#AlQuran

TvTarekat | Kisah Salam Perkenalan, Akhirat


Satu hari anak lelaki bongsu saya yang berumur 7 tahun bercerita dan bertanya soalan yang membuat saya rasa bersalah.


"Mama, dalam satu episod cerita Tom and Jerry, ada di  ceritakan Tom mati, kemudian Tom dibangunkan semula di satu tempat. Di tempat tu Tom dibacakan buku oleh seseorang.

Rupanya ma, buku itu menceritakan semua kejahatannya membuli Jerry semasa di dunia. Tom akan di masukkan kedalam tempat api yang besar, balasan dari perbuatan jahatnya di dunia. Agaknya begitulah hari akhirat kan ma ?"

Ya, bersalah kerana tidak pernah menceritakan bagaimana akhirat itu sebagaimana yang Allah cerita didalam Al Quran. Dan dia mendapat gambaran akhirat melalui episod Tom and Jerry. Allahuakbar.

Saya menjawab, 

"Ya, adik, begitulah akhirat. Hidup semula selepas kematian itu, hari kebangkitan. Yang membaca amalan itu, ialah malaikat. Yang dibaca itu buku amalan. Api yang marak menjulang itu ialah neraka. Itulah tempat orang yang banyak melakukan keburukan di dunia"

"Wah, mana mama tau semua tu. Mama tengok cerita apa?" Dia dengan teruja bertanya.

"Semua tu ada dalam Al Quran, dik. Al Quran dah ceritakan tentang kehidupan selepas kematian ni dengan lengkap. Allah yang menciptakan dunia dan akhirat. 

Dan kerana Al Quran itu ialah dari Allah dan disampaikan oleh rasul, maka sebab itu Allah dan rasul yang boleh memberikan sebaik maklumat tentangnya."

1) Alam Kubur

Al-Haj:7 - Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang di dalam kubur.

2) Tiupan Sangkakala 

Az-Zumar:68 - Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).

3) Hari Kebangkitan

Az-Zalzalah:6 - Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.

4) Padang Masyhar

An-Naml:83 - Dan (ingatlah) hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat sekumpulan besar orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.

5) Syafaat

Taha:109 - Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (dari dan kepada sesiapapun) kecuali dari orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmatNya, dan kepada orang yang diredai perkataannya.

6) Hisab

Az-Zalzalah:7 - Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
Az-Zalzalah:8 - Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

7) Buku Amalan

Al-Inshiqaq:7 - Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, -
Al-Inshuqaq:8 - Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,
Al-Inshiqaq:10 - Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,
Al-Inshiqaq:11 - Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,

8) Timbangan Mizan

Al-Anbiya':47 - Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.

9) Titian Sirath

Dari Abi Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah ﷺbersabda: “…dibentangkan titian Sirat di antara Neraka Jahannam, maka akulah dan ummatku yang pertama menyeberanginya. Tidak berkata-kata pada ketika itu kecuali para rasul dan doa mereka ialah : “Ya Allah, Selamatkan, Selamatkan!” (Hadis Riwayat Al-Bukhari r.a.)

Orang-orang yang beriman akan melaluinya seperti kerdipan mata, dan ada yang seperti kilat, angin, burung, kuda yang baik dan unta. Maka merekalah yang selamat dan diselamatkan. Ada juga yang dicarik-carik lalu dilepaskan dan ada pula yang terjatuh ke dalam neraka Jahannam.” (Muttafaq ‘Alaih: al-Bukhari, 22/448, no. 6886. Muslim, 1/427, no. 269)

10) Syurga dan Neraka

Hud:106 - Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai).

Hud:108 - Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus.


Terus dia bertanya,
"Kenapa adik tak belajar semua ni di sekolah. Adik cuma belajar percaya hari akhirat dalam rukun iman yang ke 5"

Allah.

Ilmu berkaitan akhirat tidak diajar disekolah. Yang di ajar ialah jalan mahu tuju kepada akhirat. Iaitu, dengan melakukan ibadah. Jadi di sekolah hanya diajarkan bagaimana mahu melaksanakan ibadah sahaja. 

Namun bila kita tidak kenal keadaan akhirat itu bagaimana, ia akan menyukarkan jalan untuk kita nak menuju kesana, tidak merasa teruja dan tidak rindukan masa pertemuan dengannya. Akhirnya, tujuan asal tadi tidak sampai dan tercapai. Ibadah dilakukan bukan untuk tujuan mendapatkan akhirat. 

Dalam bahasa mudahnya, jika kita tak kenal, bagaimana  akan lahirnya cinta. Kerana itu tidak hairanlah, anak-anak hari ini lebih mencintai dunia sementara berbanding akhirat yang kekal, kerana tidak pernah diperkenalkan dengan apa itu akhirat. Mereka hanya di propa kan dengan kejayaan dunia yang mengasyikkan, walhal ianya hanyalah sementara.

Moga kita diberi kekuatan dan kesempatan, mengambil peranan memperkenalkan akhirat kepada anak-anak. Sungguh, sangat terkesan dengan kata-kata Allah melalui 3 surah yang berbeza ini namun penegasannya, adalah sama. 

Dunia hanya mainan!

Al-'An am:32 - Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Al-Ankabut:64 - Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).

Muhammad:36 - (Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya).

*************

Salam Perkenalan, Akhirat.

Salam perkenalan, akhirat, 
Engkau lah tempat yang kami tuju,
Semoga kami tidak terkejut menemuimu,
Kerana kami beriman dengan apa yang Al Quran beritahu, 
Dengan terperinci dan sangat jitu,
Bahawa engkau, sesuatu yang sahih, bukan tipu.

Salam perkenalan, akhirat. 
Pertemuan kita sudah hampir sekali, 
Semakin suntuk masa kami disini,
Moga persediaan untuk bertemu mu nanti,
Selalu menjadi inspirasi bagi kami,
Untuk meletakkan dunia di kaki bukan dihati.

Akhirat.
Moga engkau menjanjikan sebaik-baik tempat,
Untuk kami kekal berehat,
Berkumpul bersama keluarga dan sahabat,
Yang sama-sama bekerja dan mendambakan syafaat,
Yang sama-sama merindukan nikmat,
Bertemu pencipta, Allah Rabbul Izzat. 

Ainizal Abdul Latif
1979 ~ ?
____________________________
Dipetik dari laman Facebook milik 
Ainizal Abdul Latif yang telah memberi kebenaran kepada sesiapa yang berminat untuk share. Editor mengambil petikan ini kerana berpandangan ianya sebuah karya tulisan yg mudah difahami oleh orang awam kebanyakkan dan peri pentingnya subjek ini dimartabatkan bagi memperkasakan generasi Muslim. Walaupun kurang berapa tepat dari beberapa segi dari sudut ilmu tauhid, tetapi sekurangnya diharapkan singgahlah hidayahNya kepada sesiapa yang dipilihNya. Wallahualam!

About hjrozman abas

(c) 2016 TVTarekat.com / IslamicTunes.net. Diberdayakan oleh Blogger.