Pada zaman dahulu, wabak penyakit terutamanya taun mudah merebak di kalangan masyarakat di Tanah Melayu, termasuklah Terengganu. Dengan pertambahan penduduk di bandar Kuala Terengganu dan kuala-kuala utama di Terengganu, pengurusan kumbahan dan kebersihan menurun dengan peningkatan petempatan dan penduduk.
Terengganu seringkali dilanda dengan pelbagai wabak penyakit terutamanya taun dengan gelaran Musim Hawar Taun dengan penurunan tahap kesihatan yang menyeluruh. Antara yang direkodkan adalah semasa zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III yang menyaksikan pentadbiran negeri hampir lumpuh apabila hampir semua kakitangan pentadbiran negeri dijangkiti wabak.
Untuk mengatasi masalah ini, penduduk Terengganu mempunyai satu amalan khas dalam usaha mengekang wabak penyakit yang merebak.
Apabila wabak penyakit melanda, penduduk akan mula berkurung dan mengurangkan kegiatan luar dan tidak keluar rumah melainkan hal-hal yang penting sahaja. Perjalanan jauh keluar daripada kampung halaman juga dibatalkan. Ini selaras dengan ajaran Islam yang diucapkan oleh baginda Rasulullah SAW: “Taun adalah tanda kemurkaan Allah yang mana Allah menguji hamba-hambanya. Apabila kamu mengetahui adanya penyakit itu di sebuah tempat janganlah kamu masuk ke tempat itu. Apabila kamu berada di tempat yang ada penyakit taun (atau penyakit berjangkit lain) janganlah kamu lari keluar darinya.” (HR Muslim).
Pada malamnya, selepas solat Isyak, penduduk lelaki akan keluar beramai-ramai membawa jamung dan berarak mengelilingi sekitar dengan berselawat, berdoa, memuji Allah Taala dan memuji baginda Rasulullah SAW bersama ratib-ratib yang tertentu. Mereka akan melalui setiap rumah dan melalui setiap penjuru jalan-jalan di kampung untuk mengusir sebarang anasir-anasir jahat dan memperingatkan orang kampung agar bersabar dengan dugaan wabak yang melanda. Mereka juga akan berdoa dan mengingatkan penduduk bahawa wabak ini mungkin satu musibah kerana masyarakat melupakan Allah Taala. Penduduk pula akan menghulurkan wang ataupun pemberian sebagai tanda penghargaan atas usaha berkenaan.
Keadaan ini berterusan sehingga pagi, biasanya sehingga Subuh dan dilakukan sehingga wabak penyakit berakhir. Petunjuk ini dilihat di dalam sejarah Sultan Zainal Abidin III pada hari terakhir sebelum baginda mangkat. Baginda Sultan membuka pintu istana dan membenarkan penduduk berselawat dan masuk berzikir di istana. Bahkan sesetengah berpendapat kemangkatan mengejut baginda juga adalah disebabkan oleh serangan wabak penyakit pada ketika itu.
Setelah wabak berakhir, satu majlis kesyukuran akan diadakan di tanah lapang ataupun di tempat terbuka. Wang hasil pemberian penduduk akan digunakan untuk majlis jamuan. Bagi sesetengah kampung di pinggir bandar asal Kuala Terengganu, tanah wakaf perkuburan menjadi tempat majlis kesyukuran memandangkan hanya tempat berkenaan mampu menampung kehadiran penduduk yang ramai.
Begitulah cekalnya bangsa Terengganu menghadapi musibah wabak. Mereka mengingati Allah Taala ketika senang dan susah, dan saling bantu-membantu dalam usaha mencari keredhaan Allah Taala. Kepada bangsa Terengganu kini, mampukah kita melakukannya sedemikian?
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan