laduni. Agar tidak terkeliru, perlu diingat orang yang hendak mendapatkan ilmu laduni itu, dia mestilah dahulu ada ilmu asas iaitu ilmu Tauhid.
5) Kasyaf Hati
Dinamakan juga firasat. Inilah kasyaf yang tertinggi daripada kasyaf-kasyaf yang disebutkan tadi. Biasanya dikurniakan kepada pemimpin. Itupun tidak banyak kerana Allah swt kurniakan hanya kepada pemimpin-pemimpin yang sangat soleh, yang sangat sabar menanggung ujian yang begitu berat ditimpakan kepada mereka.Kasyaf hati ialah rasa hati atau gerakan hati yang tepat lagi benar. Dia boleh menyuluh "Mazmumah" yang seni-seni yang kadang-kadang kita membaca kitab tak mengerti. Termasuk juga adalah rasa hati dapat membaca diri seseorang.
Nabi saw pernah bersabda;
“Hendaklah kamu takuti firasat orang mukmin kerana dia melihat dengan pandangan Allah”.
Apa yang dimaksudkan dengan firasat itu ialah kasyaf hati. Orang yang mendapatnya dapat memimpin diri dan dapat memimpin orang lain. Kalau tidak, seorang itu tidak layak jadi pemimpin. Kalau dia terus memimpin rosaknya lebih banyak daripada kebaikan.
Demikianlah yang dapat diceritakan tentang kasyaf. Moga-moga kita mendapat manfaatnya.
Semoga Allah swt menghilangkan segala kekusutan di dalam hati kita semua.
0 comments:
Catat Ulasan