SALASILAH & KEIZINAN

SALASILAH & KEIZINAN


Dalam kalangan umat Islam yang berminat mengamalkan tarekat tasawuf, mereka perlulah mendapatkan pengesahan bahawa sheikh atau guru yang memimpin sesebuah tarekat itu memiliki salasilah dan keizinan yang benar-benar diiktiraf daripada perspektif disiplin ilmu tarekat tasawuf.

Kedua-dua syarat ini juga penting untuk menentukan sesebuah tarekat tasawuf itu adalah benar dan memiliki keberkatan. Tanpa kedua-duanya, ia bakal menyebabkan murid yang mengamalkan tarekat itu terperangkap dalam amalan sia-sia kerana hilang keberkatan dalam pelbagai amalan dilaksanakan bawah bimbingan sheikh yang terputus salasilah dan tiada keizinan.

Konsep salasilah sebenarnya terhubung secara rapat dengan sheikh yang disebut juga sebagai salasilah sheikh. Oleh kerana institusi tarekat tasawuf mengaku bahawa dasar-dasar doktrin dan pengamalan sesebuah tarekat itu berasal daripada Rasulullah SAW, maka para pengamalnya menganggap amat penting sekali turutan nama guru tarekat secara turun temurun. Rantaian hubungan para sheikh dari satu generasi ke satu generasi itulah yang dinamakan sebagai salasilah.

Justeru, setiap seorang sheikh yang memimpin sesebuah tarekat perlu menjaga salasilah ini dengan cermat kerana ia adalah perakuan tentang kesahihan tarekat yang dipimpinnya. Secara praktikal, dapat dijelaskan bahawa salasilah itu bagaikan catatan senarai nama para sheikh hingga sampai kepada Rasulullah SAW, sekali gus menjadi asas pengesahan seseorang sheikh dan boleh menunjukkan cabang tarekat mana dia termasuk dan bagaimana hubungannya dengan para sheikh tarekat lain.

Secara umumnya, salasilah seseorang sheikh yang hidup pada abad ini biasanya tercantum antara 30 hingga 40 nama para sheikh yang secara idealnya, setiap daripada mereka yang tercantum dalam rantaian salasilah ini mestilah murid langsung kepada sheikh yang terdahulu, turun temurun sampai kepada Rasulullah SAW.

KAITAN KEBERKATAN
DENGAN SALASILAH


Di samping itu, dari sudut lain, konsep salasilah ini juga mempunyai kaitan rapat dengan satu lagi konsep yang dikenali sebagai al-barakah atau keberkatan. Menurut perspektif golongan sufi, ia adalah syarat yang cukup asas dalam institusi tarekat.

Al-barakah ini dalam peristilahan golongan sufi dikenali juga sebagai ‘kesan rohani’. Kesan rohani ini tidak akan diperoleh oleh murid yang menjalani program latihan dalam sesebuah tarekat melainkan melalui sheikh murshid yang mempunyai cukup syarat untuk memainkan peranan sebagai sheikh dalam sesebuah tarekat.

Sheikh yang murshid itu, menurut golongan sufi, pada dasarnya menerima atau mewarisi keberkatan daripada Rasulullah SAW melalui guru sebelumnya, yang setiap seorang daripada mereka itu telah mengizinkan kepada murid yang mempunyai cukup persediaan untuk menjadi pengganti dan penyambung fungsi sheikh meneruskan tradisi perjalanan sesebuah tarekat.

Jadi, secara konsepnya para sheikh ini berfungsi sebagai rantai-rantai penyambung keberkatan Rasulullah SAW tanpa sebarang pemutusan. Perpindahan keberkatan daripada seorang sheikh kepada seorang sheikh yang lain, sambung bersambung tanpa terputus itulah lahirnya apa yang diistilahkan sebagai salasilah.

Kerana kepentingan keberkatan dalam institusi tarekat, para sufi menjadikannya sebagai antara syarat utama. Setiap seorang yang mempunyai persediaan rohani untuk menjalani hidup secara bertasawuf perlulah mengambil atau memasuki sesebuah tarekat yang mempunyai sheikh memiliki salasilah yang sah.

KEIZINAN MENYEBARKAN TAREKAT


Berdasarkan penjelasan di atas, turutan yang tidak dapat dipisahkan dengan konsep-konsep utama dalam institusi tarekat adalah al-izn atau keizinan. Konsep ini bermakna bahawa seseorang sheikh masa kini bagi sesebuah tarekat mestilah mendapat keizinan daripada sheikhnya untuk menyebar, mengajar dan mentarbiahkan ilmu tarekat kepada orang lain.

Dalam konteks ini:

Seseorang murid yang misalnya sudah lengkap ditarbiahkan oleh seseorang sheikh, tetapi masih belum mendapat keizinan daripada sheikhnya untuk mentarbiahkan orang lain, maka dia tidak boleh menjadi sheikh.

Sekiranya terdapat seseorang murid yang bertindak sendiri dan memandai-mandai berlagak menjadi sheikh tanpa terlebih dahulu mendapat keizinan, perspektif sufi melihat murid berkenaan sedang berdepan dengan bahaya besar untuk disesat dan diselewengkan oleh ejen-ejen syaitan.

Seterusnya, dalam konteks institusi tarekat, boleh diungkapkan bahawa hubungan antara salasilah dan keizinan merupakan satu hubungan yang bersifat tabii.

Ini kerana:

Tanpa keizinan bererti tiada salasilah atau terputusnya rantai penyambungan keberkatan daripada seorang sheikh kepada sheikh yang sebelumnya hingga bersambung kepada Rasulullah SAW.

Dalam hubungan ini, seseorang mungkin saja mengaku diri sebagai seorang sheikh dengan mengemukakan salasilah lengkap bertulis secara tipu atau palsu, tetapi seseorang itu tidak mungkin memalsukan atau menipu syarat keizinan.

Sesiapa pun juga yang cuba mengambil tugas seorang sheikh tanpa memiliki syarat-syarat asas tersebut, maka lambat laun pasti akan ternyata bukti penyelewengannya.

Kelihatannya salasilah dan keizinan adalah dua perkara yang perlu diselidik secara teliti serta mendalam bagi menentukan kebenaran sesebuah tarekat tasawuf.

Tanpa penyelidikan perkara ini agak sukar untuk ditentukan dan pengamal sesebuah tarekat tentunya tidak dapat mengelak daripada terdedah kepada bahaya penyelewengan.

Justeru, demi menjaga kepentingan ummah supaya tidak tersesat dalam mengamalkan amalan tarekat tasawuf, maka penyelidikan teliti ini seeloknya dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama bagi mendapat kepastian salah betulnya sesebuah tarekat dan memaklumkan hal tersebut kepada umat Islam seluruhnya.

Wallahua'lam.

Oleh :
Prof. Datuk Zakaria Stapa
Share on Google Plus

About roslanTv Tarekat

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan