Tuan Guru Dato' Seri Utama diRaja Dato' Haji Yusuf bin Sahabuddin Mufti Pertama Selangor

Tokoh Ulamak NaqshabandiTuan Guru Dato' Seri Utama diRaja Dato' Haji Yusuf bin Sahabuddin Mufti Pertama Selangor


Dalam senarai alim-ulama yang memegang jawatan mufti di negeri Selangor, nama Tuan Guru Dato’ Seri Utama DiRaja Dato’ Haji Yusuf bin Sahabuddin terpahat sebagai mufti yang pertama di negeri Selangor. Sebenarnya sebelum Tuan Guru dilantik memegang jawatan mufti, ulama yang memegang jawatan tertinggi dalam bidang agama di negeri Selangor adalah bergelar Syeikhul Islam. Hanya seorang tokoh yang pernah memegang jawatan tersebut iaitu Yang Mulia Tuan Guru Haji Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdul Rahman al-Fathani[1]. Beliau memegang jawatan tersebut selama 17 tahun iaitu dari tahun 1935 hingga 1952. Perlantikan Tuan Guru Dato’ ke jawatan mufti adalah bagi menggantikan Tuan Guru Haji Tengku Mahmud Zuhdi yang telah menamatkan perkhidmatannya sebagai Syeikhul Islam pada tahun 1952. Istilah mufti ini mula diwujudkan setelah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Selangor 1952 dibuat yang seterusnya memperuntukkan perkara-perkara berkaitan mufti dan fatwa.[2]
Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf dilahirkan pada tahun 1883 M di Kampung Telok Menegon, Kelang, Selangor.[3] Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Telok Menegon yang terletak di kampungnya. Beliau merupakan seorang pelajar yang pintar. Ini adalah kerana selepas tamat pengajian di sekolah tersebut, beliau telah ditawarkan mengajar di sekolah itu. Walaubagaimanapun, beliau menolak tawaran tersebut kerana lebih berminat untuk mendalami pengajian agama. Beliau memilih pengajian secara pondok bagi meneruskan cita-citanya itu. Beliau menadah kitab kepada Tuan Guru Haji Ahmad di Pondok Padang Lalang selama 13 tahun.[4] Di pondok itu, beliau telah didedahkan dengan ilmu fiqh, tauhid, tasawwuf, tafsir, hadith, nahu dan sorof.[5] Pada tahun 1911, beliau melanjutkan pengajian ke Makkah.[6] Di Makkah, beliau mendalami kitab-kitab jawi dan arab yang berasaskan Mazhab Syafi’i.[7] Beliau berada di Makkah lebih kurang 6 tahun sebelum pulang semula ke Tanah Melayu.[8]
Dengan ilmu yang dimilikinya, beliau membuka sekolah pondok di Selekoh, Perak. Pondok itu didirikannya di atas tanah miliknya sendiri pada tahun 1918.[9] Kaedah pengajarannya terbahagi dua iaitu nizami dan umumi.[10] Nizami merujuk kepada sistem pembelajaran yang bersistematik manakala umumi pula merujuk kepada sistem pengajian umum. Kaedah nizami digunakannya untuk membimbing anak-anak muridnya secara khusus. Pengajiannya adalah secara berturutan iaitu dari bab ke bab, dari kitab ke kitab dan dari satu peringkat ke satu peringkat tertentu mengikut pemilihan sesebuah kitab. Kaedah umumi pula dipraktikkannya untuk mengajar orang ramai. Lazimnya beliau akan menyampaikan syarahan di surau pada waktu-waktu tertentu seperti antara waktu Asar dan Maghrib, antara waktu Maghrib dan Isyak dan sebagainya. Kitab-kitab yang digunakanya meliputi bidang-bidang seperti tafsir, hadith, fiqh, usuluddin, akhlak dan sirah.[11]
Pada tahun 1937, Tuan Guru Dato’ sekali lagi berangkat ke Makkah bersama keluarganya.[12] Berkemungkinan besar beliau menetap di Makkah dalam tempoh yang agak lama iaitu lebih kurang 15 tahun. Ini adalah kerana ketika Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin[13] datang menemuinya untuk memujuknya pulang ke tanahair bagi memegang jawatan mufti pada tahun 1952, Tuan Guru Dato’ masih lagi berada di Makkah. Tuan Guru Dato’ bersetuju menerima perlantikan itu dan beliau akhirnya memegang jawatan itu secara rasmi pada tahun 1953. Pada ketika itu, usianya telah mencecah 70 tahun. Semasa memegang jawatan ini, beliau telah menjelajah masuk ke kampung-kampung di seluruh negeri Selangor untuk menyampaikan ilmu agama kepada umat Islam di negeri tersebut. Beliau menyampaikan ilmu dalam majlis-majlis pengajian, khutbah Jumaat, diskusi, halaqah dan kajian-kajian ilmiah yang kemudian dituangkannya dalam bentuk kitab.[14]
Dalam tempoh 15 tahun beliau memegang jawatan mufti, beliau telah berusaha menangani masalah-masalah kritikal yang berlaku di zaman itu. Antaranya ialah seperti pengaruh Qadiani yang dikatakan cukup banyak berleluasa di zaman itu. Bimbang dengan pengaruh ajaran tersebut, beliau telah menyusun sebuah kitab yang menerangkan sebab-musabab kenapa Mirza Ghulam Ahmad al-Qadiani dan pengikutnya dikatakan menyimpang dari ajaran Islam.[15]
Dalam bidang fiqh, beliau dikatakan ada mengarang sebuah risalah yang bernama “Sekitar hukum memungut zakat”. Isi kandungannya adalah tentang kewajipan melaksanakan urusan pungutan zakat. Walaupun risalah tersebut ringkas namun beliau tetap mengemukakan dalil-dalil berasaskan al-Quran dan Hadith bagi menunjukkan bukti bahawa zakat itu wajib dilaksanakan.[16]
Sementara dalam bidang usul fiqh, beliau telah mengarang sebuah kitab yang menyanggah pendapat golongan yang menyatakan tidak harus bertaqlid kepada salah satu ulama’ mujtahidin (ulama’ mazhab empat). Dalam kitab tersebut, beliau turut mengupas sifat-sifat dan syarat-syarat yang perlu ada untuk membolehkan seseorang itu melakukan ijtihad.[17]
Tuan Guru Dato’ juga dikatakan ada menulis kitab dalam bidang Tasawwuf. Amalan tasawwuf dikatakan sebati dengan amalan rohaninya. Beliau diriwayatkan mengamalkan tariqat Naqsyabandiah.[18] Atas sumbangannya yang begitu besar dalam bidang agama maka beliau telah dipilih sebagai tokoh ulama silam yang ke sepuluh oleh Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia pada 6 Muharram 1406 bersamaan dengan 21 September 1985.[19] Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf kembali ke rahmatullah ketika berada di Makkah al-Mukarramah.[20] Antara anak muridnya yang kemudian hari menjadi tokoh ulama ialah almarhum Tuan Guru Haji Mohammad Shahar bin Sulaiman yang pernah dipilih sebagai tokoh anugerah Maal Hijrah 1413 H bagi peringkat negeri Selangor.[21] Tuan Guru Haji Mohammad Shahar diriwayatkan menimba ilmu tauhid dan tasawwuf kepada Tuan Guru Dato’ ketika Tuan Guru Dato’ mengajar di Kampung Jawa, Kelang.[22]
Tuan Guru Haji Mohammad Shahar berkahwin dengan Hajah Khadijah, anak sulung kepada Tuan Guru Haji Mohammad Amin yang juga merupakan guru kepada Tuan Guru Haji Mohammad Shahar.[23] Perisrtiwa itu berlaku pada 12 Syawal 1377 Hijrah bersamaan 1 Mei 1958.[24] Tuan Guru Haji Mohammad Amin yang juga merupakan teman belajar Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf telah mewakilkan wali untuk upacara akad nikah tersebut kepada Tuan Guru Dato’ Haji Yusuf bin
_________________________________________
[1] Nama lengkapnya ialah Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman bin Tuanku Nur bin Raja Belat ibnu Raja Datu al-Fathani al-Jawi. Beliau berketurunan Raja Jambu di Patani. Tengku Mahmud lahir di Ban Sim Dip, Bangkok, pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masehi dan meninggal dunia di Makkah pada tanggal 6 Rabiulawal 1376 Hijrah/10 Oktober 1956 Masehi.
[2] Mazni binti Abdul Wahab. 2002. Sejarah Penubuhan Institusi Fatwa di Negeri Selangor. Jurnal Syariah 10:2. Universiti Malaya. Kuala Lumpur. Hlm.2
[3] Ibid. Hlm.17
[4] _____. 2003. Sahibus Samahah Tuan Haji Yusof bin Sahabuddin Dalam Kenangan. Buletin at-Taqwa. Bil. 3 Jabatan Mufti Negeri Selangor. Shah Alam. Terbit pada Rajab 1424/September 2003. Hlm.8
[5] Ibid
[6] Ibid
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Ibid
[10] Ibid
[11] Ibid
[12] Ibid
[13] Sultan Hishamuddin pergi ke Makkah dalam rangka menunaikan ibadah haji pada masa itu. Rujuk _____. 2003. Sahibus Samahah Tuan Haji Yusof bin Sahabuddin Dalam Kenangan. Buletin at-Taqwa. Bil. 3 Jabatan Mufti Negeri Selangor. Shah Alam. Terbit pada Rajab 1424/September 2003. Hlm.8
[14] _____. 2003. Sahibus Samahah Tuan Haji Yusof bin Sahabuddin Dalam Kenangan. Buletin at-Taqwa. Bil. 3 Jabatan Mufti Negeri Selangor. Shah Alam. Terbit pada Rajab 1424/September 2003. Hlm.8
[15] Ibid
[16] Ibid
[17] Ibid
[18] Ibid
[19] Ibid
[20] Ibid
[21] Tuan Guru Haji Mohammad Shahar (lahir pada 20 Jun 1930) kembali ke rahmatullah pada hari Khamis, 28 April 2005, kira-kira pukul 1.45 tengah hari selepas mandi dan berwuduk untuk menunaikan solat Zuhur. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Tambak Jawa di hadapan mihrab masjid. Rujuk ____. 2009. Haji Shahar Sulaiman berdakwah menggunakan seni syair. Ruangan Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 12 Januari 2009
[22] ____. 2009. Haji Shahar Sulaiman berdakwah menggunakan seni syair. Ruangan Bicara Agama. Utusan Malaysia. Terbit pada 12 Januari 2009
[23] Ibid
[24] Ibid
[25] Ibid

Sumbur dari 
Bahagian Tarekat Tasauwuf - Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Share on Google Plus

About Tv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 komentar:

Posting Komentar