TvTarekat | SIAPA TOK PULAI CHONDONG?





TOK PULAI CHONDONG

Nama lengkap Tok Pulai Chondong ialah Haji Abdus Shamad bin Haji Abdullah bin Haji Hasyim, Pulai Chondong al-Kalantani. Lahir semasa pemerintah Long Yunus (1762-1794) iaitu pada tahun 1207 H/1792 M. Beliau ialah saudara dua pupu Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Tok Pulai Chondong belajar daripada ayah dan datuknya sendiri menurut pengajian sistem tradisional Patani. Beliau juga pernah belajar di Pondok Pauh Bok, Patani daripada Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin al-Fathani. Selanjutnya pergi ke Mekah pada tahun 1223 H/1808 M. Di sana beliau belajar kepada Tuan Guru Haji Adam. Riwayat yang sahih ramai orang menceritakan bahawa Tok Pulai Chondong ialah murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Baik masih berada di Pondok Pauh Bok, mahupun setelah di Mekah, beliau bersahabat dengan beberapa orang antaranya ialah Syeikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani (yang kemudian dikenali dengan nama Tuan Hasan Besut). Juga saudaranya Syeikh Wan Ali bin Wan Ishaq al-Fathani. Sewaktu belajar di Mekah, Tok Pulai Chondong juga bersahabat dengan Syeikh Abdul Malik bin Isa Terengganu, Syeikh Wan Musa dan ramai lagi. Setelah menetap beberapa tahun di Mekah, Tok Pulai Chondong pulang ke Kelantan. Seterusnya Tok Pulai Chondong menyebarkan pengetahuannya dalam tiga cabang pengetahuan iaitu Usuluddin, Fiqh dan Tasawuf. Tidak berapa lama di Kelantan, Tok Pulai Chondong berangkat pula ke Mekah dalam tahun 1256 H/1840 M melanjutkan pelajarannya kerana dirasakan bahawa beliau masih perlu belajar lagi, bukan mengajar. Padahal dalam penilaian beberapa orang ulama, Tok Pulai Chondong yang dalam bidang Tasawuf sebenarnya memang layak mengajar bukan belajar.

Makin bertambah banyak pengetahuannya di bidang Tasawuf makin bertambah kuatlah Tok Pulai Chondong beramal. Sebenarnya memang sejak kecil Tok Pulai Chondong ialah seorang yang memang mempunyai ciri-ciri khusus tentang amalan itu. Pada masa tuanya, beliau terkenal sebagai seorang sufi yang warak, banyak membaca pelbagai wirid dan zikir. Zikir jihar dan zikir sirr semuanya beliau kerjakan dengan tekun sepanjang siang dan malam.

~Suntingan petikan dari penulisan almarhum Hj Wan Mohd Shaghir, "Tok Pulai Chondong, Ulama Sufi Berwibawa Kelantan". Sumber dari Khazanah Fathaniyah
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan