TvTarekat | MENGAPA ‘ALLERGIC’ DENGAN HABIB?


Mutakhir ini sejak gelombang Majlis Selawat, Malam Cinta Rasul, Majlis Rasulullah, Majlis Maulid, Malaysia Berselawat atau apa sahaja nama gelaran yg diberi bagi Majlis seumpama ini mula menjadi fenomena yg telah menarik ribuan hadirin hadir ke majlis sebegini, sesetengah daripada anggota masyarakat ada yg merasa ragu, hairan, pelik atau alah dengan gelaran Habib atau Habaib bagi kalangan ulama keturunan Nabi yg biasanya akan dijemput bagi menyampaikan pengisian tazkirah atau tawsiyah dalam Malis-majlis tersebut.

Saya sendiri merasakannya apabila timbul pertanyaan-pertanyaan sinis, kenyataan-kenyataan menyindir dan kata-kata yg kurang baik didengar dari sahabat-sahabat saya sendiri juga terhadap ulama-ulama habaib ini. Seolah-olahnya baharu sehari dua, atau sebulan dua ini atau setahun dua ini yg mereka katakan ‘golongan’ habaib atau ‘geng’ habaib ini datang ke Malaysia ‘menyerang’ dengan satu perkara yg merisaukan dan meresahkan mereka.

Saya terpanggil menulis, dengan kapasiti ceteknya ilmu saya, sekadar dari persepsi dan pengalaman bersama menumpang di majlis-majlis habaib ini, mungkin benar apa yg saya kongsikan dan mungkin juga kurang tepat yg memerlukan pembetulan dari orang-orang yg berilmu di luar sana.

SIAPA HABIB atau HABAIB (plural)?

Ya, saya percaya ramai yg sudah tahu gelaran HABIB digelarkan kepada para ULAMA berketurunan Rasulullah S.A.W khususnya dari jalur keturunan yg datang dari Hadramawt, Yaman seperti antaranya keturunan Al-Habsyi, Al-Jufri, Al-Hamid, Al-Khired, Al-Haddad, As-Seggaf, Al-Attas, Al-Idrus, Ben Yahya, Ben Hafidz dan banyak lagi. Habib yg membawa maksud yg difahami sebagai ‘Kekasih’ atau ‘yang dikasihi’ atau ‘yang dicintai’ ialah gelaran atas dasar menghormati, mengasihi dan mencintai keluarga Nabi, anak cucu dan keturunan baginda Rasulullah seperti yg digalakkan sendiri oleh baginda Rasulullah untuk mencintai mereka dalam banyak hadis-hadis baginda.

Dari pemerhatian saya, gelaran habib ini bukanlah sewenang-wenangnya diberikan kepada semua yang berjalur keturunan yg saya sebutkan tadi, tetap selalunya khusus kepada para alim-ulama di kalangan mereka. Ramai juga sahabat-sahabat saya berketurunan syed dari jalur Al-Yahya, Al-Bukhary, Al-Idrus contohnya tidak pula kami memanggil mereka dengan gelaran habib.

Setelah saya mengkaji secara ringkas, memang terdapat ramai alim ulama Ahli Sunnah wal Jamaah dari kalangan keturunan Rasulullah S.A.W di seluruh dunia, Cuma gelaran HABIB ini hanya digunakan di rantau Nusantara ini sahaja serta di Yaman, dan pastinya kerana Ulama-ulama habaib ini yg datang ke rantau ini dalam misi dakwah Islam satu masa dahulu. Jadi tiada masalahnya dengan gelaran Habib ini, kalau di sebelah Mesir contohnya, mereka ini selalu dikenali dengan gelaran jalur keturunan seperti Al-Hasani, manakala yang datang dari Mekah dulunya membawa dakwah Islam ke Malaysia pula digelar dengan gelaran Syarif.

Bahkan golongan yang digelar Habib ini dulunya sewaktu datang ke Tanah Melayu digelar pula dengan gelaran Said atau Tuan Syed dan sebagainya. Bahkan ada juga yang menyorokkan gelaran dan keturunan mereka, mungkin juga atas faktor keselamatan ketika di zaman penjajah dan lebih selesa hanya dengan gelaran warga kampung tempatan seperti Tok atau Tokku begitu sahaja.

HABIB SUDAH LAMA DATANG KE MALAYSIA (BUKAN 2-3 TAHUN LALU TAPI BERATUS TAHUN DAHULU)

Jadi bukanlah baru semalam Habaib ini datang ke Malaysia? Jadi, bukanlah fenomena yg mereka bawa ini baru terjadi setahun dua ini? Ya, bukan, bahkan, kiranya mereka ini tidak mengharungi badai lautan datang berlayar ke Tanah Melayu atau ke Nusantara ini, boleh jadi nama kita sekarang ini bukanlah Muhammad atau Abdullah, tapi sebaliknya mungkin Merong Mahawangsa, atau Sang Sapurba, dan tiada pulalah Majlis-majlis seperti Marhaban Berzanji, Berqasidah atau Berselawat apatah lagi Solat berjemaah serta membaca Al-quran dan seluruh syiar Islam yg sedang kita nikmati sekarang ini di bumi Tanah Melayu ini. Begitulah kuatnya genetik seorang daie, pendakwah, yg dibawa dalam nasab keturunan mereka dari datuk/moyang mereka iaitu nabi kita tercinta yg juga kita gelarkan HABIB iaitulah Habibuna AlMustofa Muhammad Rasulullah S.A.W.

Saya agak kasihan dan sedih bila ada di kalangan sahabat-sahabat saya juga sendiri memperlekehkan dan menyindir anak cucu baginda Rasulullah S.A.W. yg kita gelarkan habib ini sedangkan beratus tahun sebelum kelahiran mereka yg menyindir ini lagi para habaib ini sudah datang membawa risalah Islam ke bumi tanah melayu ini. Kalau pun tidak suka, sekurang-kurangnya kita renung balik nikmat Islam dan Iman yg kita miliki hari ini yg dibawa oleh baginda Rasulullah S.A.W melalui pendakwah-pendakwah yang di antaranya dari kalangan para habaib ini sendiri. Kenanglah jasa mereka ini dengan kita menghormati dan meraikan anak cucu mereka.

HABAIB DI ZAMAN DAHULU

Wali Songo atau wali Sembilan yg terkenal dalam catatan sejarah yang membawa ajaran Islam ke bumi Nusantara ini juga adalah dari kalangan mereka. Ulama’- ulama ini terkenal dengan pendekatan dakwah mereka yg menyesuaikan caranya dengan kebudayaan dan tradisi penduduk setempat tanpa menyalahi syariat Islam. Mungkin ramai yg tidak menyedari bahawa Wali Songo ini terdiri dari ulama habaib (keturunan Rasulullah) dari generasi yg ke 22, 23 dan 24.

Antaranya Sunan Gresik atau nama sebenarnya Maulana Malik Ibrahim adalah keturuan ke 22 Nabi Muhammad S.A.W. Nasab beliau adalah seperti berikut: As-Sayyid Maulana Malik Ibrahim bin As-Sayyid Barakat Zainal Alam bin As-Sayyid Husain Jamaluddin bin As-Sayyid Ahmad Jalaluddin bin As-Sayyid Abdullah bin As-Sayyid Abdul Malik Azmatkhan bin As-Sayyid Alwi Ammil Faqih bin As-Sayyid Muhammad Shahib Mirbath bin As-Sayyid Ali Khali’ Qasam bin As-Sayyid Alwi bin As-Sayyid Muhammad bin As-Sayyid Alwi bin As-Sayyid Ubaidillah bin Al-Imam Ahmad Al-Muhajir bin Al-Imam Isa bin Al-Imam Muhammad bin Al-Imam Ali Al-Uraidhi bin Al-Imam Ja’far Shadiq bin Al-Imam Muhammad Al-Baqir bin Al-Imam Ali Zainal Abidin bin Al-Imam Al-Husain bin Sayyidah Fathimah Az-Zahra/Ali bin Abi Thalib, binti Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w.

Begitu juga dengan Sunan Ampel-Raden Rahmat (generasi ke-22), Sunan Bonang-Makhdum Ibrahim (23), Sunan Drajat (23), Sunan Kudus(24), Sunan Giri, Sunan Gunung Jati- Syarif Hidayatullah dan lain-lainnya.

Tahun berganti tahun, kurun berganti kurun, sehinggalah para ulama habaib ini turut diizinkan Allah untuk menjejakkan kaki mereka di bumi Tanah Melayu. Antara ulama habaib ini ialah yang terkenal di Terengganu iaitu Tok Ku Paloh dan Ayahandanya Tok Ku Tuan Besar. Nama sebenar beliau ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad Al-Aidrus. Gelaran lain beliau ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Beliau lahir pada tahun 1233 Hijrah bersamaan dengan1817 Masihi dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi.

Ayahnda beliau ialah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin Al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu. Beliau (Tokku Paloh) ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Begitu juga dengan Tokku Pulau Manis atau nama sebenar Sharif Syeikh Abdul Malik Bin Abdullah yang turut dikatakan bersalasilah keturunan habaib dari jalur Sunan Gunung Jati (Syarif Hidayatullah)- (walaubagaimanapun terdapat beberapa perbezaan pendapat berkenaan salasilah beliau)

Kita turun pula ke selatan tanahair, mungkin ramai yg tidak menyedari para habaib telah lama menjadi ulama dan autoriti agama di JOHOR. Bahkan Mufti pertama Johor sendiri ialah seorang habib iaitu HABIB SALIM BIN AHMAD B MOHSEIN AL-ATTAS – MUFTI JOHOR PERTAMA (1896-1899). Begitu juga dengan beberapa orang mufti lagi antaranya HABIB ALWI BIN TOHIR AL-HADDAD – MUFTI JOHOR (1934-41 & 47-61) dan HABIB ABDUL KADIR BIN MOHSIN AL-ATTAS (Mufti pada 1907-1933)

Begitu juga di bumi Temasik atau Singapura, ulama habaib ini telah pun lama sampai di sana, antara yang diterkenal ialah As-Sayid Habib Nuh Al-Habsyi Rahimahullah (1788-1866M). Beliau yang datang dari Kedah merupakan ulama berbangsa Arab keturunan Rasulullah yang berasal dari Yaman. Bahkan makam Adik beliau turut terdapat di Pulau Pinang. Adik beradik beliau ialah Habib Ariffin, Habib Zain (kedua-duanya di Makamkan di Pulau Pinang) dan Habib Salikin (Daik, Indonesia).

Begitu pula di Negeri Pahang, orang Pahang pasti ramai yang mengetahui adanya sebuah sekolah agama di Pekan, Pahang yang bernama Sekolah Menengah Agama Al-Attas. Sekolah ini berasal dari sebuah madrasah yang dinamakan Madrasah Al-Attas yang dibuka sekitar tahun 1913 oleh seorang ‘Habib’ yang bernama Habib Hassan Al-Attas. Nama penuh beliau ialah Saiyid Hassan bin Ahmad bin Zain Al Attas. Selain di Johor, antara mufti terawal di Pahang juga adalah dikalangan para Habaib, antaranya ialah MUFTI MUKHSIN BIN HABIB ABDUL RAHMAN (Tahun 1800)

Nama beliau di sebut oleh Sheikh Abdullah bin Sheikh Muhamaad Riau di dalam risalah “ Bayani Al Sirki” pada tahun 1803, jika kita lihat di dalam tulisan itu yang berbunyi:

“ Adapun kemudian dari itu maka akan berkata yang berkehendak pada risalah ini….Sheikh Abdullah anak Sheikh Muhammad…akan menyampaikan ia akan kehendak ku kepada negeri Pahang sanya menuntut dari aku setengah dari sebesar-besar manusia dan itu maulana penghulu yang mulia Mahusin namanya anak marhum Habib Abdul Rahman…….”

Begitu juga Mufti yang pertama di Negeri Pahang ketika pemerintahan Sultan Ahmad Shah 1 juga di kalangan seorang ulama dan pendakwah bergelar Habib yang berasal dari Mekah iaitu MUFTI HABIB MOHAMAD AMIN (1865). Kedudukan beliau sebagai mufti dinyatakan dengan jelas di dalam syair Sultan Abu Bakar Johor, apabila berlaku kunjungan Sultan Ahmad Muazzam Shah ke Johor yang tercatat dalam lembaran sejarah.

Begitu juga di Perlis, kedatangan awal para Habaib dari Yemen bermula dengan kedatangan Sayyid Ahmad bin Hussein Jamalullail yang berhijrah dari Hadramaut Yamen bersama anak saudaranya Sayyid Alwi bin Abdullah bin Hussain Jamalullail ke Palembang. Beberapa ketika disana Sayyid Ahmad menyambung perjalanan ke Kedah (Malaysia) manakala anak saudaranya menetap di Palembang dan seterusnya merantau ke Betawi (Jakarta).

Ketika Sayyid Ahmad Jamalullail di Kedah, beliau menikahi seorang wanita dari anak kenalan beliau iaitu Syarifah Aminah binti Syed Mohammad Al-Qadri di Limbong Kedah. Dari hasil pernikahan tersebut, mereka dikurniakan seorang putera yakni Tuan Syed Harun atau nama penuhnya Syed Abu Bakar Harun Jamalullail. Dari keturunan inilah jalur salasilahnya KDYMM Raja Perlis pada hari ini.

Pendek kata, jika kita menelusuri sejarah Tanah Melayu, di setiap negeri-negeri di Malaysia, pasti kita akan temui jasa dan pengorbanan Ulama-ulama Habaib, Syarif, Sayyid dan lain-lainnya tanpa kita menafikan sedikit pun jasa dan pengorbanan Ulama-Ulama dan pejuang-pejuan dakwah yang tidak berketurunan Habaib ini.

Tujuan artikel ini dibuat, ialah supaya generasi baru tahu dan kenal betapa dekatnya kita dengan ulama-ulama berketurunan Rasulullah S.A.W dalam masyarakat kita, dan ia bukannya sehari dua atau setahun dua yang lalu mereka baru datang ke Malaysia.

Kalau pun kita tidak suka dan tidak mahu menganggap mereka seseorang yang mulia, atau kita mengatakan mereka hanya insan biasa tiada kelebihannya, janganlah pula sampai kita mencerca dan memaki mereka, mengejek dan mempermainkan mereka, bimbang kalau-kalau perlakuan kita tidak beradab dan melukakan pula hati Datuk mereka yang kita cintai, iaitu Rasulullah S.A.W.

Jadi bagi sahabat-sahabat saya yang bertanya apa kelebihan Para Habaib ini?

Ada banyak sekali dalil Hadits yang menyatakan keutamaan Ahlu Bait, bahkan al-Imam as-Suyuthi menulis sebuah kitab yang khusus memuat beberapa Hadits yang menunjukkan keutamaan Ahlu Bait.

Berikut saya kutip beberapa terjemahan Hadits.

“Perumpamaan ahli bait-ku, seperti perahu Nabi Nuh. Barang siapa yang berada di atasnya ia akan selamat, dan yang meninggalkannya akan tenggelam.”
(H.R. Thabrani)

“Aku meninggalkan kalian yang apabila kalian pegang teguh tidak akan tersesat. Kitab Allah, dan keturunanku.”
(H.R. Turmudzi)

“Umatku yang pertama kali aku beri pertolongan (Syafa’at) kelak di hari Kiamat, adalah yang mencintai Ahli bait-ku.”
(H.R. al-Dailami)

“Didiklah anak-anak kalian atas tiga hal. Mencintai Nabi kalian. Mencintai Ahli bait-ku. Membaca al-Qur’an.
(Diriwayatkan oleh Ibnu Mundzir, Ibnu Abi Hatim, Ibnu Mardaweih, dan at-Thabrani dalam kitab tafsir-nya)

Rasulullah SAW juga selalu mengingatkan umatnya agar mencintai ahli keluarganya. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَحِبُّوا اللَّهَ لِمَا يَغْذُوكُمْ مِنْ نِعَمِهِ وَأَحِبُّونِي بِحُبِّ اللَّهِ وَأَحِبُّوا أَهْلَ بَيْتِي بِحُبِّي.

Maksudnya:

Dari Ibn’Abbas r.a bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda: “Cintailah Allah kerana nikmat kurniaan-Nya memberikan kamu makan. Cintailah aku kerana cintakan Allah dan cintailah ahli keluargaku kerana mencintaiku.”
(Riwayat al-Hakim: 4716)
Al-Hakim mengatakan bahawa hadis ini sahih sanadnya, namun tidak dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam kitabnya. Begitu juga dengan al-Zahabi di dalam kitabnya, al-Talkhis. Al-Zahabi mengatakan bahawa hadis ini sahih.

Terdapat juga hadis Nabi SAW yang menganjurkan kita agar mengasihi ahl al-baytnya dan menjauhkan perasaan benci terhadap mereka, iaitu sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

وَالَّذِيْ نَفْسِ بِيَدِهِ لاَ يُبْغِضُنَا أَهْلَ الْبَيْتِ أَحَدٌ إَلاَّ أَدْخَلَهُ اللهُ النَّارَ.

Maksudnya:

“Demi jiwaku yang berada berada di dalam kekuasaan-Nya (Allah)! Tidak membenci seseorang terhadap kami ahl al-bayt, melainkan Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.”
(Riwayat al-Hakim: 4717)
Hadis ini sahih mengikut syarat Muslim dan tidak dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab mereka.

Begitulah peringatan dan ancaman yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah SAW kepada umat Islam, betapa kita perlu untuk menyayangi ahli bayt baginda SAW dan jangan pula membenci mereka.

Akhir sekali, marilah kita hayati sebuah Hadis dari Ibnu Mas‘ud:

Maksudnya: Dari Abdullah bin Mas’ud dia berkata: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang sekumpulan anak muda dari kalangan Bani Hasyim. Apabila terpandang akan mereka, maka kedua mata Rasulullah SAW berlinang air mata dan wajah baginda berubah. Aku pun bertanya, “Mengapa kami melihat pada wajahmu sesuatu yang tidak kami sukai?”

Baginda menjawab, “Kami Ahlul Bait telah Allah pilih untuk kami Akhirat lebih dari dunia. Kaum kerabatku akan menerima bencana dan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang suatu kaum dari sebelah Timur dengan membawa bersama-sama mereka panji-panji berwarna hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikannya. Maka mereka pun berjuang dan beroleh kejayaan lalu diberikanlah apa yang mereka minta itu tetapi mereka tidak menerima sehinggalah mereka menye rahkannya kepada seorang lelaki dari kaum kerabatku yang memenuhi bumi dengan keadilan sebagai mana ia dipenuhi dengan kedurjanaan. Siapa di antara kamu yang sempat menemuinya maka datangilah mereka walaupun merangkak di atas salji. Sesungguhnya dia adalah Al Mahdi.”
(Riwayat Ibnu Majah) (Lihat kitab Al Hawi lil Fatawa, m.s. 71-72)

Semoga Allah menanamkan dalam hati kita kecintaan kepada Rasulullah S.A.W dan ahli keluarga dan keturunan baginda serta para sahabat ridhwanullah alaihim ajmain. Sehingga di akhir zaman nanti, anak cucu kita akan tergolong dalam mereka yang menyokong dan mengikuti Imam yang datang dari keturunan baginda iaitu Al-Mahdi, dan bukan kita dijadikan di kalangan kelompok yang membencinya, dan memeranginya, nauzubillahi min zaalik.
Wallahu a’lam.

(Sumber)
Al-Faqir:
Muhammad Hazamin Harun
(Mohon teguran dan pembetulan dari para asatizah jika ada kesilapan)

P/S- Artikel ini bukan untuk mengetepikan ulama-ulama lain, semua ulama ahlussunnah waljamaa'ah kita cintai dan hormati atas sebab keilmuan dan pengorbanan mereka. Ini khusus untuk mereka yg bertanya dan tak mengenali siapa para habib sahaja sebagai tambahan ilmu dari sejarah negara kita. Begitu juga para habaib bukan maksum dan tidak terlepas dari melakukan dosa yg mana itu adalah tanggungjawab mereka kepada Allah.

للهم صل و سلم على سيدنا محمد و على آله وصحبه اجمعين
Share on Google Plus

About hjrozman

Ut wisi enim ad minim veniam, quis nostrud exerci tation ullamcorper suscipit lobortis nisl ut aliquip ex ea commodo consequat. Duis autem vel eum iriure dolor in hendrerit in vulputate velit esse molestie consequat, vel illum dolore eu feugiat nulla facilisis at vero eros et accumsan et iusto odio dignissim qui blandit praesent luptatum zzril delenit augue duis.

0 comments:

Catat Ulasan