Wahai diri.....



ALLAHU SALAMUN LAA ILAHA ILALLAHU MUHAMMADURASULULLAH
Wahai diri.....
jika kaukatakan
seolah-olah telah melihat-Nya
di dalam ibadahmu
sebenarnya kau
masih dalam bersangka-sangka...
jika kaukatakan
kau dan DIA
sentiasa bersama
tidak berpisah
tidak berjauhan
bersatu tapi tak bersentuh
sebenarnya kau
masih jauh dalam perjalanan...
belum lagi mengenal dirimu...
namun jika kaukatakan
kau adalah DIA juga
DIA adalah kau juga
tiada yang ada kecuali DIA
tak perlu pada penafian
sebenarnya kau
adalah manusia merdeka
sempurna tanpa syirik
barulah layak kau digelar
orang makrifat
yang mengenal
siapa dirimu siapa Rabbul Izzati
Jika apa yang dikatakan makrifat
tetapi tidak ada di dalamnya Rasa Cinta
itu cuma ilmu pengetahuan
yang masih bersangka-sangka...
bermain di dataran akal
Jika apa yang dikatakan makrifat
bila semakin makrifat
semakin lagi dalam Rasanya Cinta
itulah Penyaksian
pertemuan Kekasih dengan kekasih
di puncak Gunung Thursina
di ufuk Sidratul Muntaha
di syurga Maqam al-Mahmud
Tatkala kau berada di Lembah Thuwa yang suci
tanggalkan kasut kewujudanmu
di luar sana
dengan air maul hayyat yang mutlak itu...
kala kau membasuh mukamu kali pertama
sebutlah yang hidup Allah
kala kau membasuh mukamu kali kedua
sebutlah yang melihat Allah
Kala kau membasuh mukamu kali ketiga
sebutlah yang berkata Allah
kala kau membasuh tanganmu
sebutlah yang bergerak Allah
kala kau membasuh kepalamu
sebutlah yang berilmu Allah
kala kau membasuh telingamu
sebutlah yang mendengar Allah
kala kau membasuh kakimu
sebutlah yang berkehendak Allah
kau bukan kau lagi
kau itu meliputi KeEsaanNya
kau itu menyatakan DIA
DIA menyatakan kau
sesungguhnya AKU inilah Allah
tiada Ujud kecuali AKU
timur dan barat milik-Ku
ke mana kau menghadap
di situ Wajah-Ku
mengabdilah kepada-Ku
dan dirikanlah sholat
untuk mengingati AKU
usah bersangka-sangka lagi
dengan AKU
tiada aku-Mu
tiada aku-Ku
hanya AKU semata
tanpa yang lain
AKU dan Muhammad-Ku
tiada bayang-bayang
AKU dan Muhammad-Ku
tiada wahdatul wujud
AKU dan Muhammad-Ku
tiada wahdatus syuhud
AKU dan Muhammad-Ku
hanyalah Ariful Wujud
Wahai diri...
Kita bukan lumpur bumi ini.
Bukan diciptakan dari air, api, angin, tanah.
Asal kita bukan wadi madi mani manikam.
Kita bukan benih yang menyerupakan lelaki atau perempuan, ragam warna kulit dan bangsa.
Kita inilah Ahadun, Ahmad tanpa Mim.
Kita bukan berada di mana-mana, tetapi kita berada di dalam DIA.
Kita disekitari oleh DIA dan di dalam genggaman DIA.
Ke mana pun kita bergerak, kita berserta dengan DIA dan dikuasai oleh DIA.
Kita diliputi oleh DIA dan tidak berpisah dari DIA.
Kita bersama DIA dan sewujud dengan DIA.
Selagi kita tidak menjadi DIA, kita tidak mungkin melihat DIA.
Hanya dengan menjadi DIA,
maka kita dapat melihat DIA yang mutlak dan tidak menyerupai segala sesuatu kerana DIA bukan sesuatu.
DIA adalah DIA Ahadun Ahad,
tidak pernah berubah dari azali-Nya.
Jika tidak mampu menjadi DIA, usahlah menjadi diri kita sendiri.
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang AKU, maka katakanlah sesungguhnya AKU dekat.”
[Q.S. Al-Baqarah: 186]
DIA meliputi diri kita. Maka perlukah kaedah penafian dan fana itu?
Sedangkan apa yang hendak dinafikan dan difanakan pun adalah wujud-Nya juga.
Kita memerlukan DIA yang berdiri dengan sendiri, tanpa DIA tak mungkin kita ada.
DIA teramat halus dan lembut, berseni dalam batin kita,
hanya persangkaan hidup yang banyak dan beragam telah menampakkan perwatakan kita yang saling berbeda dari DIA.
Kita adalah nafas yang keluar dari sebatang seruling bambu lalu menjadi warna-warni lagu dan irama kehidupan.
Siapakah sang peniupnya yang bijaksana itu tidak diketahui? Namun demi nafas yang telah menzahirkan kita,
tentunya kita bukan lain dari DIA.
Hanya kita yang tidak sedar bahwa DIA adalah kita dan kita adalah DIA kerana selaput sutera wayang yang mentirai pandangan kita di pentas peri lakonan sedangkan DIA di balik tabir itu dalam asyik-Nya memerhatikan kita.....
jadilah bekas bagi DIA
atau DIA sahaja
yang tidak ada sekutu bagiNya
DIA tidak berserta dengan sesiapa
tidak ada bagaimana atau di mana-mana
DIA adalah DIA yang dahulu dan sekarang
tidak ada ketika
tidak ada masa
tidak ada tempat
tidak ada penyaksian
tiada yang melihat DIA kecuali DIA
DIA sahaja yang mengenal DIA
tidak ada Nabi, Wali atau Malaikat yang mengenal DIA
RasulNya adalah DIA sendiri
DIA mengutus DiriNya sendiri
kepada DiriNya sendiri
dengan DiriNya sendiri
tidak ada perwakilan kecuali DIA sendiri
kenabian, kerasulan dan kewalian
pun adalah DIA sendiri
DIA bukan nama atau sesuatu yang dinamakan
tetapi NamaNya yang haqiqi adalah “DIA” juga
tidak ada nama setelah NamaNya – DIA
tidak ada nama seluruh alam ini selain NamaNya – DIA
DIA – Yang Awwal
DIA – Yang Akhir
DIA - Yang Zahir
DIA - Yang Batin
jika kamu bukan DIA
maka usahlah jadi diri kamu sendiri
kamu bukan diri kamu sebenarnya
maka kamu itu DIA
tidak ada kamu
justru itulah Nabi s.a.w. pernah bersabda;
“Sholatlah kamu kepada DIA Allah
seolah-olah kamu dapat melihatNya
jika kamu tidak melihatNya,
sesungguhnya DIA melihat kamu”
maka di sini apakah perlu “fana' dan “fana al-fana” itu?
padahal Nabi Muhammad s.a.w. hanya menganjurkan sahaja;
“seolah-olah kamu dapat melihatNya, jika kamu tidak melihatNya, sesungguhnya DIA melihat kamu.”
DIA tidak memerlukan kamu masuk ke dalam fana
atau fana di dalam fana
apa yang hendak difanakan
sedangkan kamu sendiri tidak berwujud?
jika kamu sangka memfanakan itu perlu
bererti kamu mengakui sebelumnya fana
ada wujudmu yang hendak difanakan
ini bermakna kamu telah menghijabkan DIA
DIA terlindung oleh sesuatu yang selainNya
kamu telah berburuk sangka selama ini
ada wujud lain dari DIA hingga DIA tidak kelihatan
ternyatalah fana atau fana al-fana itu
adalah perangkap besar
yang memerangkap kamu sendiri
di dalam penjara kegelapan syirik
ingatlah apa yang pernah disabdakan Nabi s.a.w.;
“barangsiapa yang mengenal dirinya,
kenallah akan DIA – Rabbul Izzati”
maka mengenal diri kamu itu
adalah sebenarnya mengenal DIA
Baginda s.a.w. tidak pula mengatakan
bahwa barangsiapa yang memfanakan dirinya
akan mengenal Rabbnya
kerana Baginda s.a.w. amat menyedari
tiada yang wujud melainkan DIA
kamu belum lagi mengenal DIA
selagi kamu belum yakin
janganlah kamu syak, dzon dan waham lagi....
Sifat DIA adalah sifat kamu
Zat DIA adalah zat kamu
sebenarnya kamu itu adalah DIA
dan DIA adalah kamu, tidak ada kamu
jika kamu mengenal diri kamu sendiri
dengan cara makrifat seperti ini
maka kamu telah mengenal DIA – Rabbul Izzati
dengan sendirinya akan tersingkir
segala bentuk keakuanmu yang bukan haqiqi
kamu tidak perlu bersusah-payah memfanakan diri
kerana fana dan fana al-fana itu merumuskan;
masuk ke dalam DIA atau timbul dari DIA
tidak ada konsep hulul dan penyatuan
kamu tidak wujud dan tidak akan ada wujud
sama ada dalam diri kamu sendiri atau DIA
jika tidak demikian, kamu tidaklah mengenal
siapa diri kamu dan siapa DIA
HU...........
Yang kaulihat di dalam cermin itu bukan AKU, tetapi itulah RuhKU. Jangan kaukatakan bahwa ketika kau melihat RuhKu, kau telah melihat AKU dan sekaligus mengenal AKU.
Sebenarnya kau telahpun terpedaya dengan persangkaanmu sendiri,
kau tidak boleh melihat AKU dan bukan kau yang mengenal AKU.
Yang melihat AKU itu adalah AKU, yang mengenal AKU itu adalah AKU juga.
Tidak ada aku-KU atau aku-MU, itu hanyalah ceritamu sahaja.
AKU adalah AKU, tidak ada selain AKU, AKU Yang Awwal, AKU juga Yang Akhir.
AKU Yang Zahir dan AKU jua Yang Bathin...
Berhati-hatilah tentang ucapan dua kalimah syahadahmu “Asyhadu – Wa asyhadu”.
Pastikan di situ dalam penyaksian kau tidak menduakan AKU.
Pastikan di situ tidak ada wujudmu.
Pastikan di situ ALLAH dan MUHAMMAD RASULULLAH itu bukan dua wujud yang berlainan dan berasingan.
Rasul itu adalah dari AKU juga yang KU utuskan untuk meNYATAkan AKU.
Tanggalkan huruf MIM awal, barulah tampak dalam Haqiqat Muhammad itulah HAMID.
FIL ‘ALAMINA INNAKA HAMIDUN MAJID – SESUNGGUHNYA DI DALAM ALAM INILAH YANG MAHA TERPUJI LAGI MAHA MULIA.
Seluruh WujudKU terkandung di dalam MUHAMMAD RASULULLAH.
Di peringkat kau melihat RuhKU, kau baru saja melepasi samudera 30 ribu hijab.
Antara RuhKU dengan AKU masih terbatas 40 ribu hijab lagi, kesemuanya 70 ribu hijab.
AKU menzahirkan RuhKU itu agar kau dapat menghadap kepada AKU ke mana sahaja kau berpaling.
Ingatlah RuhKU itu bukan AKU, itulah hanyalah BAYANGANKU. Usahlah kau mendakwa telah mengenal dirimu lalu mengenal AKU ketika kau melihat RuhKU. Tidak ada dirimu sendiri.
Kau sekadar bayangan ombak dari sebuah lautan.
Hadirnya kau hanya bersandar pada NAMAKU sahaja. Bagaimanakah kau hendak mengenal dirimu sedangkan dirimu sendiri sebenarnya tiada, apatah lagi hendak mengenal AKU?
KUciptakan dirimu demi untuk menyatakan AKU sahaja, bukan menyatakan wujudmu.
Jika kau katakan kau telah mengenal dirimu, itu cuma persangkaanmu yang kau ada-adakan di dalam khayalan ceritamu sendiri.
Tidak ada ceritamu kecuali ceritaKU tentang DIRIKU ANA AL-HAQQ!
Justeru itu ‘Mengenal DIRI’ adalah ‘Mengenal AKU’.
Yang Ujud hanya ada satu AKU sahaja.
Tidak ada aku yang lain.
Malah AKU bukan Cahaya.
AKU bukan Ruh.
Cahaya, Ruh, Rahsia, Qalbu dan Jasad walaupun dari AKU tetapi bukan AKU yang sejati.
Semua itu adalah manifestasi AKU untuk menampakkan UjudKu. Semua itu adalah tabirKu di antara gelap dan terang selaksa tujuhpuluhribu tabir, termasuklah ibu-bapa yang melahirkan keturunannya juga adalah tabirKu. Semua tabirKu itu pada hakikatnya adalah kosong, bathil dan persangkaan.
Semua tabirKu itu adalah Mi’ratul Hayat (Cermin Hidup) yang di dalamnya adalah gambaran air sungai kehidupan yang berwarna kegelapan.
Yang melihat AKU adalah AKU. Yang mengenal AKU adalah AKU. Yang mengingati AKU adalah AKU. Yang memuji AKU adalah AKU. Yang beribadah itu pun AKU.
AKU adalah Al-Haq yang meliputi ciptaanKu dengan QudratKu. Sebelum AKU ingin dikenali AKU adalah suatu perbendaharaan yang tersembunyi dan batin dalam DzatKu Yang Mutlak.
AKU adalah kenyataan BatinKu iaitu HUWA (DIA Dzat) yang bersemadi dalam Ghuyub al-Ghuyub (Ghaib lagi Ghaib tidak diketahui).
AKU adalah Yang Tunggal dan Hidup.
HidupKu itu Maha Kaya dengan tujuh Sifat Maani tetapi Esa dalam WahdatKu – Ghaib al Ghuyub (SifatKu telah nyata tetapi ghaib dalam BatinKu).
AKU bukan Cahaya tetapi Cahaya ada pada WahdahniyahKu – Ghaib al Ghaib (Namaku telah nyata tetapi semua hakikat benda masih tersembunyi dalam NamaKu).
AKU ibarat minyak yang tersembunyi dan terahsia dalam relung Pelita.
Pelita itu adalah Alif yang menyatakan UjudKu.
Tiada yang Ujud selain AKU.
Pelita yang menzahirkan Cahaya Yang Terpuji (MUHAMMAD). Cahaya Yang Terpuji tersebar melalui Kaca yang terang-gemilang dan itulah RuhKu.
RuhKu tampak pada Diri Terdiri, Diri Terperi dan Diri Tajalli seumpama teguhnya Pohon Khuldi yang menumbuhkan Buah Terlarang.
Untuk mengenal Diri yang sebenar Diri itulah AKU yang ada dalam Misykat Sufi.
AKU bukan Cahaya, bukan Ruh, bukan Qalbu, bukan Jasad.
AKU adalah Haqiqat segala makhluqat.
AKU adalah Engkau dan Engkau adalah AKU, tetapi Engkau bukanlah Engkau sendiri.
Engkau adalah kosong dan batil yang bernama Manusia!
Awal agama mengenal ALLAH. Akhir agama mengenal AKU

( Sumber dari FB Shahibul Karib )
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan