MA’RIFAH DAN RUKUN SYAHADAH


                                                             MA’RIFAH DAN RUKUN SYAHADAH



Apabila kita memperihalkan persoalan rukun, maka jelas terbayang pada benak kita dan tersimpul fahaman dan hati kita tentang betapa sesuatu yang disebut sebagai rukun itu sebenarnya mendasari, menegakkan dan mengesahkan sesuatu pegangan ['iktikad], kepercayaan dan amalan. Maka apabila terdapat sebarang kecacatan pada kelangsungan rukun tersebut, maka goyah atau terbatallah pegangan atau amalan tersebut.
Sila lihat Q.S.47:19, bermaksud:
‘ Maka ketahuilah Laa ilaaha illallaah.’
TUNTUTAN DUA KALIMAH SYAHADAH
Perkara-perkara menjadi tuntutan wajib keatas umat Islam berkait dengan Dua Kalimah Syahadah atau Kalimah Tauhid itu adalah seperti berikut:
i] Rukun Syahadah
ii] Fardhu Syahadah
iii] Kesempurnaan Syahadah
iv] Syarat Sah Syahadah
v] Yang Membinasakan Syahadah.
Tuntutan wajib yang lain, antaranya ialah mengetahui dan memahami 50 Aqaidul Iman yang terkandung didalam kalimah tersebut; memahami konsep Nafi dan Isbat didalamnya dan terpenting, mengetahui dan memahami Rahsia jari telunjuk tidak digenggam ketika bersyahadat, 9 kali sehari semalam!
3. RUKUN SYAHADAH
Kali ini kita akan membincang perkara pertama dalam tuntutan Dua Kalimah Syahadah, yakni, Rukun Syahadah. Berapa ramaikah yang mengetahui dan menghafalnya sebanding dengan hafalan rukun Negara, dsbnya?
Rukun Syahadah adalah ibu segala Rukun. Mengetahuinya , seperti telah diFirmankan Allah, adalah Wajib [Fardhu ‘Ain]. Barangsiapa tidak mengetahui atau memahaminya, maka menjadi Batal Syahadahnya; Batal Islamnya; malah menjadi Sah Kafirnya! Jangan lah pandang ringan, sampai tergugat pegangan Akidah kita. Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
4. SOAL-JAWAB
1] S: Berapakah Rukun Syahadah?
J: Rukun Syahadah itu 4 perkara, seperti berikut:
A] Mengisbatkan Dzat Allah Taala;
b] Mengisbatkan Sifat Allah Taala;
c] Mengisbatkan Af’aal Allah Taala;
d] Mengisbatkan Kebenaran Rasulullah.
2] S: Apakah erti Rukun?
J: Rukun itu adalah dasar kepercayaan; bererti, Rukun Syahadah adalah dasar kepercayaan atau pegangan Akidah dalam Syahadah.
3] S: Apakah Rukun pertama dalam Syahadah?
J: Mengisbatkan Dzat Allah Taala.
4] S: Apakah erti isbat?
J: Ertinya ialah menetapkan. Misalannya, mengisbatkan Si-Zaid berdiri dan menafikan beliau duduk.
5] S: Bagaimana Isbat kepada Dzat Allah Taala?
J: Bermula mengisbatkan Dzat Allah Taala, yaitu membenar dan menetapkan Dzat itu dengan tidak adanya bandingan dan sekutunya; berSifat Kesempurnaan, tidak terhingga, Maha Kaya dan Maha Suci dari sebarang sifat kekurangan. Maha Esa dan TunggalNya Dzat Allah itu sehingga wujud selain dariNya adalah bersifat majazi sahaja! Allah berfirman didalam surah Al-Ikhlas, bermaksud:
‘ Katakanlah [Muhammad],’Dialah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. [Allah] tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang seumpama/setara denganNya.’
Didalam Hadits Qudsi, Dia menyatakan, bermaksud:
‘ Tuhan ada dan tak ada apa-apa disampingNya.’
Telah tetap adanya Allah dan tidak ada sesuatu pun sertanya Allah. Dia sekarang adalah pada apa-apa yang telah tetap adanya atasNya.
6] S: Adakah wajib Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu?
J: Ya wajib bagi setiap Muslim Mukallaf, lelaki dan perempuan Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu.
7] S: Bolehkah mengisbatkan barang yang tiada dilihat itu?
J: Ya, boleh diisbatkan dengan sekira-kira ‘iktikad keimanan dan keyakinan kita, bahkan dilihat dengan mata hati. Sila bertanyakan kepada Ahli Muqiniin atau Ahli TarekatSufiyah [Ahli hakikat].
8] S: Dengan sebab apakah didapati ‘iktikad yang demikian itu?
J: Adalah dengan jalan mengenal segala Sifat-SifatNya dan menjalani Jalan orang-orang Sodiqin.
Sila lihat Q.S.9:119, bermaksud:
‘ Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu bersama dengan orang-orang yang benar [Para Sodiqin].
9. S: Apakah sebabnya dapat Mengisbatkan dengan mengenal Sifat?
J: Kerana dengan mengenal Sifat Allah, dapatlah Mengisbatkan Dzat, oleh kerana Sifat itu berdiri kepada Mausuf.
10. S: Manakah yang dinamakan Jalan orang-orang yang Sodiqin?
J: Yaitulah Jalan orang-orang yang bersungguh-sungguh hati Rohani mereka, zahir dan batin menjalani dan beramal dengan amalan TareqatSufiyah, sehingga mencapai Hakikat dan Ma’rifat, yang dengannya dapatlah mereka Mengisbatkan Dzat Allah Taala dengan tahkik dan setetap-tetapnya [istiqamah]. Seandainya belum lagi, hendaklah kita terus mencari sehingga mendapatkan WASILAH dan JALAN menuju ke Allah, walhal kita sering memohon 17 kali didalam Al-Fatihah, didalam Solat, sehari semalam, bahkan sepanjang hayat kita, agar Allah menunjukkannya. Nah! Sudahkah Allah menunjukkan agar kita memperolehinya dan beramal dengannya?
Sila lihat Q.S.5:35 , bermaksud:
‘ Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah WASILAH [JALAN] untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berJihadlah [berjuanglah di-JALANNya] agar kamu beruntung.’
Dan lagi firmanNya Q.S.72:16, bermaksud:
‘ Dan sekiranya mereka tetap berjalan lurus diatas TAREQAH [ JALAN-NYA], nescaya Kami mencurahkan air hikmah melimpah ruah.’
11. S: Bagaimanakah jika tiada kita Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu?
J: Maka adalah jatuh dalam keadaan tiada sempurna ‘iktikadnya; kerana terdapat ragu-ragu, syak dzan dan waham. Bahkan, ‘iktikad yang tidak sempurna juga bermakna Tauhidnya kepada Allah Swt. tidak ikhlas, tidak murni dan tidak sempurna pula, dan pasti membawa kepada Syirik dan kesesatan disepanjang hayat, terlebih-lebih lagi diakhirat kelak!
12. S: Manakah dalil menyuruh kita Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu?
J: Sila lihat Q.S. 112:1, bermaksud: ‘Katakan oleh mu ya Muhammad bahawa Dzat Allah Taala itu Esa.’ Adalah Allah Swt. itu Esa pada Dzat; Esa pada Sifat; Esa pada Asma’ dan juga Esa pada Af’aalNya. Malah, kita diperintahkan mengisbatkan dan menetapkan setetap-tetapnya, seyakin-yakinnya didalam pandangan dan penglihatan mata hati kita. Dalam hubungan ini Allah berfirman Q.S.51:21, bermaksud:
‘ Dan didalam diri mu sendiri apakah kamu tidak memperhatikan?’ Fahamkan benar-benar!
13. S: Apakah Rukun Syahadah yang kedua?
J: Mengisbatkan Sifat Allah Taala.
14. S: Apakah yang dikatakan Sifat itu?
J: Yang dikatakan sifat itu ialah suatu rupa, warna atau keadaan yang menggambar dan menentukan sesuatu perkara atau benda. Misalnya, warna putih menunjukkan kepada zat kapur. Demikianlah juga dengan Sifat Allah Taala: umpamanya, Sifat Qudrat, yaitu suatu Sifat yang menunjukkan bahawa Dzat Allah Taala itu Kuasa dan lagi Maha Berkuasa.
15. S: Manakah yang dinamakan sebagai Sifat-Sifat Allah Swt. itu, silalah senaraikan?
J: Yang dinamakan Sifat-Sifat Allah Taala itu dan yang wajib diketahui berjumlah 20 Sifat, seperti berikut: Wujud, Qidam, Baqa, Mukhalafatuhu Taala lil hawadis, Qiyamuhu Taala binafsih, Wahdaniyah, Qudrat, Iradat, Ilmu, Hayyat, Sama’, Basar, Kalam, Qadiran, Muridan, ‘Aliman, Hayyan, Sami’an, Basiran dan Mutakalliman. Untuk perhatian, Sifat-Sifat Allah yang Mustahil [20 Sifat] dan yang Harus [1 Sifat],( tidaklah dibincangkan disini).
16. S: Bolehkah dikenali Dzat tanpa mengisbatkan Sifat?
J: Tidak boleh, kerana Sifat itu menunjukkan diri Mausuf [Dzat Allah Taala].
17. S: Bagaimanakah kaedah mengisbatkan Sifat Allah Taala itu?
J: Bermula kaedah mengisbatkan Sifat Allah Taala itu ialah ibarat salah satu daripada segala Sifat-Sifat yang ada didalam alam ini. Umpama, tiada ada yang Kuasa hanya Allah; tiada yang Berkehendak; tiada yang Tahu; tiada yang Hidup; tiada yang Mendengar; tiada yang Melihat dan tiada yang Berkata-kata pada hakikatnya hanya Allah; dan sifat-sifat yang ada pada kita hanya menzahirkan Sifat-Sifat Allah Taala jua adanya.
18. S: Bolehkah Mengisbatkan Dzat Allah Taala dengan tiada Mengisbatkan SifatNya?
J: Tidak boleh, kerana dapat Mengisbatkan Dzat Allah Taala itu hanya dengan perantaraan dapat Mengisbatkan SifatNya’ terkecuali atas jalan Majzub dan Wujdan. Orang seperti ini adalah ia mengenal Dzat Allah Taala terlebih dahulu; kemudian Sifat, Asma’dan Af’aal; bersalahan Salik dari Af’aal, kemudian Asma’, Sifat dan Dzat.
19. S: Manakah dalil kita diperintah/disuruh Mengisbatkan Sifat Allah Taala?
J: Dalilnya, seperti firman Allah Taala didalam Hadits Qudsy, bermaksud:
‘ Tidak menghampirkan diri kepada Aku akan hamba-hambaKu jika mengerjakan yang Fardhu sahaja, terkecuali, mengerjakan mereka itu akan yang Sunnat sehingga kasih Aku kepada mereka; jika Aku kasih Akulah Pendengarannya yang mendengar; Akulah Penglihatannya yang melihat; dan Akulah Lidahnya yang berkata-kata; hingga akhirnya.
20. S: Apakah Rukun Syahadah yang ketiga?
J: Bermula Rukun Syahadah yang ketiga ialah Mengisbatkan Af’aal Allah Taala.
21. S: Apakah erti Af’aal?
J: Ada pun pengertian Af’aal itu ibarat segala perbuatan/perlakuan yang berlaku didalam ‘Alam ini, samaada terbitnya daripada diri kita atau lain dari diri kita, didunia maupun diakhirat.
22. S. Bagaimanakah mengisbatkan Af’aal Allah Taala itu?
J. Bermula setiap perbuatan dan perlakuan, gerak dan diam didalam alam ini, pada hakikatnya adalah dari Allah, seperti wujud alam ini diwujudkan Allah; bergerak alam ini adalah digerakkan Allah; diam alam ini adalah didiamkan Allah, dan seterusnya.
23. S. Sila berikan dalilnya hakikat ini?
J. Sila lihat Q.S.39:62, bermaksud:
‘ Allah-lah pencipta segala sesuatu dan Dialah Memelihara segala sesuatu.’
Dan lagi firmannya, bermaksud:
‘ Allah Taala menjadikan kamu dan segala perbuatan kamu.’
Rasulullah bersabda, maksudnya: ‘ Tidak bergerak suatu zarrah [atom] melainkan dengan izinNya.’
Adalah wajib kita ber’iktikad, bahawa harus bagi Allah Jalla waAzza, menjadikan sekelian alam, menjadikan kebaikan dan menjadikan kejahatan. Persoalannya, bila dilihat pada satu sisi, tidakkah wajib bagi Allah memasukkan orang-orang beriman yang taat, kedalam Surga Allah dan memasukkan pula orang-orang Kafir kedalam NerakaNya?
Jawabnya, tidak wajib bagi Allah Taala memasukkan orang-orang beriman yang taat, kedalam Syurga; hanya harus yaitu, semata-mata kurniaanNya sahaja; dan tidak pula wajib Allah Taala memasukkan orang-orang Kafir kedalam Neraka; hanya harus, yaitu semata-mata Keadilannya sahaja! Fahamkan benar-benar!
24. S. Apakah Rukun Syahadah yang keempat [terakhir] itu?
J. Mengisbatkan atau membenarkan dengan sesungguhnya kebenaran Rasulullah.
25. S. Bagaimanakah kaedahnya?
J. Dengan mengetahui, memahami dan membenarkan keempat-empat sifat Rasul tersebut, seperti, Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatonah.
26. S. Sila huraikan satu persatu.
J. Sifat pertama yang wajib bagi Rasul ialah Siddiq. Siddiq bererti benar, yakni, benar segala Rasul yang pernah diutus Allah Swt. kedunia ini. Andai Rasul tidak bersifat benar,maka mereka pasti bersifat dusta, dan jika mereka dusta, dusta pulalah Allah kerana Allah membenarkan Rasul-RasulNya dengan menzahirkan mukjizat keatas segala Rasul-RsulNya; yaitu, suatu perbuatan yang menyalahi kebiasaan, dianugerahkan kepada Rasul-Rasul sebagai hujah dan kebenaran ketika mereka didustakan sekelian manusia. Umpama, turun bulan terbelah dua dihadapan Nabi Muhammad saw.kemudian naik bertaut semula kelangit; dan terbit air dari jejari Rasulullah ketika ketiadaan air bagi Sahabat-Sahabat berwudhuk.
Sifat kedua yang wajib bagi Rasul ialah Amanah, yakni, kepercayaan bagi sekelian Rasul itu suci dari melakukan yang mungkar, haram dan makruh, zahir dan batin. Andai Rasul bersifat khianat dengan melakukan yang mungkar, haram dan makruh, boleh pula kita melakukan yang serupa, kerana kita diperintah Allah mencontohi sekelian RasulNya.
Sifat ketiga yang wajib bagi Rasul ialah Tabligh yakni, menyampaikan segala Rasul akan perkara-perkara yang diperintah Allah menyampaikan kepada segenap makhluk didunia ini. Andai boleh bagi Rasul menyembunyikan akan apa yang disuruh Allah menyampaikannya, tentu boleh pula kita menyembunyikan apa-apa yang disuruh kita menyampaikan kepada segenap manusia, kerana kita disuruh Allah mengikuti RasulNya. Walhal, kita tidak boleh menyembunyikan, apa lagi, Rasul tidak pula boleh berbuat demikian.
Sifat keempat dan terakhir yang wajib bagi Rasul ialah Fatonah, yakni cerdik, pintar dan bijaksana Rasul menetapkan setiap yang hak, dan menolak setiap yang batil. Disamping itu Rasul amat bijaksana mengemukakan hujjah, jawapan dan penyelesaian apabila berdepan dengan serangan, tentangan, bantahan dan sanggahan dari kaum Kuffar dan Munafiq.
Demikianlah penggarapan tuntutan Rukun Syahadah yang wajib dituntut oleh segenap umat yang mengaku memeluk Agama Islam!
5. KEISLAMAN
Sesungguhnya, setelah kita mengetahui dan memenuhi prasyarat bagi menganuti Agama Islam sebenar-benarnya seperti menunaikan segala tuntutan wajib berkaitan dengan Dua kalimah syahadah, diikuti pula dengan berterusan melaksanakan kelima-lima Rukun Islam, khususnya mendirikan Solat 5 waktu. Kelebihan Solat ialah kerana didalam Solat itu telah terkandung kelima-lima Rukun Islam, dan pada hakikatnya orang yang mendirikan Solat telah sekali-gus menunaikan kesemua Rukun Islam, dan sekali-gus menegakkan Agamanya.
Perhatikan Hadits Rasulullah bermaksud:
‘ Perbezaan antara orang-orang Islam dan orang-orang kafir ialah dengan meninggalkan solat.’ Dan lagi:
‘ Barangsiapa yang meninggalkan Solat dengan sengaja adalah kafir.’
Sama ada Solat kita dapat menepati syarat-syarat, kehendak dan objektif bersolat harus dibincang dalam kesempatan yang lain. Namun, kita telah dapat membuktikan andai kita melaksanakan semua tuntutan yang tersebut, sesungguhnya kita adalah orang Islam sebenar!
6. KEIMANAN
KeIslaman itu sifatnya hanya luaran. Justru kita dituntut oleh Allah Swt. agar mengisi dan melengkapkannya dengan keimanan. Lihat firman Allah bermaksud:
‘ Katakanlah kamu memang telah Islam. Hanya Iman belum memasuki hati kamu.’
Islam tanpa dipupuk dengan Iman, Tauhid, Taqwa, Ihsan dan Ma’rifah tidak membuahkan sebarang kelebihan, malah suatu kesia-siaan, dan meletakkan penganutnya dalam kategori:
a] Islam warisan/keturunan;
b] Islam taklid/ikutan;
c] Munafiq d] Syirik
e] Fasiq dan Zindiq.
Jelaslah,bahawa keIslaman adalah lebih mudah dibuktikan kerana ia merupakan paparan amalan bersifat zahir, sedangkan keImanan pula adalah bercirikan amalan dalaman atau bersifat kebatinan, yang hampir mustahil dilihat atau diketahui, melainkan oleh yang empunya diri! KeImanan adalah berlandaskan kepada pegangan, kepercayaan dan keyakinan seseorang terhadap Agama Islam, yang seharusnya dihayati dan dijiwai secara TAHKIK dengan berpaksikan kepada keenam-enam Rukun Iman yang sedia dimaklumi. Walaupun demikian, terdapat banyak ciri-ciri atau tanda-tanda pada diri seseorang yang benar-benar beriman, hanya jika kita lebih prihatin menyedari dan memerhatikannya!
7. TAUHID [AQIDAH]
Pengertian Tauhid ialah aqidah, pegangan, ‘iktikad, pengEsaan dan penunggalan terhadap Dzat Wajibal Wujud yang bernama ALLAH itu. Lawannya pula adalah Syirik. Sila lihat Q.S. Muhammad:19, bermaksud:
‘ Ketahui olehmu bahawa tiada Tuhan sebenarnya melainkan ALLAH.’
Inilah Kalimah yang tiada tara, tiada tolok bandingnya dengan Kalimah-Kalimah Allah yang lainnya. Kalimah ini juga dinamai Kalimah Tauhid, Kalimah Taqwa, Kalimah Ikhlas dan juga Kalimah Toyyibah. Atas Kalimah ini juga berdirinya Hukum-Hakam Allah; berdiri yang Halal dari yang Haram; berdiri yang Hak dari yang Batil, dan atas Kalimah ini juga berdirinya MA’RIFATULLAH!
(Sila bertanya kepada Ahlinya!)
Kalimah ini jugalah menjadi kunci pembuka Syurga dan penutup Neraka bagi orang-orang beriman, seperti Hadits Rasulullah, bermaksud:
‘ Barangsiapa pada akhir kalam/hayatnya dapat menyebut/mengingat LAA ILAAHA ILLALLAAH akan dimasukkan kedalam Syurga.’
Perlu ditekankan disini bahawa majoriti umat Melayu Islam diNegara ini amat terkeliru atau memandang sepi dan mudah tentang keutamaan, kelebihan, kepentingan peranan dan implikasi kejahilan dalam memahami Dua Kalimah Syahadah ini! Kalimah Tauhid ini, walaupun begitu mudah disebut, namun, ketidak fahaman dan tanpa ilmu, akan mengundang bahaya kekhilafan dan kegelinciran keatas aqidah sebenar seseorang.
Pada Kalimah Tauhid ini antara lain, tersimpulnya sekurang-kurangnya 50 Aqaidul Iman. Tanpa Aqaidul Iman akan terbatallah Syahadah itu! Perlu mengetahui Fardhu Syahadah; Kesempurnaan Syahadah; Syarat Sah Syahadah; dan perkara yang membinasakan Syahadah. Syahadah juga mengandungi Kalimah Nafi dan Isbat, yang mana fahaman yang sempurna amatlah dituntut diatas kesempurnaan dan sah pelaksanaan Syahadah tersebut.
Dan mutakhir sekali adalah mengetahui dan memahami Rahsia jari telunjuk tidak digenggam ketika mengangkat Syahadah! Implikasi dari kesemua ini akan menjadi jelas dan amat serius bagi mereka yang boleh berfikir, punyai firasat dan mata hati! Apakah memerlukan tindakan susulan? Fahamkan benar-benar permasalahan ini!
8. MA’RIFAH
Sila perhatikan sebuah Hadits Rasulullah, bermaksud:
‘ Awal Agama adalah mengenal Allah.’
Bererti, andai kita tidak mengenal Allah, maka kita tidak berAgama! Ma’rifah, bermakna mengenal, yakni, kita dikehendaki mengenal Allah yang disembah, terlebih dahulu, kemudian baharulah kita dikehendaki menyembahNya. Kedapatannya, lumrah dan lazim menyembahNya tanpa terlebih dahulu mengenali objek yang disembah! Justru, mana mungkin kita berupaya mencapai ‘Khusyuk’ dalam Solat, tanpa kaedah yang betul!
Juga pengertiannya, dengan Ma’rifah baharulah beramal, dan bukannya dengan beramal baharulah berMa’rifah! Oleh yang demikian, Rasulullah berJihad/berjuang selama 13 tahun untuk menegakkan Kalimah Tauhid dan menyemarakkannya, khususnya, dikalangan Keluarga, para Sahabat, dan sekelian umat Islam dizaman itu, bagi penyempurnaan Iman, Tauhid dan Ma’rifah mereka. Kemudian dari itu baharulah Rasulullah diIsra’-Mi’rajkan untuk menerima watikah dan perintah mewajibkan Solat 5 waktu keatas umat Islam seluruhnya, dari Allah Jalla waAzza.
Sayugia ditekan dan diperingatkan bahawa Kalimah LAA ILAAHA ILLALLAAH juga adalah Kalimah Ma’rifah. Dengannya sahaja kita, umat Islam dapat mengenali Tuhan kita, ALLAH, secara ‘TAHKIK’ disamping dapat mengenali diri kita yang sebenar-benar ‘diri’, seperti kata Ulama TareqatusSufiyyahMuhammadiah, bermaksud:
‘ Barangsiapa mengenal dirinya, mengenal ia akan Tuhannya.’
(Bagaimana – sila tanyakan kpd Ahlinya!)
9. KEUTAMAAN DZIKIR LAA ILAAHA ILLALLAAH
Berkata Abu Said r.a. bahawa Rasulullah bersabda, bermaksud:
‘ Allah Swt. telah berfirman: ‘ Berkata Nabi Musa a.s.: Ya Tuhanku! Ajarilah aku sesuatu yang dapat aku menyebut NamaMu dan berdoa kepadaMu!
Menjawab Allah swt.
Wahai Musa! Katakanlah Laa ilaaha illallaah! Berkata lagi N.Musa: Ya Tuhanku! Semua hamba-hambaMu mengucapkan demikian! Lalu Berfirman Tuhan: Katakanlah: Laa ilaaha illla Anta Rabbi [Tiada Tuhan melainkan Engkau ya Tuhanku!]. Nabi Musa berkata: Sesungguhnya, aku ingin mengucapkan sesuatu yang khusus bagiku sahaja! Berfirman Allah Swt.: Wahai Musa! Andai diletakkan seluruh 7 petala langit dan isi-isinya dan seluruh 7 petala bumi dan isi-isinya, selain Aku, disatu sisi neraca timbangan dan Kalimah Laa ilaaha illallaah di satu sisi yang lain pula; lalu ditimbang kedua-duanya, nescaya lebih beratlah lagi neraca Kalimah Laa ilaaha illallaah itu!
Hadits diatas menjelaskan betapa paling utama dan betapa beratnya pahala orang-orang yang beramal atau berdzikir dengan kalimah tersebut!
Malaikat Djibril a.s. mengakui dan menyatakan bahawa beliau tidak pernah membawa sesuatu bingkisan atau amalan yang lebih hebat, sarat dan terlebih afdhal dari Kalimah Laa ilaaha illallaah!
Maka Rasulullah bersabda, bermaksud:
‘ Seafdhal-afdhal dzikir ialah membaca/menyebut Kalimah Laa ilaaha illallaah.’
‘ Barangsiapa yang membaca Kalimah Laa ilaaha illallaah sebanyak 70,000 kali,[ yakni sekhatam Tahlil], maka dimerdekakan ia dari api Neraka.’
Beramallah dengan yang lebih utama atau bertanyalah kepada Ahlinya! Fahamkan benar-benar!
10. KESIMPULAN DAN PENUTUP
Jelas dari sintisis dan huraian dalam risalah ini, dapatlah kita memahami bahawa Agama Islam itu adalah himpunan dari Ilmu dan kefahaman [Baca: Bukan bertaklid buta/ikut-ikutan], amalan dan penghayatan ciri-ciri integral dan penting yang telah dipaparkan, yang amat menuntut kefahaman mantap dan kesempurnaan dalam pelaksanaan elemen dan ciri-ciri tersebut; disamping menegakkan suruhan dan tegahan Allah Swt.
Kendati, ini sekaligus membolehkan kita menentukan ‘STATUS’ diri kita sendiri didepan dan dipenglihatan Allah Taala! Dengan kaedah ini dan kesedaran baru yang bertamu dan bertemu dalam diri kita, baharulah kita akan dapat merasakan diri kita sebenar-benarnya berAgama, berTuhan, berIman, berTauhid dan berMa’rifah, sebagaimana dituntut oleh Allah Taala, bertepatan dengan firmannya, bermaksud:
‘ Tidak Aku ciptakan jinn dan manusia melainkan bagi mengabdikan/makrifah diri mereka kepadaKu.’
(Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan bagi mengenalKu dengan cara ibadahnya Rasulullah SAW)
‘ Sembahlah Tuhanmu sehingga datang keyakinan [ajal].’
‘ Sesungguhnya kita dari Allah dan kepadaNya kita dikembalikan.’
لا إلهَ إلا الله محمد رسول الله في كل لمحت و نفس عدد و سعه علم
Laa ilaaha‘illalalah Muhammadur rasuulullah sollaalaahu ‘alaihi wasalam wa syarofa’ wa karromaa wa majadda wa adzomaa kalimatul haq alaiha nahyu wa alaika namuutu wabiha nub’asu insya Allahu ta’alaa minal aminin Amin Allahumma Amin

Hizbun AnNabi wa AaliBaitihi wa Ashabihi
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan